Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 47228 articles
Browse latest View live

81 ahli PBSM Cabang Serian selesai jalani kursus

$
0
0

TERIMA KASIH: Dr Kiu menerima cenderamata daripada Albert Ruha (kanan). Turut kelihatan Junerason Anyew (dua kanan).

SERIAN: Seramai 81 ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cabang Serian selesai menjalani kursus ‘First Aider In Every Home’ (FAIEH) di Dewan Kebudayaan Kampung Bunan Gega, Mongkos, malam Sabtu lalu.

Yayasan Jantung Sarawak turut menyertai kursus itu untuk memupuk kesedaran kesihatan di kalangan penduduk luar bandar.

Setiap peserta menerima sijil penghargaan pada majlis penutupan.

Menurut Pengerusi PBSM Cabang Serian Dr Kiu Chiong Chin, kursus FAIEH yang dimulakan oleh bekas Setiausahanya Phang Chun Yaw akan membantu ramai golongan terutama di kawasan pedalaman.

“Saya harap ahli kami di sini yang sudah menerima latihan mendapat faedah daripada pengetahuan mengenai bantuan kecemasan kerana ia dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

Kursus FAIEH diselenggarakan oleh Hospital Serian sementara demonstrasi pula ditunjukkan oleh Bomba Serian.

Kursus tersebut merangkumi cara menangani kecemasan, penilaian sewajarnya ke atas mangsa yang tidak sedar, intervensi bantuan kecemasan awal yang sewajarnya ke atas mangsa trauma yang sedar, melakukan bantuan pernafasan dewasa selain mengenal pasti dan mencegah serangan sakit jantung.

Selain itu, peserta turut diajar mengenai bantuan bagi kecederaan, luka, trauma, kelecuran, kecederaan otot, tulang dan sendi serta penyakit mengejut.

Semasa kursus itu juga, peserta turut berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan asas seperti tekanan darah, kandungan gula dan obesiti.

Kempen Derma Darah turut dikendalikan dan sebanyak 49 pain darah berjaya dikumpul.

Hadir sama ialah Ketua Kaum Kampung Bunan Gega Albert Andrew Ruha dan pengerusi penganjur program merangkap Setiausaha PBSM Cabang Serian Junerason Anyew.


37 tuai rumah mohon khidmat disambung

$
0
0

Masalah mereka berkaitan tindakan Snowdan sebagai wakil rakyat Balai Ringin

SRI AMAN: Seramai 37 tuai rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin yang tidak sehaluan dengan pihak tertentu masih belum disambung perkhidmatan mereka sebagai tuai rumah hingga kini.

Sehubungan itu Persatuan Tuai Rumah (PTR) Kawasan Balai Ringin, Simunjan dan Pantu memohon kerajaan agar menyambung semula khidmat mereka sebagai tuai rumah di rumah panjang masing-masing.

Pengerusi PTR Kawasan Balai Ringin, Simunjan dan Pantu Kaunselor Peter Mooney Lingau mendakwa masalah penyambungan semula perkhidmatan tuai rumah berkenaan mempunyai kaitan dengan pihak terbabit.

Beliau berkata, semua tuai rumah termasuk mereka yang belum disambung perkhidmatan dari tiga kawasan itu adalah penyokong kuat Barisan Nasional (BN) dan telah menyumbang kepada kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Mooney turut menambah bahawa para tuai rumah menerusi PTR Balai Ringin, Simunjan dan Pantu juga turut menyumbang kepada kemenangan besar BN bagi kerusi Parlimen P.202 Sri Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“Ia bukti bahawa semua kami (tuai rumah) adalah penyokong kuat BN tetapi persoalannya mengapakah 37 tuai rumah ini tidak disambung perkhidmatan sebaik sahaja tamat tempoh?,” tanya Mooney.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebaik sahaja tamat Mesyuarat PTR Kawasan Balai Ringin, Simunjan dan Pantu di Balai Raya Rumah Alex Libau, Ensebang Kuari Baru, Balai Ringin, Serian, semalam.

Turut hadir pada sidang akhbar itu wakil Penaung PTR Balai Ringin, Simunjan dan Pantu Abah Unggie, peguam persatuan Melaka Nisau, Bendahari Tuai Rumah Hearold Ernest, ahli persatuan dan 73 tuai rumah di sini.

Tempoh tamat dan tidak disambung semula perkhidmatan terhadap 37 tuai rumah dari kawasan Balai Ringin dan Simunjan itu bermula sejak 2012  hingga Oktober lalu.

Selain itu Mooney turut mendakwa bahawa Snowdan enggan memberi kerjasama dalam penyambungan semula pelantikan tuai rumah itu kerana PTR Balai Ringin, Simunjan dan Pantu tidak membabitkan penyertaan pihak terbabit.

Menurutnya,  pelantikan tuai rumah bukan dilakukan ADUN tetapi dipilih oleh rakyat dari rumah panjang atau kampung masing-masing.

“Saya selaku Pengerusi PTR Balai Ringin, Simunjan dan Pantu memohon kerajaan menyambung semula perkhidmatan 37 tuai rumah terbabit agar mereka kembali bekerja untuk rakyat dan kerajaan BN nanti,” katanya.

GCMW menyumbang kepada masyarakat setempat

$
0
0

PRIHATIN: Biya (kiri) menerima replika cek daripada Alice semasa Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-50 SIAC Methodist Sarawak di Sibu.

SIBU: Persidangan Agung Wanita Methodist Malaysia (GCMW) telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan menyumbang kepada masyarakat setempat sempena ‘Week of Prayer and Self-Denial Collection’, baru-baru ini.

Minggu tersebut biasanya dijalankan pada bulan Ogos dan September pada setiap tahun.

Tahun ini, Tadika Methodist Kapit telah diperuntukkan sejumlah RM5,000 melalui GCMW dalam membantu kerja-kerja pengubahsuaian tadika tersebut.

Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada perhatian masyarakat dan GCMW akan memainkan peranan lebih besar dalam aspek itu pada masa depan.

Majlis penyerahan sumbangan itu diadakan pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Persidangan Tahunan Wanita Iban (SIAC) Methodist Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini.

Sementara itu, GCMW turut melancarkan ‘Project Toy Collection’ pada bulan Julai lalu di Kuala Lumpur dengan menyerahkan barang mainan yang dikumpul itu kepada anak-anak yatim dan rumah kebajikan kanak-kanak di seluruh negara.

