Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 47228 articles
Browse latest View live

Tiga AJK masjid cedera ringan kereta terjunam dalam gaung

$
0
0

CEDERA RINGAN: Tiga ahli jawatankuasa masjid Kampung Bisara Rayang hanya mengalami luka ringan selepas Kancil dinaiki terjunam ke dalam gaung.

KUCHING: Tiga ahli jawatankuasa masjid Kampung Bisara Rayang bernasib baik kerana hanya cedera ringan apabila Perodua Kancil dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Jalan Padawan, dekat sini.

Dalam insiden sekitar jam 9 pagi itu, difahamkan lelaki berusia 67 tahun yang memandu Kancil tersebut gagal mengawal kenderaan ketika menuruni bukit lalu terbabas ke dalam gaung.

Kesemua mangsa yang mengalami sedikit luka di badan berjaya dikeluarkan dari kenderaan tersebut dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Siburan.

Mereka kemudiannya dibawa ke Klinik Siburan untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Difahamkan mangsa-mangsa dalam perjalanan ke bandar raya ini untuk membeli jubin bagi menaik taraf masjid.


KDN sentiasa proaktif memerangi jenayah

$
0
0

RASMI: Wan Junaidi (tiga kanan) bersama Zulkifli menyempurnakan perasmian Program ‘Mesej Dari Penjara’ Peringkat Zon Sarawak di Skim Gempuru, Sekuau semalam.

Ops Cantas kurangkan jenayah sehingga dua digit, 10-15 peratus keseluruhannya: Wan Junaidi

SEKUAU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa proaktif memerangi jenayah di seluruh negara dan sasaran NKRA mengurangkan jenayah pada tahun 2013 turut diperkukuhkan.

Timbalan Menterinya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Ops Cantas yang melibatkan penguat kuasa tempatan ternyata berupaya mengurangkan jenayah sehingga dua digit antara 10 hingga 15 peratus secara keseluruhannya.

“Fokus kita adalah pengurangan lima peratus kadar indeks jenayah, lima peratus jenayah pecah rumah dan pelaksanaan indeks persepsi keselamatan.

“Bagi kertas siasatan didakwa di mahkamah, ia mencatat peningkatan 35 peratus iaitu melebihi nisbah 26 peratus di peringkat antarabangsa, menunjukkan komitmen jitu PDRM.

“Dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap perkhidmatan PDRM, sasaran 70 peratus dicatat kerana sebelum Ops Cantas dilaksanakan hanya 50 peratus direkodkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program ‘Mesej Dari Penjara’ Peringkat Zon Sarawak di Dewan Masyarakat Skim Gempuru, Sekuau semalam.

Wan Junaidi berkata penyertaan masyarakat sangat penting dalam konteks memerangi jenayah kerana mereka bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak penguat kuasa.

“Ketika ini kita dapati kadar jenayah di Sarawak masih rendah dan ia terbukti dengan bilangan banduan menjalani hukuman dan pemulihan adalah kecil berbanding negeri lain.

“Malah, jumlah banduan di seluruh negeri hanyalah 52 peratus di bawah kapasiti ditetapkan dan 46.8 peratus kes banduan di seluruh Malaysia adalah melibatkan jenayah dadah.

“Kalau kita berupaya kurangkan dadah, jenayah juga berkurangan tetapi jika kes dadah meningkat, rekod jenayah turut meningkat,” katanya.

Mengenai bekas banduan, beliau mengharapkan masyarakat bersikap terbuka dan jangan terlalu negatif terhadap banduan yang telah dibebaskan.

“Seharusnya masyarakat beri peluang kepada mereka, jangan pandang rendah serta memberi persepsi buruk terhadap bekas banduan, terimalah mereka seadanya.

Turut hadir Ketua Pengarah Penjara Malaysia Komisioner Jeneral Penjara(KJP) Datuk Seri Zulkipli Omar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee, Timbalan Ketua Pengarah Penjara Malaysia Timbalan Komisioner Jeneral Wan Abdul Rahman Abdullah, Pengarah Penjara Negeri Timbalan Komisioner Abdul Kadir Rais, Pengarah Penjara Sibu Penolong Komisioner Mohd Farid Kamil dan Penghulu Michael Jalani.

PVTMS kecewa ahlinya ditahan ketika kutip derma

$
0
0

THOMAS

Enam ahli jawatankuasanya ditahan semasa mengadakan kutipan derma di pekan Dalat

SIBU: Insiden penahanan seramai enam ahli jawatankuasa Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) oleh polis daerah Dalat semasa mengutip derma Kempen Tabung Pahlawan 2013 Kebangsaan di daerah itu kelmarin dianggap amat mengecewakan dan mengaibkan persatuan.

Presidennya Thomas Ling berkata enam ahli jawatankuasanya yang diketuai Naib Presiden PVTMS Idres Adam ditahan semasa mengadakan kutipan derma di pekan itu sekitar jam 11 pagi dan dibawa menaiki kenderaan polis ke balai untuk disiasat.

“Mungkin masa itu, pihak polis menganggap ahli jawatankuasa saya sebagai pengutip derma haram untuk kegunaan tertentu.

“Mereka juga tetap ditangkap walaupun ada menunjukkan tag pengesahan yang membuktikan mereka dilantik dan dibenarkan menjalankan kutipan derma yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kempen Tabung Pahlawan 2013 Kebangsaan Laksamana Tan Sri Datuk Setia Mohd Anwar Mohd Nor (TLDM) (B).