Projek itu dijalankan di Ipoh, Kuala Lumpur dan Sibu sejak Julai tahun ini.

Pada majlis itu, Presiden GCMW Alice Jawan telah menyerahkan replika cek kepada Pengetua Tadika Methodist Kapit Biya Mabut.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden GCMW Datin Judy Lau, Presiden Persidangan Tahunan Wanita Cina (SCAC) Methodist Sarawak Yong Shoon Ing, Presiden SIAC Methodist Sarawak Collin Utan dan Kapitan Wong Hie Ching.

PBBS menganjur Pertandingan Badminton Novis dan Kumpulan Usia

$
0
0

KUCHING: Persatuan Badminton Bumiputera Sarawak (PBBS) akan menganjurkan Pertandingan Badminton Novis dan Kumpulan Usia PBBS pada 29 November sehingga 1 Disember di Dewan Persatuan Badminton Sarawak, Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya.

Pengerusi penganjur Shaifulbahri Shukri, yang juga Timbalan Presiden PBBS berkata pertandingan adalah terbuka kepada pemain-pemain Bumiputera sahaja.

“Kategori yang akan dipertandingkan adalah perseorangan dan beregu bagi lelaki / wanita bawah 12 tahun, lelaki/ wanita bawah 15 tahun, Novis lelaki dan beregu wanita,” katanya.

Justeru, kepada yang berminat menyertai pertandingan kini masih berpeluang untuk mendaftar kerana hari ini merupakan hari terakhir untuk penghantaran penyertaan.

Undian pula akan diadakan pada jam 7 malam di Dewan PBBS.

Pemenang tempat pertama dan kedua bakal membawa pulang hadiah wang tunai serta piala dan pemain yang layak sehingga ke peringkat separuh akhir turut akan membawa pulang piala.

Menurut Shaifulbahri, borang penyertaan boleh didapati daripadanya (012-8945755), Sebini Sulaiman (012-8884664) dan Yusuf (014-6817185).

Tujuh atlet karate dipilih mewakili negeri ke Sukma 2014

$
0
0

MIRI: Seramai tujuh atlet karate telah dipilih mewakili negeri untuk Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2014 dalam satu pemilihan di Kelab Petrolium Lutong semalam.

Ketua Jurulatih Karate negeri, Al-Harir memberitahu seramai 20 atlet telah mengambil bahagian dalam pemilihan terbabit tetapi hanya tujuh atlet sahaja yang layak.

Antara mereka yang terpilih ialah Al-Hasbi Al-Harir, Awangku Muhd Fauzi, Dayangku Nurdiyana, NurJannah Tuwah, Ngui Xin Ru, Nadzirah Tuwah dan Abdul Rahman Suut.

“Kesemua tujuh atlet ini telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam sesi pemilihan dan mereka akan mewakili kategori individu dan Kata,” katanya di sini semalam.

Dalam masa yang sama, bagi kategori Kumite pula, beliau memberitahu pihaknya masih belum membuat pemilihan kerana memberi tumpuan bagi kategori individu dan Kata.

“Kesemua atlet ini akan menjalani latihan pra-pusat bermula Disember depan sehingga Mac 2014 sebelum menyertai kem latihan Sukma pada April dan Mei depan,” jelasnya.

Dalam pemilihan itu katanya, semua ketujuh atlet melepasi tahap kecergasan fizikal, mental, teknikal dan tektikal seperti yang diinginkan Majlis Sukan Negeri.

Ia katanya sebelum atlet dipilih mewakili negeri, mereka harus melepasi beberapa tahap yang diinginkan Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) cabang Miri.

“Pusat Satelit INS sentiasa memberi sokongan terhadap program latihan yang dijalankan persatuan dan kita yakin atlet ini memenuhi syarat-syarat ISN,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau akan memantau atlet kategori Kumite yang mendapat pingat pada Kejohanan Karate Junior pada Mac depan.

Hal ini katanya jika atlet terbabit mampu meraih pingat dalam kejohanan itu, maka atlet berkenaan akan dipertimbangkan untuk diserap dalam kem Karate Sukma negeri.

KBK terima geran kerajaan sebanyak RM15,000

$
0
0

WAKIL: Silang berucap mewakili Mawan.

SARATOK: Kelab Bolasepak Krian (KBK) baru-baru ini menerima geran kerajaan sebanyak RM15,000 sebagai insentif untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan bola sepak yang lebih baik untuk belia tempatan di sini pada masa depan.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom yang juga Ahli Parlimen Saratok turut menasihatkan kelab itu supaya bekerjasama dengan majlis tempatan dan agensi kerajaan serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) untuk menganjurkan program dengan lancar.

Beliau turut menggesa para pemain supaya bermain secara adil dan menggilap kemahiran masing-masing.

“Orang ramai berminat untuk melihat individu yang memiliki kemahiran tinggi dengan taktik terkini selain mempamerkan kerja berpasukan yang baik terutamanya dalam serangan dan pertahanan pasukan masing-masing,” katanya.

Beliau menyatakan demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Ketua Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Saratok Dom Silang pada majlis penutupan kejohanan Piala Pemuda SPDP baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pemanca Edward Gilla Baul, Ketua Pemuda SPDP Krian James Jimbun dan Ketua Pemuda SPDP Ulu Sebetan Andol Maga selain kaunselor seperti TR Uju Empat, TR Amit Gelanyang, TR Ayum Kinyih dan TR Jemat Unding serta ketua KBK Fadreen Jingan, yang juga pengerusi penganjur bersama majlis.

Sebanyak 21 pasukan menyertai kejohanan pada tahun ini yang berkesudahan dengan Aaz Project selaku juara selepas menewaskan BYC menerusi penentuan tendangan penalti dengan jaringan 5-4.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM450 manakala BYC menerima RM300.

Tempat ketiga diduduki oleh pasukan Skyline dan membawa pulang wang tunai RM200.

32 pemanah sertai Program Pembangunan Memanah Belia

$
0
0

UNTUK ALBUM: Sebahagian peserta merakamkan gambar kenangan.

MIRI: Seramai 32 pemanah telah menyertai kejohanan akhir Program Pembangunan Memanah Belia anjuran King’s Archery Sport Centre di sini petang kelmarin.

Kejohanan berkenaan disertai oleh pemanah dari sekolah rendah dan menengah sekitar Miri dalam tiga kategori yang dipertandingan.

Tiga kategori tersebut ialah Junior Level 1, Junior Level 2 dan Level 1.

Menurut jurucakap penganjur, kejohanan tersebut bertujuan membolehkan setiap peserta untuk ke peringkat kategori seterusnya.

“Kejohanan ini adalah untuk membolehkan mereka ke peringkat seterusnya dalam sukan memanah. Contohnya, kategori bagi Junior Level 1 yang berjaya akan melayakkan mereka untuk ke program memanah Junior Level 2,” jelasnya ketika ditemui di pusat memanah (King’s Archery Sport Centre).

Kejohanan terbabit turut merupakan pertandingan tajaan pusat beli-belah Merdeka Mall Miri.

Dalam pada itu, beliau turut mempelawa para belia khususnya pelajar sekolah bagi mengikuti program latihan memanah yang akan bermula pada Januari depan.

Katanya, latihan terbabit dengan bayaran RM120 sebulan akan mengkhususkan sejumlah 12 sesi latihan memanah kepada peserta.

“Latihan ini adalah bertujuan untuk mempromosikan sukan memanah dikalangan belia, sekali gus bagi melatih bakal atlit memanah yang akan mengharumkan nama negara satu masa kelak,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan mereka yang berminat dalam sukan memanah untuk mengikuti kelas memanah tersebut memandangkan sukan terbabit mencabar serta mempunyai peraturan tertentu.

Disamping itu juga, ibu bapa atau penjaga pelajar turut mengalu-alukan untuk melawat ke pusat memanah (King’s Archery Sport Centre) yang terletak di Merdeka Mall Miri untuk melihat sendiri serta memahami lanjut mengenai sukan memanah.

Para pelajar yang berminat untuk menyertai program latihan memanah boleh menghubungi pusat memanah King Archery Merdeka Mall di talian 085-419500 untuk keterangan lebih lanjut.

Ismail kekal jawatan pengerusi PESTABS

$
0
0

BERTANGGUNGJAWAB: Inilah barisan jawatakuasa baharu bagi Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sarikei bagi sesi 2014-2016.

SARIKEI: Dalam mesyuarat Agung dan juga sesi pemilihan Ahli Jawatankuasa baharu bagi Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sarikei 2014-2016 (PESTABS) yang telah berlangsung semalam, sekali lagi jawatan sebagai pengerusi PETABS kekal disandang oleh Ismail Pahari.

Pada masa yang sama, Awang Hasbi Awang Bungsu memikul amanah selaku Timbalan Pengerusi dan dibantu Naib Timbalan Pengerusinya, Shamsol Sharkawi.

Dalam pada itu, Fyza Sebli kekal setiausaha dan dibantu, timbalannya Awang Iskhandar Awang Putera manakala, bendahari pula disandang Mohd Najib Bujang.

Sehubungan itu, Ismail berkata, kesemua jawatankuasa itu memikul tanggungjawab besar kerana bakal membawa hala tuju PESTABS kearah yang lebih baik dalam tempoh dua tahun lagi.

PESTABS katanya, mensasarkan kejayaan dan berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pemain muda di peringkat tempatan.

“Sarikei sebenarnya memiliki ramai bakat terpendam. Bagaimanapun, mereka memerlukan latihan secara lebih intenstif. Kita sebenarnya meraih banyak kejayaan dalam tempoh dua tahun lalu,” katanya.

Tambahnya lagi, pada tahun akan datang PESTABS akan merancang dan menganjurkan lebih banyak pertandingan dan akiviti lain dalam usaha ke arah memamertabatkan sukan sepak takraw ini, selain melahirkan lebih banyak pemain muda yang berkaliber.


Jamery sedia lebarkan sayap

$
0
0

KEBANGGAAN: Jamery menunjukkan trofi yang diperolehinya.

Anak jati tempatan itu kini fokus jalani latihan untuk ke Sukan Sea Myanmar 2013

SIBU: Selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik 2011/2012 Negeri, tumpuan jaguh renang paralimpik negara, Jamery Siga kini terarah ke Kejohanan Sukan Sea Myanmar 2013.

Jamery, 28, ketika dihubungi semalam berkata, beliau kini sedang giat melakukan latihan intensif di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.

“Biarpun kejohanan ini tidak sebesar seperti penganjuran temasya sukan olimpik, namun saingan tetap ada.”

“Kejohanan ini merupakan peluang terbaik untuk membalas kepercayaan semua pihak yang tidak putus-putus memberi sokongan sehingga bergelar Olahragawan Paralimpik Negeri baru-baru ini,” katanya.

Menurut Jamery, beliau akan menyertai lima acara iatu 50 meter kuak kupu-kupu, 100 meter kuak lentang, 200 meter gaya bebas, 4×50 meter dan 4×100 meter.

Catatan terbaik beliau ialah 41:85 saat untuk 50 meter kuak kupu-kupu dan 3:05 saat bagi acara 200 meter gaya bebas.

Beliau bersama atelit paralimpik lain dijadualkan berlepas ke Myanmar pada 10 Januari depan.

Dalam pada itu, Jamery juga sedang berusaha untuk melayakkan diri ke Sukan Asia yang berlangsung di Korea Selatan dari 9 September hingga 4 Oktober tahun depan.

Pada temasya Sukan Olympin London 2012 lalu, Jamery merupakan antara atelit renang paralimpik yang mengambil bahagian.

Jamery merupakan anak bongsu daripada lima orang adik beradik dan berasal dari Kuala Mendalam, Limbang.

Selain Jamery, dua atelit paralimpik yang berebut gelaran Olaharagawan Paralimpik Negeri 2011/2012 iala Suhaili Laiman (badminton) dan Jimmy Siang (tempin bowling).

Nabilah Ahmad Sherif yang cemerlang dalam sukan badminton dinobatkan sebagai Olahragawati Paralimpik.

RM3.74j bantuan bencana untuk Jan-Okt tahun ini

$
0
0

KUCHING: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM3.74 juta untuk pemberian bantuan bencana dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, bantuan bencana itu melibatkan 133 kes kebakaran, tujuh kes tanah runtuh, 62 kes ribut taufan, lapan kes banjir dan 252 kes kemarau.

Menurutnya, peruntukan itu memberi manfaat kepada 68.441 mangsa daripada 13,502 keluarga.

“Untuk memastikan kebajikan dan keperluan mangsa bencana diberi perhatian segera, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipertanggungjawabkan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan.

“Dari Januari hingga 31 Oktober tahun ini, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM3.74 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Menjelaskan mengenai Program 1Azam, Fatimah memberitahu bahawa sehingga 20 November lepas, sejumlah 7,219 atau 96.3 peratus daripada sasaran 7,500 ketua isi rumah mendapat manfaat bantuan.