“Ahli jawatankuasa saya ditangkap kerana gagal menunjukkan Lesen Bagi Menganjur Kutipan yang dikeluarkan oleh pihak atasan.

“Sebaik ahli jawatankuasa saya memaklumkan insiden terbabit kepada saya yang ketika itu berada di Kuching, saya terus fakskan lesen tersebut kepada ketua polis daerah Dalat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, insiden terbabit tidak sewajarnya berlaku kerana kutipan derma itu sering diadakan setiap tahun dan ia dijalankan di seluruh Malaysia.

Katanya ini adalah kali pertama PVTMS membawa tabung itu ke daerah Dalat tetapi terus kena tangkap disebabkan berlakunya kekeliruan pihak polis terhadap persepsi kehadiran ahli-ahli jawatankuasa PVTMS mengutip derma di pekan tersebut.

“Semua masyarakat tahu akan kutipan derma ini, tetapi soalnya bagaimana pihak polis di Dalat masih mempersoalkan ahli-ahli jawatankuasa kami terhadap kutipan itu sedangkan mereka lengkap berbaju korporat PVTMS termasuk dengan tag pengesahan.

“Mereka (ahli jawatankuasa yang terlibat) malu sebenarnya. Mereka ditangkap dan dibawa dengan kenderaan polis di depan khalayak ramai sehingga boleh menimbulkan syak wasangka masyarakat setempat di daerah Dalat terhadap persatuan kami.

“Sepatutnya pihak polis terlibat memberi amaran sahaja dan tidak berbuat demikian memandangkan mereka ada tag pengesahan walaupun tidak membawa lesen berkenaan.

“Memandangkan lesen ini dikeluarkan oleh pihak atasan atas tujuan yang sama di seluruh Malaysia, pihak polis harus tahu akan kehadiran ahli jawatankuasa PVTMS di merata-rata tempat di bahagian negeri ini untuk mengutip derma,” tegasnya.

Sementara itu, Thomas memberitahu bahawa ahli jawatankuasanya dilepaskan dari Balai Polis Daerah Dalat sekitar jam 1 petang dan diberikan masa selama dua jam bagi mendapatkan lesen berkenaan daripadanya yang tidak menyertai kutipan derma di Dalat.

“Mujurlah selepas dimaklumkan oleh Idres saya terus faks lesen berkenaan ke Dalat. Bagaimanapun, kami merakamkan penghargaan kepada ketua polis Dalat kerana memberikan kerjasama kepada kami dan berharap kejadian sebegini tidak berulang lagi,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menulis surat kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman semalam bagi memaklumkan mengenai maklumat Kutipan Kempen Tabung Pahlawan 2013 di seluruh negeri ini oleh PVTMS bagi mengelak berulangnya insiden terbabit.

“Diharap semua pihak polis di negeri ini faham dan tahu akan pergerakan tabung ini dan kami bukannya dibayar mengutip dana ini serta dibuat secara sukarela oleh jawatankuasa saya.

“PVTMS bukannya pengutip derma haram malah kami mempunyai lesen sebagaimana usaha ini turut dijalankan di seluruh negara.

“Ini semua adalah untuk mengenang jasa pengorbanan bekas-bekas tentera yang telah berjuang untuk negara ini mencapai kemerdekaan yang kita nikmati seperti sekarang.

“Kami bukan pengutip derma haram dan diharap masyarakat setempat juga faham kehadiran ahli-ahli kami di seluruh negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Idres memberitahu bahawa kutipan PVTMS di daerah Dalat kelmarin berjaya memperolehi sejumlah RM1,470 dan merakamkan penghargaan kepada masyarakat di Dalat meskipun terdapat insiden yang berlaku.

“Kutipan ini kami akan salurkan ke PBTM Tabung Pahlawan 2013 seperti yang diarahkan oleh pihak atasan dan bukannya kegunaan PVTMS.

“Diharap masyarakat luar tahu dan sedar apa yang kami buat. Kami bukannya pengutip derma haram,” katanya.

Pilihan raya PBT bazir wang dan galak amalan ‘politiking’

$
0
0

KUCHING: Pilihan raya untuk memilih ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menyebabkan pembaziran wang dan menggalakkan amalan ‘politiking’.

Dr Annuar Rapa’ee (BN-Nangka) berkata, langkah itu dilihat kurang efektif untuk meningkatkan keberkesan perkhidmatan PBT di seluruh negeri.

Sekiranya pilihan raya peringkat PBT diadakan menurutnya, masalah politik semasa akan menular ke dalam sistem PBT.

“Kita di Malaysia ini terlalu banyak ‘politiking’… hari ini habis pilihan raya, esok akan bermula kempen untuk pilihan raya akan datang.

“Kalau kita hendak meng-adakan pilihan raya peringkat PBT maka politik akan berlarutan sedangkan PBT amat penting dari segi pelaksanaan dasar kerajaan dan meng-implikasikan pembangunan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2013 Persidangan Dewan Unda-ngan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Menurutnya, pihak pembangkang mungkin merasakan jika pilihan raya peringkat PBT diadakan peluang mereka menang adalah cerah.