“Bantuan ini dikhaskan untuk menjana pendapatan bagi golongan berpendapatan rendah,” ujarnya.

Memberi respons kepada soalan yang dibangkitkan Dr Johnnical Rayong Ngipa (BN-Engkilili) berhubung penempatan guru di Sekolah Kurang Murid (SKM), beliau berkata, tiada sekolah yang mempunyai empat orang guru walaupun sekolah itu SKM.

“Malah SKM (B) yang terkecil di Engkilili (SK Emplam) yang enrolmennya 41 orang murid dibekalkan dengan 12 guru,” jelasnya.

Menurutnya, tawaran kelas tingkatan empat dan lima SMK Tutoh Apoh masih belum dapat dipertimbangkan disebabkan banyak faktor.

“Ini kerana tawaran perlu mengambil kira agihan guru mengikut opsyen, bilik khas seperti makmal, kuarters guru dan sebagainya,” kata Fatimah memberi respons kepada Dennis Ngau (BN-Telang Usan) berhubung cadangan menawarkan kelas tingkatan empat dan lima di SMK Tutoh Apoh.

Warga Sarawak usah keliru helah pihak sengaja main isu Perjanjian Malaysia

$
0
0

UNTUK ALBUM: Fatimah bergambar bersama Dr Rayong (kiri), Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus dan Pengarah Kebajikan Negeri Noriah Ahmad. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Warga Sarawak tidak wajar keliru dengan helah beberapa pihak yang sengaja memainkan isu Perjanjian Malaysia dalam proses pembentukan Persekutuan Malaysia 50 tahun lepas.

Ia sekadar permainan politik bagi meraih sokongan rakyat.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata kelantangan ahli politik Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam menuntut layanan lebih adil kepada Sarawak tidak harus disalah ertikan pembangkang.

“Kita tidak akan membakar kelambu kerana nyamuk seekor,” katanya ketika mengulas isu perjanjian penubuhan Malaysia oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam akhbar semalam.

Wan Junaidi berkata isu tersebut sepatutnya tidak dibincangkan lagi termasuk di Parlimen kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat.

Abdullah menambah: “Ya benar, kita lantang bersuara menuntut layanan yang lebih adil daripada kerajaan persekutuan lebih-lebih lagi peruntukan ke kawasan pedalaman yang majoritinya didiami oleh kaum Bumiputera yang sekian lama menghargai dan menyokong kerajaan BN.

Menurutnya, warga Sarawak menyambut baik agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera.

“Kita juga menyuarakan rasa benci dan meluat terhadap budaya politik yang biadap dan angkuh yang dibawa oleh orang politik Semenanjung Malaysia daripada pelbagai parti ke bumi Sarawak,” ujarnya.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata lagi warga Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum amat menghargai nilai persahabatan dan perpaduan.

“Kek lapis yang berwarnawarni adalah lambang keakraban kami. Gerak tari ngajat yang gemalai adalah lambang kesopanan kami yang lembut. Mi kolok dan laksa Sarawak adalah lambang toleransi dan persefahaman kami,” katanya.

Sambil menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian antara kaum dan wilayah dalam Malaysia akan mewujudkan keamanan, beliau berkata adalah mustahil untuk melaksanakan pembangunan tanpa faktor tersebut.

Justeru, jika wujud usaha untuk mengelirukan warga Sarawak ia harus ditentang.

“BN Sarawak akan terus memberi fokus kepada prinsip Politik Pembangunan secara terancang yang akan merapatkan jurang keselesaan antara masyarakat bandar dan desa,” katanya.

Sehubungan itu, Abdullah berkata pembangkang perlu menerapkan sikap bertanggungjawab ketika mengkritik.

Bukan bertujuan menghancurkan tetapi biarlah ia dilakukan dengan niat membina.

“Jangan menggadai perpaduan kaum yang sekian lama terbina dengan baik di Sarawak demi mengejar kekuatan politik. Tiada guna ada kekuatan politik jika rakyat tidak bersatu,” katanya.

Klinik Kesihatan Jenis 3 dirancang di daerah Siburan bukan hospital

$
0
0

MENGELIRUKAN: Dr Jerip (tengah) menunjukkan keratan akhbar
yang memuatkan kenyataan Voon mempersoalkan status Hopital Daerah Siburan pada sidang media semalam. Turut kelihatan Dr Chin (kiri) dan Haffizie. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Sebuah Klinik Kesihatan (KK) Jenis 3 dirancang untuk dibina di daerah Siburan dekat sini bukan hospital seperti didakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri baru-baru ini.

Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam lawatannya ke klinik itu pada 2011 memberitahu bahawa Klinik Kesihatan sedia ada iaitu Jenis 4 akan dinaik taraf kepada Jenis 3.

“Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak ada mengumumkan bahawa sebuah hospital akan dibina di daerah Siburan, Puan Voon Shiak Ni (Naib Ketua Wanita PKR Pusat) tidak boleh membuat kenyataan seperti itu yang hanya akan mengelirukan rakyat khususnya di daerah Siburan.

“Sebaliknya kerajaan merancang membina Klinik Kesihatan Jenis 3 yang setanding dengan Klinik Kesihatan di Batu Kawa di tapak yang telah diwartakan bagi tujuan itu,” katanya sambil menambah tapak seluas enam ekar itu masih wujud bukannya ‘lenyap’ seperti didakwa Voon.

Menurutnya KK Jenis 3 akan dilengkapi dengan tiga hingga empat doktor termasuk seorang pakar perubatan keluarga, Jabatan Pesakit Luar, Klinik Gigi, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Makmal dan Farmasi.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam sebagai mengulas dakwaan Voon yang mempersoalkan status Hospital Siburan seperti dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Negeri lalu yang dilaporkan dalam akhbar berbahasa Inggeris tempatan baru-baru ini.

Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh berkata pelan pembangunan KK Jenis 3 itu telah dikemukakan kepada kerajaan pusat pada Rolling Pertama dan Kedua Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) tetapi tidak diluluskan.

Bagaimanapun beliau memberitahu bahawa pelan pembangunan KK Jenis 3 itu telah dikemukakan semula di bawah RMK-11 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk dipertimbangkan.

Pembinaan KK Jenis 3 di Siburan akan dilaksanakan sebaik mendapat peruntukan, tambahnya.

Justeru sebagai langkah mengatasi masalah kesesakan dan rasa kurang selesa pengguna mendapatkan perkhidmatan di KK Siburan (Jenis 4), pada 2012 kerajaan telah menyediakan peruntukan RM200,000 untuk kerja-kerja pembesaran dan pengubahsuaian.

Sementara itu Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing pada sidang media sama memberitahu, sebelum lawatan Liow ke KK Siburan, klinik itu hanya mempunyai tujuh jururawat masyarakat dengan lima penolong pegawai perubatan tanpa perkhidmatan pegawai perubatan (doktor) dan perkhidmatan farmasi.

“Susulan lawatan Datuk Seri Liow sebanyak RM200,000 diperuntukkan kepada KK Siburan bagi tujuan tambahan ruang klinik, untuk menempatkan farmasi, makmal dan bilik Pegawai Perubatan yang sebelum ini tidak ada.

“Dengan adanya bangunan tambahan tersebut, maka perkhidmatan farmasi disediakan oleh seorang pegawai farmasi dan dua penolong farmasi serta seorang pegawai perubatan (doktor),” jelasnya.

Dr Chin menambah di KK Siburan juga terdapat dua jururawat terlatih (staf nurse), dua ketua jururawat (sister), seorang penolong pegawai perubatan dan perkhidmatan ambulans.

Hadir sama pada sidang media itu Ketua Penolong Pengarah (Unit Pembangunan dan Perolehan) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Haffizie Putit.

Tandas Pasar Sg Apong menangi Anugerah Kebangsaan Tandas Bersih 1Malaysia 2013

$
0
0

BANGGA: Chan menyerahkan trofi dan sijil penyertaan yang dimenangi MBKS dalam Anugerah KebangsaanTandas Bersih 1Malaysia kepada Taib, semalam. Turut kelihatan Wong (kanan).

KUCHING: Tandas Awam Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Pasar Sungai Apong memenangi Anugerah Emas dalam Anugerah Kebangsaan Tandas Bersih 1Malaysia 2013 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November lepas.

Kejayaan itu adalah yang keempat buat MBKS selepas kejayaan pertama dilakar pada 2001, memenangi tempat kedua (Perak), tempat ketiga (Gangsa) pada 2011 dan 2012.

Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan berkata kemenangan itu merupakan satu pengiktirafan kepada usaha pihaknya mempertingkat serta menyelenggara aspek kebersihan dan sanitari awam di kawasan pentadbirannya.

“Usaha MBKS ini adalah sejajar dengan visi kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang indah, menarik dan bersih dalam semua aspek termasuk kemudahan sanitari awam,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengetuai rombongan MBKS mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Chan menambah, tujuan pertandingan itu ialah untuk mengiktiraf usaha serta inisiatif pihak berkuasa tempatan (PBT) memelihara kebersihan tandas sebagai contoh untuk diteladani.

Tandas-tandas katanya dinilai serta dihakimi Jawatankuasa Anugerah Tandas Bersih 1Malaysia terdiri daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pelancongan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan, Perbadanan Pengurusan Pembersihan Awam dan Sisa Pepejal, Perbadanan Putrajaya dan Persatuan Tandas Berkualiti Malaysia (QRAM).

Sementara itu katanya, Tandas Awam MBKS di Taman Sahabat dan Pasar Kenyalang yang telah memenangi Pengiktirafan WHO bagi Amalan Bandar Sihat Terbaik – Sanitari Awam Selesa tahun lalu semasa Persidangan Bandar-bandar Sihat Global Ke-5 di Brisbane, Australia dipilih semula untuk Kajian Kes dan disenarai dalam Kit Peralatan Bandarbandar Sihat (Healthy Cities Toolkit).

“MBKS akan terus mewujudkan kesedaran dan menetapkan standard untuk semua tandas syarikat swasta dan awam bagi mencapai kualiti kehidupan lebih baik dalam kalangan warga kota seiring dengan slogan majlis 2013 ‘Bandar Raya Saya, Masa Depan Saya’,” katanya.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat merangkap Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh.

TBS agih penyata kewangan menerusi majalah Al Mal

$
0
0

Tohmahan Chong bahawa TBS tidak agih penyata kewangan kepada orang ramai disangkal

KUCHING: Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyangkal tohmahan Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) bahawa Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) tidak mengagihkan penyata kewangannya kepada orang ramai.

Bagaimanpun menurut Awang Tengah, ringkasan agihan bantuan ada dimaklumkan melalui majalah Al Mal yang diterbitkan secara berkala dengan sekitar 30,000 naskhah diedarkan pada setiap cetakan.

“Kenyataan bantuan sebanyak RM2 juta yang dimaksudkan oleh DAP-Kota Sentosa adalah hanya untuk bantuan Hari Raya Aidilfitri 2013 sahaja.

“Tabung Baitulmal Sarawak tetap membantu golongan asnaf (orang yang layak menerima bantuan) seperti asnaf Fakir, asnaf Miskin, asnaf Amil, asnaf Mualaf, asnaf al-Gharimin, asnaf Ibnu Sabil dan asnaf Fisabililah dengan jumlah agihan sekitar RM30 hingga RM40 juta setahun.

“Program bantuan yang disalurkan kepada golongan asnaf ini, termasuk bantuan kemasukan ke IPT, sekolah rendah dan menengah, bantuan sara hidup, bantuan rawatan, bantuan bencana alam dan sebagainya,” katanya.

Awang Tengah berkata demikian dalam ucapan penggulungannya bagi Kementerian Pembangunan Perindustrian pada Persidangan DUN di Kompleks DUN di sini semalam.

Tambah Awang Tengah, sebagai makluman seramai 17,528 orang asnaf Fakir dan asnaf Miskin telah menerima bantuan berjumlah RM9.4 juta daripada Tabung Baitulmal Sarawak pada 2012.

Bagi bantuan pengajian sekolah rendah dan menengah, jumlah yang disalurkan pada tahun yang sama adalah RM8,350 bagi 49 pelajar miskin tegar yang diperakukan oleh pihak sekolah masingmasing.

“Bantuan ini adalah bantuan pelengkap kepada bantuan- bantuan yang telah disalurkan oleh kerajaan seperti Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), yuran sekolah yang dikecualikan di semua peringkat, buku-buku teks percuma, pakaian seragam percuma dan lain-lain.

“Berdasarkan kepada penjelasan yang dinyatakan ini ia sekali gus menunjukkan bahawa kenyataan Chong (DAP Kota Sentosa) mengenai TBS adalah tidak tepat dan tidak benar,” tambahnya.