“Mereka juga mungkin anggap kalau tiada pilihan raya maka tiada platform untuk bertugas atau menjalankan tanggungjawab.

“Sebab itu mereka fikir perlunya ada pilihan raya peringkat PBT,” ujarnya sambil bersetuju dengan penambahan ahli majlis PBT daripada 25 kepada 30.

Dr Annuar pada masa sama terkejut dengan Ting Tze Fui (DAP-Meradong) yang tidak mempersetujui penambahan penalti atau denda kepada peniaga yang melanggar peraturan PBT.

“Ini menunjukkan beliau (Ting) menyokong pesalah dan bukannya rakyat biasa,” jelasnya.

Kenyataan Dr Annuar itu menyebabkan Ting mencelah dengan menyatakan kerajaan perlu lebih bertimbang rasa dengan penambahan denda disebabkan peningkatan taraf hidup.

“Saya tidak menyatakan saya berpihak kepada pesalah yang melanggar peraturan, saya beritahu kerajaan perlu lebih bertimbang rasa dengan kenaikan denda ini,” kata Ting.

Kemudian Dr Annuar menjelaskan, tiada sebarang penalti dikenakan kepada individu yang tidak melanggar peraturan.

“Kalau tidak mahu bayar penalti, jangan buat salah,” tambah Dr Annuar.

Pelantikan kaunselor daripada golongan muda diperlukan dalam PBT Sarawak

$
0
0

KUCHING: Pelantikan kaunselor daripada golongan muda terutama di kalangan yang berpendidikan tahap ketiga, usahawan dan ahli teknokrat serta profesional adalah diperlukan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

Dr Abdul Rahman Junaidi (BN-Pantai Damai) berkata ia bagi memberi peluang kepada generasi muda berkhidmat kepada masyarakat selain diyakini mampu memberi pandangan serta idea yang lebih bernas untuk meningkatkan prestasi PBT.

“Saranan ini adalah sejajar dengan penekanan kerajaan terhadap penyertaan ramai golongan muda yang berpendidikan tinggi dalam pelbagai sektor pentadbiran iaitu di peringkat kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan termasuk di peringkat pentadbiran PBT,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2013 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Sementara bagi PBT yang tidak dirangkumi oleh ordinan tersebut seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan tidak mem-punyai kaunselor, Dr Abdul Rahman mencadangkan supaya golongan muda profesional turut dilibatkan dalam urusan pentadbiran seperti dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas atau Majlis Perundangan.

“Sekiranya kaedah ini dapat dilaksanakan seperti di PBT-PBT lain nanti, kita pasti golongan muda ini akan dapat membantu DBKU terutama dalam meningkatkan perkhidmatan mereka kepada masya-rakat setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman berkata cadangan dalam ordinan tersebut yang melibatkan pembayaran surcaj kepada cukai yang lambat dibayar, penambahan kadar penalti dan kompaun serta meningkatkan kuasa untuk PBT mengurus selia kawasan dan tapak-tapak perniagaan adalah langkah yang wajar dan perlu dilaksanakan oleh setiap PBT.

Tambah beliau, ini akan dapat memberi penambahbaikan kepada prestasi PBT pada masa akan datang.

“Untuk menjadikan setiap pekan dan bandar kita dalam keadaan bersih, selamat dan mesra masyarakat, PBT mesti-lah mempunyai kuasa yang secukupnya untuk mengurus dan melaksanakan program pembangunan masing-ma-sing termasuk menguruskan aktiviti peniaga-peniaga kecil dan sederhana di kawasan mereka.

“Kini, banyak aduan ma-syarakat tentang peniaga-peniaga makanan yang tidak mematuhi peraturan PBT sehingga mendatangkan masalah dan kesulitan kepada orang awam seperti gangguan lalu lintas, kekotoran akibat pembuangan sampah yang tidak sempurna, penularan vektor penyakit seperti lalat, lipas dan tikus dan sebagainya.

“Justeru, bagi memastikan kegiatan perniagaan seperti ini dapat dikawal selia dengan teratur dan sistematik, mereka yang sengaja melanggar peraturan ini haruslah dikenakan denda atau penalti yang lebih tinggi supaya tahap kesedaran di kalangan mereka dapat dipertingkatkan,” katanya.

Selain itu, beliau turut meng-alu-alukan cadangan untuk menambah bilangan kaunselor dalam PBT di seluruh Sarawak daripada 24 atau 25 orang kepada 30 orang.

“Memandangkan keadaan geografi yang luas dan sistem logistik yang sukar, maka se-setengah PBT kita didapati sukar untuk memberi perkhidmatan terbaik dan berkesan kepada masyarakat.

“Keadaan ini kadang-kadang menjadi lebih rumit akibat bilangan kakitangan yang terhad dan bilangan ahli majlis yang sedikit.

“Dengan penambahan bilangan ahli-ahli majlis tempatan ini nanti, kita pasti tahap perkhidmatan PBT-PBT kita akan bertambah mantap dan lebih menyeluruh,” katanya.

Tambah beliau, skop kawasan pentadbiran PBT di Sarawak adalah berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia di mana setiap inci tanah dan kawasan negeri ini diletak dan ditadbir di bawah sesebuah PBT.