Mengulas mengenai Projek Baitulmakmur II pula, Awang Tengah berkata ia adalah projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LKMNS) dan bukannya di bawah TBS seperti yang dibangkitkan oleh DAP-Kota Sentosa.

Awang Tengah turut yakin tiada mana-mana pihak khasnya umat Islam akan meragui matlamat dan tujuan penubuhan TBS serta yakin semua umat Islam akan menyokong program-program yang dilaksanakan oleh TBS.

Tender baharu projek jalan Kampung Telahak-Pengkalan Rejab akan dibuka

$
0
0

LIMBANG: Pembinaan  jalan menghubungkan kampung pesisir sungai sepanjang 16 kilometer (km) bermula dari Kampung Telahak hingga Pengkalan Rejab yang terbengkalai  lebih setahun lalu bakal selesai apabila kerajaan akan membuka tender baharu projek itu bagi membolehkan kerja pembinaan dilakukan segera.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata projek yang menelan belanja sekitar RM55 juta itu melibatkan tiga fasa,bermula dari Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) hingga RMK-10 yang sepatutnya siap pada 2011 tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana masalah melibatkan pihak kontraktor.

Beliau yang kesal dengan pihak pelaksana projek berkenaan berkata, fasa pertama melibatkan Kampung Telahak hingga Binjai (3.4 km) yang menelan peruntukan  RM7.6 juta sudah disiapkan sebelum ini.

“Apa yang kita kesalkan adalah fasa kedua membabitkan jalan dari Kampung Binjai hingga Buang Abai sejauh 6 km (RM18 juta)  yang menghadapi masalah, walaupun hanya tinggal untuk kerja penurapan jalan sahaja,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Hasbi berkata lagi masalah berkenaan sudah diutarakan di Parlimen dan meminta pihak kementerian berkaitan menamatkan kontrak kontraktor yang tidak bertanggungjawab dan tender baharu dibuka.

“Kita juga sudah menyarankan kepada kementerian sama agar tender bagi fasa ketiga melibatkan pembinaan jalan dari Buang Abai hingga Pengkalan Rejab yang bernilai sekitar RM30 juta dimasukkan sekali untuk pembinaan jalan fasa kedua.

“Ini penting bagi memastikan pembinaan jalan berkenaan dapat dilaksanakan di bawah kontraktor sama dan mengelak dilakukan oleh ramai kontraktor,” katanya.

Hasbi menambah, projek pembinaan jalan tersebut merupakan alternatif kepada penduduk yang mendiami kawasan sepanjang hulu sungai Limbang yang memberi manfaat kepada lebih 10 kampung sekitarnya.

Beliau menjelaskan, kerajaan juga tidak pernah mengabaikan keperluan masyarakat yang masih berdepan dengan kekurangan infrastruktur di kawasan mereka.

Katanya dengan adanya jalan raya itu nanti, ia akan meningkatkan sistem  perhubungan penduduk yang sebelum ini bergantung kepada laluan sungai.

Sementara itu beliau turut memberi jaminan bahawa Jambatan Pandaruan yang menghubungkan Limbang Sarawak dan daerah Temburong, Brunei Darussalam dijangka dapat digunakan menjelang 2014.

“Pada masa ini kerja pembinaan jambatan dan jalan Pandaruan berjalan lancar sementara menanti majlis perasmiannya daripada kerajaan dua negara berjiran,” katanya.

Ditanya mengenai pembinaan dua sekolah kebangsaan baharu melibatkan SK Menuang dan SK Limbang, Hasbi optimis kedua-dua sekolah yang mengalami masalah terbengkalai sebelum ini akan dapat digunakan menjelang sesi persekolahan 2014.

Jelasnya SK Menuang yang merupakan sekolah utama bagi anak-anak di kawasan Batu Danau dan Medamit sudah hampir siap termasuk kerja-kerja pembinaan SK Limbang yang berjalan lancar.


MdI perkenal sistem baharu INS tahun depan

$
0
0

BANKRAP: Nancy (tengah) mempengerusikan sidang akhbar pada Dialog Insolvensi 2013 di Pustaka Negeri semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Haini dan Rohana.

KUCHING: Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) bakal memperkenalkan sistem baharu yang dinamakan Insolvensi Notification System (INS) pada tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, sistem baharu itu akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2014 yang bertujuan memudahkan dan mempercepatkan proses pemberian maklumat akaun bank bankrap atau syarikat yang digulungkan.

Beliau menjelaskan bahawa sistem itu juga dapat mempercepatkan penyerahan wang atau sekuriti milik bankrap atau syarikat yang berada dalam simpanan pihak bank kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) yang bertindak sebagai pemegang amanah bagi estet kebankrapan dan pelikuidasi syarikat yang digulungkan.

“Kita akan memperkenalkan sistem yang lebih komprehensif yang dipanggil INS awal Januari tahun depan dalam usaha mempertingkatkan keupayaan sistem penyampaian MdI supaya menjadi lebih efisien.

“Malah, ia dapat menjadikan pentadbiran kes kebankrapan dan penggulungan dalam kendalian lebih pantas, berkesan dan memudahkan cara kepada semua pihak yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dialog Insolvensi 2013 di Pustaka Negeri di sini semalam.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, melalui INS juga, penyampaian notis yang dibuat oleh MdI di bawah Subseksyen 55(5) Akta Kebankrapan 1967 akan dipermudahkan dengan menggunakan kaedah masa yang nyata.

“Kaedah ini bagi menggantikan notis atau Surat Pertama yang dikeluarkan oleh MdI kepada pihak bank setelah Perintah Kebankrapan dan Perintah Penggulungan dikeluarkan oleh mahkamah ke atas seseorang individu atau syarikat.

“Sebelum ini ia dilakukan secara manual melalui pos kepada pihak bank dan menerusi sistem INS ini, MdI akan memuat naik senarai nama individu yang dihukum bankrap dan senarai nama syarikat yang mendapat perintah penggulungan di mahkamah dalam masa 24 jam ke dalam portal MdI,” jelasnya.

Nancy memberitahu, setakat ini 14 bank telah menyertai INS dan MdI berharap dapat menerima kerjasama yang menyeluruh daripada kesemua institusi kewangan di negara ini.

Menyentuh mengenai jumlah kes kebankrapan di Malaysia Nancy berkata sehingga September ini sebanyak 251,209 kes direkodkan yang mana lima peratus daripada jumlah itu melibatkan kes di Sarawak.