Pembangkang diingat guna saluran betul selesaikan masalah rakyat

$
0
0

KUCHING:Pembangkang diingatkan agar menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah rakyat bukannya menerusi publisiti murahan dengan menggunakan media.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh berkata sebagai wakil yang dipilih rakyat, pemimpin daripada parti pembangkang hendaklah mencari penyelesaian dengan merujuk kepada kementerian atau pihak bertanggung-            jawab.

“Wakil rakyat pembangkang harus menghentikan pertunjukan politik anda dan lakukan kerja yang se-benarnya untuk rakyat.

“Mereka bertanggung-jawab mencari penyelesaian bukannya mencari media untuk membangkitkan isu pada setiap masa.

“Majoriti pegawai kerajaan tidak tahu bahasa Cina (Mandarin) dan mereka terus membangkitkan isu-isu dalam akhbar berbahasa Cina.

“Saya tidak nampak bagai-mana mereka menawarkan jalan penyelesaian pun,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berhenti rehat tengah hari semalam.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata kementeriannya tidak pernah menerima sebarang surat aduan daripada wakil rakyat pembangkang berhubung kelemahan perkhidmatan ditawarkan pihak berkuasa tempatan dan majlis daerah di seluruh Sarawak.

“Mereka tidak pernah me-nulis kepada kementerian saya, jika ada kami akan mencuba sedaya upaya menye-lesaikan isu-isu dibangkitkan. Saya tidak boleh beritahu anda berapa banyak masalah saya tolong selesaikan dalam masa sehari.

“Sekiranya saya pergi kepada media dan memaklumkan apa yang saya lakukan untuk rakyat, saya fikir tidak cukup  ruang untuk saya dalam surat khabar bagi tujuan itu,” tegasnya.

Ujarnya, wakil rakyat pembangkang seharusnya bekerja sama dengan pihak berkuasa atau berwajib dalam menyelesaikan isu-isu rakyat.

Beliau berkata demikian bagi memberi maklum balas kepada kenyataan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak yang juga ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen yang memberitahu media bahawa pihaknya sentiasa menulis surat aduan kepada kementerian sebelum mengeluarkannya dalam akhbar.

Chong berkata bagaimanapun tiada tindakan susulan diambil oleh kementerian mahupun pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab.

“Jika masalah itu masih tidak diselesaikan selepas aduan dibuat, kami tiada pilihan melainkan membawanya kepada umum menerusi publisiti akhbar-akhbar tempatan,” jelasnya.

Kerajaan perlu beri diskaun kepada pembayar cukai lakukan bayaran awal

$
0
0

KUCHING: Kerajaan negeri perlu mempertimbangkan cadangan memberi diskaun kepada pembayar cukai taksiran yang melakukan bayaran awal.

Alan Ling (DAP-Piasau) berkata pemberian diskaun itu penting untuk menggalakkan pembayar cukai melakukan pembayaran tepat pada masanya.

“Apabila pihak berkuasa tempatan memberi teguran kepada mereka yang melakukan pembayaran lewat, apa kata diskaun diberikan kepada yang melakukan pembayaran awal daripada tarikh luput.

“Pemberian diskaun ini bukan sahaja memberi manfaat kepada PBT tetapi membolehkan pihak majlis me-ngumpul pulangan untuk tujuan pembangunan bukannya pemberian dana bagi tujuan itu,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2013 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Ling turut menggesa kemudahan baharu diperkenalkan antaranya, e-Peringatan dan e-Bayaran untuk pembayar cukai terutama yang ber-ada di kawasan luar bandar bagi membolehkan mereka menyelesaikan cukai taksiran masing-masing pada masa ditetapkan.

Katanya peringatan me-nerusi sistem pesanan ringkas (SMS) akan membantu mengingatkan pembayar cukai tentang tanggungjawab mereka manakala pengenalan sistem e-Bayaran akan membolehkan pemilik hartanah di luar Sarawak melakukan pembayaran secara online.

“PBT juga harus menyiarkan nama-nama ahli majlis dalam laman web masing-masing atau dalam surat khabar tempatan untuk makluman orang ramai. Nama, nombor yang boleh dihubungi dan alamat e-mel setiap ahli majlis harus disertakan bersama.

“Buat masa ini, ramai orang tidak tahu siapa ahli majlis mereka. Ahli majlis mesti lebih berdedikasi berkhidmat kepada rakyat bukan hanya untuk nama atau kedudukan sosial,” ujarnya.

Sistem penyampaian PBT ditambah baik

$
0
0

DOKUMEN PENTING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh membawa dokumen penting Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2013.

Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2013 dilulus selepas dibahas perwakilan

KUCHING: Dewan Unda-ngan Negeri (DUN) semalam meluluskan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2013 selepas dibahas oleh beberapa perwakilan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh ketika membentangkan pindaan rang undang-undang tersebut berkata pindaan melibatkan tiga perkara utama iaitu meningkatkan jumlah maksimum ahli majlis yang dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri di 24 pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Ini bermakna katanya jumlah maksimum ahli majlis akan ditambah kepada 30 berbanding 25 orang sebelum ini.

Beliau menambah dua lagi perkara penting dalam pindaan rang undang-undang itu ialah memperkukuhkan lagi kuasa PBT melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya seperti termaktub dalam Ordinan Kerajaan Tempatan 1998 dengan meminda bebe-rapa langkah penguatkuasaan menerusi ordinan asal atau undang-undang kecil.

“Ketiga ialah memper-kenalkan peruntukan baharu yang membolehkan menteri bertanggungjawab mewakilkan pengerusi atau pegawai PBT mengumpul wang menerusi kadar atau  pinjaman seperti termaktub dalam Ordinan Utama dan Undang-Undang Kecil.

“Mewakilkan kuasa seperti ini penting untuk memper-cepat dan meningkatkan sistem penyampaian kepada orang ramai terutama ber-kaitan urusan memproses, mengeluar dan memperbaharui lesen di bawah bidang kuasa PBT berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pindaan-pindaan yang dilakukan terhadap Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 bukti PBT sensitif kepada keperluan rakyat dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menurutnya dengan meng-ambil kira semua pertimba-ngan ini, dicadangkan pindaan dilakukan pada Seksyen 10(A), 11 dan 12 Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 untuk meningkatkan jumlah maksimum ahli majlis.

Seksyen 74 pula katanya, dipinda bagi memberi kuasa kepada PBT mengenakan surcaj ke atas kadar bayaran tertunggak daripada pihak berkepentingan di bawah bidang kuasanya.

“Seksyen 87A (1) dipinda bagi membolehkan mana-mana dokumen atau peralatan berkaitan mana-mana hak atau harta yang boleh dikenakan kadar bayaran berdaftar dengan Pejabat Tanah mesti disertai Sijil Pelepasan Hutan asal.

“Pindaan Seksyen 91 (A) memberi kuasa kepada PBT menggubal undang-undang kecil untuk menetap dan mengawal selia kawasan pentadbirannya.

“Selain itu pindaan 94, 150, 156 (1), 161 (B) dan 161 (B) (2) bertujuan meningkatkan kadar denda dikenakan ke-salahan di bawah Ordinan Utama atau Undang-Undang Kecil,” katanya.

Manakala seksyen baharu iaitu 171(A) dimasukkan untuk memberi kuasa me-wakili kepada PBT dengan kelulusan menteri bertanggungjawab melaksanakan kuasanya di bawah Ordinan Utama dan Undang-Undang Kecil mengumpul bayaran dan pinjaman atau kuasa membuat undang-undang kecil oleh pengerusi dan pegawai bertanggungjawab, jelasnya.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 pelantikan ahli majlis berdasarkan beberapa kriteria bertujuan memperbanyakkan penyertaan perwakilan daripada komuniti dalam proses membuat keputusan serta merancang pembangunan masa depan untuk PBT diwakilinya.

Penglibatan lebih ramai perwakilan katanya, dapat memastikan dasar-dasar atau keputusan dibuat oleh PBT lebih menyeluruh dan menjaga kepentingan penduduk diwakilinya.


Ekonomi Sarawak kukuh hasil kepimpinan berhemah BN

$
0
0

KUCHING: Kerajaan negeri mempunyai kekukuhan ekonomi yang baik ekoran kepimpinan berhemah Barisan Nasional (BN) untuk membangunkan rakyat dan infrastruktur dalam negeri.

Perkara itu diakui Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sambil menjelaskan di peringkat negeri belanjawan telah diagihkan sebanyak 70 peratus kepada pembangunan.

“Kita akan membangun dengan dana lebih RM3 bilion. Ini termasuk untuk beberapa sektor termasuk seperti sektor sosial, sektor ekonomi dan infrastruktur.

“Kita mesti melihat bahawa walaupun kita berbelanja tetapi kita masih ada lebihan sebanyak RM200 juta dan posisi belanjawan kita berada pada tahap terbaik kerana kita juga mempunyai rizab simpanan.

“Pendekatan ini menunjukkan kerajaan negeri mempunyai rangka struktur belanjawan yang berhemah untuk masa depan negeri untuk membangun,” katanya ketika diminta mengulas pembentangan Belanjawan 2014 oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Jelas beliau, lebihan itu menunjukkan kedudukan kewangan negeri menjadi semakin kukuh.

Abang Johari berkata juga pelaburan negeri turut membawa pulangan, dividen banyak RM750 juta seperti yang dilaporkan ketua juruaudit negeri dengan menjelaskan Sarawak turut membuat pelaburan yang betul.

Kerajaan mungkin lindungi bangkai pesawat Jepun di Semenanjung Santubong

$
0
0

KUCHING: Kerajaan negeri melihat pelbagai kemungkinan bagi melindungi tiga bangkai pesawat Jepun yang terhempas ketika Perang Dunia Kedua di bahagian Semenanjung Santubong.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata tindakan itu adalah ekoran penemuan artifak bangkai pesawat oleh beberapa penyelam dan nelayan laut dalam yang dimaklumkan kepada pihaknya sebelum ini.

“Memang ada ekspedisi yang telah dilakukan oleh penyelam yang diselia oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dan ia memang benar bahawa terdapat serpihan kapal itu yang telah diambil orang.

“Saya juga mendapat laporan tentang serpihan berkenaan yang ada antara artifak ini telah rosak kerana terdapat aktiviti penggalian dasar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Tambah beliau, pihaknya akan merujuk kepada Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan beberapa agensi lain yang berkaitan bagi mengkaji dan  memberi cadangan terbaik kepada pihaknya bagi tindakan susulan.

Menurut beliau lagi, bangkai pesawat itu merupakan bahan kognitif dan pihaknya sedang juga mencari jalan terbaik agar para nelayan tidak menggunakan pukat laut dalam untuk menangkap ikan di perairan tersebut.