“Selangor adalah negeri yang mencatat kes bankrap tertinggi diikuti Kuala Lumpur dan Johor manakala Sarawak masih lagi rendah iaitu melibatkan 13,623 kes,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan kes bankrap yang berlaku di negeri ini disebabkan kegagalan dalam menyelesaikan pinjaman sewa beli kenderaan.

Sementara itu bagi indeks penggulungan syarikat di Sarawak, beliau memberitahu bahawa jumlah kes yang direkodkan adalah sebanyak 277 kes.

Dialog itu semalam disertai kira-kira 60 peserta yang turut dihadiri Ketua Pengarah Insolvensi Rohana Abdul Malek dan Timbalan Ketua Pengarah Haini Hassan.

Masyarakat berperanan pelihara khazanah alam

$
0
0

USAHA KESEDARAN: Abu Seman melepaskan anak ikan ke dalam sungai, sebagai simbolik memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya memulihara alam sekitar.

Mereka tidak sewajarnya terlalu rakus dengan usaha mengambil hasil daripada khazanah alam sekitar

MATU: Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie mengingatkan bahawa masyarakat memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan khazanah alam semula jadi terus terpelihara dengan sentiasa memulihara habitat pembiakannya.

Katanya masyarakat tidak sewajarnya terlalu rakus dengan usaha-usaha untuk  mengambil hasil daripada khazanah alam sekitar, terutama dalam mengamalkan cara dan langkah terlarang dalam mendapatkan hasil tersebut.

“Dewasa ini, pelbagai usaha dan cara digunakan oleh masyarakat untuk meraih hasil yang lumayan termasuk menggunakan kaedah yang tidak sihat dalam mendapatkan hasil tersebut.

“Contohnya, bagi aktiviti penangkapan ikan sungai pada masa kini, pelbagai kaedah yang tidak sihat digunakan seperti menuba, meracun, mengebom, menggunakan renjatan elektrik dan banyak lagi kaedah lain.

“Situasi seperti ini telah menyebabkan ketidakseimbangan, sekali gus menyebabkan kemusnahan kepada ekosistem alam.

“Mana tidaknya, kaedah ini telah menyebabkan segala ketegori hidupan yang menghuni sungai dan laut terbabit telah musnah tanpa had dan kawalan,” kata Abu Seman.

Beliau berkata demikian pada Projek Jejak Mesra Alam Sekitar di Kampung Bawang, di sini, semalam.

Sehubungan dengan usaha tersebut, kata Abu Seman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, menegaskan aktiviti yang dianjurkan itu adalah untuk menghidupkan rasa cinta masyarakat terhadap khazanah alam sekitar yang tidak ternilai.

“Kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif termasuk terus mengadakan kempen bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar.

“Usaha berterusan itu penting bagi memastikan setiap individu terutama generasi muda menerapkan kesedaran sejak awal usia.

“Golongan muda memainkan peranan penting dalam membantu usaha kerajaan merealisasikan hasrat itu. Kita mahu mereka bersama-sama berganding bahu,” katanya.

Penduduk Kampung Sikog tidak hilang tanah NCR

$
0
0

Mereka diberi jaminan tidak akan kehilangan tanah mereka melainkan mereka menjualnya: Austin

KUCHING: Beberapa penduduk Kampung Sikog dekat sini yang tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka terangkum dalam projek pembesaran CMS Clinker diberi jaminan tidak akan kehilangan tanah mereka melainkan mereka menjualnya bagi tujuan itu.

Temenggung Bidayuh Bahagian Kuching Austin Dimin mengesahkan bahawa syarikat CMS Clinker mahu mengambil sebahagian daripada tanah penduduk kampung berkenaan bagi tujuan pembesaran kilang pemprosesan bahan utama simen itu.

Bagaimanapun ujarnya pemilik tanah tidak perlu bimbang kerana syarikat berkenaan tidak boleh mengambil tanah mereka tanpa kebenaran daripada pemiliknya.

Kerajaan telah mengarahkan CMS, iaitu syarikat yang mengusahakan projek kilang simen dalam kawasan berkenaan, untuk mendapatkan pendapat pemilik tanah sama ada mereka bersetuju untuk menjual tanah mereka atau tidak, dan tidak mendapatkan tanah serta-merta tanpa memberi sebarang pilihan seperti dalam beberapa kes pada masa lalu.

“Dalam kes ini, penduduk kampung yang memiliki tanah dalam kawasan yang telah diperuntukkan bagi projek pembesaran yang dicadangkan telah diberi pilihan.

“Pilihan ialah sama ada mereka bersetuju atau tidak untuk menjualkan tanah mereka kepada syarikat, sewakan, dapatkan royalti atau mereka sama sekali tidak menyetujui ketiga-tiga pilihan dan ini adalah model yang boleh diguna pakai oleh kerajaan dalam urusan NCR,” katanya.

Dimin memberitahu bahawa kerana kedudukannya dalam masyarakat Bidayuh di Kuching, beliau telah diminta untuk mempengerusikan satu pertemuan di antara syarikat terbabit dengan pemilik tanah kira-kira dua minggu lalu bagi mendapatkan pendapat penduduk kampung.

“Dalam pertemuan itu saya menjelaskan bahawa syarikat hanya dapat mengambil tanah itu jika pemiliki bersedia untuk menjualnya.

“Bagi mereka yang enggan, keputusan mereka mesti dihormati dan tanah mereka tidak boleh diganggu,” jelasnya.

Menurutnya, dalam usaha memperbesarkan tapak projek, selain menghormati hak penduduk tempatan, syarikat terbabit harus mengambil kira tempat keramat dan warisan budaya masyarakat setempat.

Beliau menambah, ini adalah satu lagi isu yang sangat sensitif yang syarikat harus elak, jika tidak penduduk tempatan akan berasa ditindas dan ditekan.

Menurut Dimin, peranannya adalah untuk mempermudahkan perbincangan di antara syarikat dengan pemilik tanah berhubung cadangan berkenaan, dan tidak lebih daripada itu.

“Sama ada penduduk bersetuju untuk menjual tanah mereka atau tidak bergantung kepada mereka.

“Bagi mereka yang enggan menjual tanah, syarikat perlu menghormati keputusan mereka dan bagi mereka yang bersetuju untuk menjualnya, ia terpulang kepada mereka untuk berunding. Saya tidak akan terlibat dalam rundingan harga,” tegasnya.