“Kita mahu mencari jalan untuk tidak membenarkan nelayan ke kawasan itu kerana ia adalah rangka kapal pesawat yang masih bagus,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut berkata mana-mana pihak yang menyimpan artifak itu secara sengaja atau tidak sengaja mungkin akan dikenakan tindakan sekiranya mempunyai bukti.

“Kalau ada bukti mereka menyimpan serpihan itu mungkin kita akan meminta mereka mengembalikannya tetapi setakat ini belum ada lagi.

“Kawasan itu adalah tapak Hutan Simpanan Bencah kita dan kita akan jaga tunggu sehingga kita ada bukti dahulu,” tegasnya.

Abdullah, Dennis sambut baik pelantikan sebagai Penolong Setiausaha Agung PBB

$
0
0

KUCHING: Abdullah Saidol (BN-Semop) berazam meneruskan kesinambungan perjuangan politik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke arah lebih cemerlang demi kepentingan negeri.

Sambil berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi PBB atas pelantikannya sebagai Penolong Setiausaha Agung PBB, beliau yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata, amanah yang diberikan itu tidak akan dipersiakan.

Malah menurutnya, beliau akan berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat dengan bersungguh-sungguh demi kepentingan parti mendukung falsafah politik pembangunan yang sentiasa dititikberatkan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Terima kasih kepada kepimpinan tertinggi PBB atas pelantikan ini. Saya tidak akan mempersiakan kepercayaan dan amanah yang diberi.

“Saya akan cuba berkhidmat dengan bersungguh-sungguh demi kepentingan dan kesinambungan perjuangan politik PBB ke arah yang lebih cemerlang demi kepentingan negeri,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelantikannya sebagai Penolong Setiausaha Agung PBB bersama ADUN Telang Usan Dennis Ngau.

Sementara itu, Dennis menyifatkan pelantikan itu sebagai pengiktirafan besar PBB terhadap komuniti Orang Ulu.

“Biarpun Orang Ulu merupakan komuniti kecil namun kami diberi penghormatan untuk menyandang jawatan tinggi dalam parti,” ujarnya.

Terkejut dengan pelantikan tersebut, beliau berterima kasih kepada pimpinan tertinggi PBB kerana memberi kepercayaan kepadanya menyandang jawatan Penolong Setiausaha Agung.

“Ia merupakan tanggungjawab berat namun saya akan pastikan masyarakat Orang Ulu terus teguh dan bersama PBB,” jelasnya.

Menurutnya, perancangan selepas ini adalah untuk menambah bilangan ahli PBB.

“Saya akan berusaha menambah bilangan ahli agar PBB terus kental sebagai parti tulang belakang Barisan Nasional (BN),” kata Dennis.

Pembentangan Belanjawan 2014 disambut baik

$
0
0

JAMES MASING

Terus kesinambungan demi rangsang, kekal aktiviti ekonomi bagi kukuh ekonomi Sarawak

KUCHING: Belanjawan 2014 bertujuan meneruskan kesinambungan demi merangsang dan mengekalkan tahap aktiviti ekonomi yang diperlukan untuk mengukuhkan pembangunan ekonomi Sarawak.

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, Belanjawan 2014 adalah kesinambungan usaha kerajaan negeri memajukan Sarawak bagi mencapai matlamat menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Objektif Belanjawan 2014 adalah bagi meneruskan kesinambungan untuk merangsang dan mengekalkan tahap aktiviti ekonomi yang diperlukan untuk mengukuhkan pembangunan ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN Petra Jaya di sini semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembanguna Masyarakat itu turut berkata, belanjawan itu juga memperuntukkan dana yang mencukupi untuk projek-projek pembangunan di negeri ini.

Malah, Wong memberitahu bahawa ia meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian kerajaan.

Menurutnya lagi ia juga bagi mencergaskan semula pembangunan sektor swasta di Sarawak selain merapat dan memberi keseimbangan pembangunan di kawasan pedalaman dengan bandar.

“Belanjawan kali ini juga adalah usaha bagi meneruskan usaha kita dalam menyediakan dana untuk pembangunan sosial dan penstrukturan semula serta transformasi ekonomi di Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, aspek pembangunan diberi keutamaan dalam Belanjawan 2014 bagi memastikan kesinambungan pembangunan di negeri ini.

“Saya lihat ia sama seperti yang kita telah laksanakan pada tahun sebelum-sebelumnya yang terus mengutamakan pembangunan untuk Sarawak,” katanya.

Masing memberitahu, kira-kira dua pertiga daripada belanjawan itu diperuntukkan untuk pembangunan di negeri ini dan selebihnya untuk pengurusan.

“Ia baik untuk Sarawak kerana kita mempunyai kerajaan ‘kecil’ dan pembangunan besar yang pastinya memberi keutungan kepada Sarawak.

“Namun, jika kita mempunyai kerajaan ‘besar’ tetapi pembangunan yang kecil pasti tidak memberi keuntungan kepada negeri,” jelasnya.

Menyentuh mengenai peruntukan untuk kementeriannya, Masing memberitahu bahawa ia mencukupi untuk meneruskan program memajukan tanah di Sarawak.