Sementara itu beberapa pemilik tanah di Kampung Sikog pada malam kelmarin berkata mereka tidak akan menyerahkan tanah NCR mereka kepada syarikat.

“Bagi mereka yang mahu menjual tanah mereka, biarlah mereka jual.

“Kami tidak menghalang mereka tetapi kami tidak akan menjual tanah kami.

“Sebabnya sangat mudah kerana bagi kebanyakan kami, ini adalah tanah terakhir yang kami miliki dan jika kami melepaskannya sekarang, anak-anak dan cucu cicit kami tidak akan memiliki tanah langsung dan akhirnya mereka akan merempat di tanah milik orang lain.

“Itulah sebabnya kenapa kami mahu berusaha sedaya upaya untuk melindungi tanah kami daripada diceroboh atau diambil bagi apa jua tujuan,” kata mereka.

Kira-kira 20 pemilik tanah mendakwa tanah NCR mereka telah diukur oleh juruukur swasta yang dilantik oleh CMS tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka.

“Kebanyakan pokok buah-buahan kami turut ditebang dalam proses tersebut dan tindakan sedemikian benar-benar mencabar kesabaran kami.

“Sebelum mereka masuk untuk menjalankan kerja ukur di kawasan kami, sekurang-kurangnya mereka memaklumkan ketua kampung kami,” ujarnya lagi.

“Dalam kes ini ketua kampung kami memberitahu, beliau sendiri tidak pernah dimaklumkan sebelum kerja ukur dilakukan.

“Satu lagi perkara yang sangat meresahkan ialah satu surat telah dikeluarkan dengan nama dan nombor kad pengenalan kami dan disahkan oleh ketua kampung kami yang menyebut semua kami sudah bersetuju untuk menjual tanah kami tetapi ini adalah tidak benar.

“Kami tidak pernah dihubungi sesiapa untuk bertanya sama ada kami mahu menjual tanah kami atau tidak.

“Jika pun ada, jawapan kami tetap sama iaitu kami tidak akan menjual tanah kami.

“Kami akan melindungi tanah kami dengan sedaya upaya kami,” katanya.

Tiada masalah laksana pembangunan dengan sokongan rakyat, kata Masir

$
0
0

SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat berkata, kerajaan tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri ini sekiranya rakyat terus berdiri teguh di belakang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, menerusi dasar Politik Pembangunan yang dibawa Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, rakyat hari ini telah menikmati pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur serta peningkatan taraf hidup.

“Rakyat harus bersama BN supaya mereka akan terus menerima arus pembangunan berterusan dan pada masa yang sama kerajaan terus merangka serta melaksanakan pelan pembangunan di  negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Sistem Air Graviti Bukit (AGB) di Rumah Randi Ugeng, Lachau Baru, Sri Aman baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang.

Dalam majlis itu Mong telah mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada JKKK Rumah Randi.

Manakala Masir pula memberi peruntukan sebanyak RM5,000 kepada JKKK yang sama.

Masir berkata, parti pembangkang tidak akan mampu membawa pembangunan kepada rakyat sekiranya mereka memegang tampuk pemerintahan kerajaan di negeri ini.

“Saya menasihatkan semua rakyat agar terus memberi sokongan padu kepada BN dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya.

37 syarikat Bumiputera Sarawak dilantik Syarikat Bumiputera Berpotensi Tinggi

$
0
0

KUCHING: Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) Jabatan Ketua Menteri melulus-kan pelantikan 37 syarikat milik Bumiputera Sarawak sebagai Syarikat Bumiputera Berpotensi Tinggi (TERAS).

Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Awang Tengah Ali Hasan berkata, syarikat berkenaan akan dibimbing bagi meningkatkan prestasi mereka supaya berdaya saing di peringkat nasional dan global seterusnya disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurutnya ia selari dengan usaha kerajaan untuk mengukuh-kan lagi penglibatan usahawan Bumiputera di negeri ini.

“Mereka juga telah mendapat pembiayaan dana bernilai RM48.3 juta daripada TERAJU dengan kerjasama institusi kewangan seperti SME Bank, RHB Bank dan MIDF.

“Dalam tempoh yang sama sebanyak 17 syarikat milik Bumiputera Sarawak telah mendapat geran bernilai RM55.5 juta di bawah Dana Mudahcara yang disediakan oleh TERAJU dengan kerjasama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-17 di Kompleks DUN di sini semalam.

Awang Tengah menjelaskan bahawa syarikat berkenaan juga dalam proses melaksanakan projek dalam pelbagai bidang seperti perumahan, perkhidmatan sokongan minyak dan gas, pembuatan produk halal dan perkhidmatan peruncitan.

“Projek-projek ini dianggarkan bernilai RM379 juta yang dijangka akan memberi sumbangan kepada Pendapatan Kasar Negara di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada 3,066 orang,” tambahnya.

Bagi membantu penjaja dan peniaga kecil pula, beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah memperkenalkan skim pembiayaan mikro.

“Setakat ini sebanyak 318 permohonan telah diluluskan dengan nilai pembiayaan RM2.27 juta,” katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan sektor perkilangan negeri, Awang Tengah memberitahu bahawa berdasarkan laporan MIDA (Malaysian Investment Deve-lopment Authority) Sarawak merupakan negeri kedua terbesar dengan jumlah pelaburan seba-nyak RM5.6 bilion melibatkan 19 projek dari tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

“Prestasi sektor perkilangan Sarawak merupakan kedua ter-besar setelah berjaya meraih pelaburan sebanyak RM5.6 bilion selepas Johor (RM8.82 bilion) diikuti Selangor RM3.5 bilion dan pelaburan ini kebanyakannya melibatkan industri berasaskan logam,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai per-kara itu, beliau berkata, sumber utama pelaburan asing datang dari Korea Selatan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.5 bilion (logam silikon), RM1.4 bilion dari Jepun (titanium sponge) dan China RM1.2 bilion (solar grade silicon ingot and water).

Selain itu, Jawatankuasa Penyelaras Industri Negeri (ICC) telah meluluskan 35 projek berjumlah RM106 juta kebanyakannya berasaskan industri perkayuan, produk makanan dan minuman.

“Kerajaan juga telah melabur sekitar RM3 bilion untuk membangunkan lebih 7,200 hektar tanah perindustrian di bandar utama di negeri ini termasuk Kuching, Kota Samarahan, Bintulu, Miri, Sarikei dan bandar kecil, Kapit, Lawas dan Tanjung Manis,” ujarnya.

Viewing all 47228 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>