“Saya gembira dengan belanjawan yang dibentangkan dan ia mencukupi untuk kementerian saya,” ujarnya.

DAP pecat Fong Pau Teck

$
0
0

MIRI: Parti Tindakan Demo-kratik (DAP) semalam memecat wakil rakyatnya, Ahli      Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Fong Pau Teck, berkuat kuasa serta-merta.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai di Kuala Lumpur semalam.

Tan yang juga pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP dalam kenyataannya memberitahu bahawa keputusan tersebut berdasarkan fakta-fakta bahawa Fong telah ‘menunjukkan pelbagai tindakan yang mengingkari parti dan telah banyak kali melanggar disiplin parti’.

Kenyataan berhubung pe-mecatan tersebut yang merupakan kemuncak terhadap tindakan ke atas Fong telah disahkan oleh Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen.

“DAP memecat ADUN Pujut Fong Pau Teck kerana       ‘telah menentang parti’ pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada Mei lalu,” kata-nya.

Menurut Chong, Fong didapati membantah keputusan jawatankuasa negeri meletakkan Lim Su Kien sebagai calon parti itu bagi kerusi Parlimen Miri pada PRU13, sebaliknya menyokong calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Michael Teo.

“Kami (DAP Negeri) kemudian merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Disiplin yang diketuai oleh Tan Kok Wai, pada bulan Jun.

“Tidak lama selepas itu, Fong menulis surat kepada parti bahawa beliau mahu menamatkan sumbangan bulanannya sebanyak 10 peratus daripada gajinya (sebagai wakil rakyat) kepada parti,” jelas Chong.

Setiap wakil rakyat di peringkat negeri ini akan menerima gaji berjumlah RM15,000 sebulan.

Menurut Chong, tindakan-tindakan yang dibuat oleh Fong itu termasuk menamatkan sumbangan bulanannya kepada parti membawa kepada keputusan memecatnya daripada parti oleh Jawatankuasa Disiplin.

Sementara itu, Fong gagal dihubungi petang semalam dan hanya membalas sistem pesanan ringkas (SMS) menyatakan bahawa beliau menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak dapat menjawab panggilan.

Dalam SMSnya, Fong turut memberitahu bahawa beliau tidak akan menjawab sebarang soalan peribadi atau berkaitan dengannya melainkan berkaitan tugasnya sebagai wakil rakyat Pujut.

Pada Pilihan Raya Negeri 2011, Fong memenangi kerusi DUN Pujut atas tiket DAP mengalahkan penyandangnya ketika itu, Pengerusi Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Cawangan Pujut yang juga calon Barisan Nasional Andy Chia dengan majoriti 3,849 undi.

Tun Salahuddin meriahkan majlis perkahwinan anak Shafie Apdal

$
0
0

SELAMAT PENGANTIN BAHARU: Tun Salahuddin menepung tawar pasangan mempelai Shazni dan Shazwani. — Bernama

KUCHING:  Kehadiran 1,000 tetamu memeriahkan suasana majlis resepsi perkahwinan anak lelaki Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam kelmarin.

Pasangan mempelai itu, Mohd Shazni Mohd Shafie, 27, merupakan seorang ahli perniagaan dan isterinya Shazwani  Sanai Dundang, 22, penuntut Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Melaka.

Majlis persandingan yang bermula pada jam 8.30 malam itu turut diserikan dengan upacara merenjis air mawar oleh tetamu kehormat dan acara makan ‘nasi temuan’ di antara pasangan pengantin.

Upacara merenjis air mawar pasangan mempelai yang sedondon berpakaian merah jambu dimulakan dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.

Turut menyempurnakan upacara sama ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Norlidah Datuk R.M.Jasni.

Antara kenamaan lain yang turut hadir menyerikan majlis ialah Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

Pasangan tersebut telah selamat diijabkabul pada Jumaat lalu, 11 Muharram di Masjid Al-Taqwa, Kampung Gita di sini.

Turut hadir, ibu bapa pengantin perempuan, Sanai Dundang Jeman dan Salina Abdul Rahman.

Sementara itu, Shafie dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu yang telah menyerikan majlis perkahwinan anaknya.

“Amat besar ertinya atas kehadiran kesemua tetamu yang hadir pada malam ini (kelmarin). Saya dan isteri amat terharu dengan kehadiran dif-dif jemputan.

“Menjadi harapan agar mahligai yang dibina ini kekal hingga ke hujung hayat,” ujarnya.

Sindiket pemalsuan MyKad dipercayai pindahkan operasi ke Miri

$
0
0

BONGKAR: Muhammad Sabtu (tiga kanan) melihat salah satu daripada cop jabatan kerajaan dari Sabah yang dirampas dalam serbuan di Desa Pujut 2, Miri malam Sabtu lalu.

MIRI: Polis Sarawak percaya sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri yang berjaya dibongkar pihaknya di sebuah rumah di Desa Pujut 2 di sini malam Sabtu lalu kemungkinan memindahkan pusat operasi mereka di Sabah ke Miri untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata ini mungkin berlaku kerana isu kad pengenalan palsu telah hangat di Sabah dan sebab itu mereka beralih arah ke sini.

“Tambahan kebanyakan mereka ditahan merupakan rakyat Sabah berketurunan Bajau dan mereka dipercayai mengubah pusat operasi dari Sabah ke Miri, Sarawak untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya sambil menambah polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Miri di sini petang semalam.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Pahlawan Zulkifli Hassan dan Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Mun Kock Keong serta Timbalannya Superintenden Stanley Jonathan Ringgit.

Menurut Muhammad Sabtu, polis percaya kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya yang turut diberkas dalam serbuan tersebut merupakan salah seorang perancang utama dalam sindiket terbabit.

“Difahamkan suspek berusia 57 tahun itu yang bertugas sebagai pembantu am di JPN Putrajaya sedang bercuti dan telah datang ke sini,” katanya sambil mengucapkan syabas kepada polis Miri yang berjaya membongkar sindiket tersebut.

Katanya dalam serbuan yang dilakukan pada jam 9 malam, 16 November lalu di sebuah rumah di Desa Pujut 2, Bandar Baru Permyjaya, Tudan, polis telah menahan 34 individu termasuk enam wanita untuk tujuan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan, dua lelaki Bajau telah ditahan mengikut Peratuan 25 (1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana disyaki memilik kad pengenalan palsu.

Turut ditahan 10 warga Filipina terdiri daripada tujuh lelaki serta tiga wanita dan hasil pemeriksaan mendapati hanya tiga daripada mereka memiliki pasport manakala tujuh lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

“Ketujuh-tujuh suspek kemudian ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 manakala tiga lagi ditahan untuk tujuan pengesahan dokumen perjalanan daripada Jabatan Imigresen,” jelasnya.

Semasa serbuan sama kata Sabtu, polis turut menahan 11 individu terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita termasuk sepasang suami isteri yang merupakan pemilik rumah dengan suaminya berketurunan Kayan dan isterinya, Bajau dari Sabah serta enam lelaki Melayu dari Semenanjung Malaysia termasuk seorang kakitangan JPN Putrajaya.

Manakala 11 individu lain yang turut ditahan dalam serbuan itu kemudian dibebaskan setelah pemeriksaan mendapati mereka memiliki dokumen yang sah.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas wang tunai RM3,100, empat pemacu pena, 10 cop pelbagai jabatan di Sabah, satu beg berisi komputer riba, satu set komputer, satu set pembesar suara, 30 keping salinan sijil lahir dan borang permohonan berserta gambar pemohon.

Turut dirampas 69 keping cabutan yang diperakui sijil kelahiran fotostat, sekeping resit rasmi salinan fotostat daripada JPN Marudi dan tiga salinan fotostat sijil kelahiran dari Sabah.

“Kalau dah ada salinan palsu (sijil lahir) seperti ini, tujuannya memang tidak lain sudah pasti nak buat kad pengenalan palsu,” katanya.

Sehubungan itu, polis mengadakan siasatan terperinci untuk memastikan sama kejadian pecah masuk pejabat JPN Cawangan Beluru, Bakong yang dilaporkan berlaku pada 15 Novermber lalu ada kaitan dengan sindiket berkenaan atau sebaliknya.


Ekonomi negeri dijangka tumbuh 5% pada 2014

$
0
0

MESRA: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu bersalaman dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Mayasarakat Dato Sri Wong Soon Koh semasa tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN).

BERBUAL: Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berbual sesuatu dengan Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis (kiri) dan Ranum Mina (BN-Opar).

BERITAHU SESUATU: Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) memberitahu sesuatu kepada pemberita semasa Hari Pertama Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-17.

KUCHING: Ekonomi Sarawak dijangka tumbuh pada kadar 5 peratus pada 2014 didorong permintaan kukuh domestik dan luar negeri berikutan keadaan ekonomi global yang bertambah baik.

Menteri Kewangan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata ekonomi Negeri bagi tahun 2013 juga dijangka tumbuh pada 4.5 peratus disokong permintaan kukuh domestik oleh pelaburan swasta dan awam dalam projek Koridor Tenaga Diperbahuri Sarawak (SCORE) dan projek-projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Semua sektor ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan positif bagi tahun 2013, dipacu oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

“Bagi suku pertama 2013, penjanaan elektrik bertumbuh kepada 15 peratus berbanding suku pertama 2012.

“Pertumbuhan kapasiti penggunaan elektrik ini adalah hasil daripada peningkatan permintaan daripada industri, khasnya dua projek pembuatan intensif tenaga iaitu Press Metal (Bintulu) Sdn Bhd dan Tokuyama (Malaysia) Sdn Bhd.

“Bagi tempoh yang sama, subsektor perkhidmatan perniagaan, hartanah, insurans dan kewangan berkembang kepada 6 peratus dipacu oleh pertumbuhan non-residential segment,” kata Taib.

Taib berkata demikian dalam ucapan Belanjawan 2014 ketika membentang Rang Undang-undang Perbekalan (2014), 2013 bagi Kementerian Kewangan pada Persidangan DUN di Kompleks DUN di sini semalam.

Dari segi prestasi pendapatan 2013, Taib berkata jumlah kutipan pendapatan negeri dijangka melebihi anggaran asal berjumlah RM4,150 juta tahun ini.

Berdasarkan kepada kutipan pendapatan sedia ada, pendapatan untuk tahun ini adalah sebanyak RM5,236 juta, 26 peratus lebih tinggi daripada anggaran asal.

Sumber-sumber utama pendapatan yang dijangka menyumbang kepada peningkatan ini ialah pendapatan daripada bayaran balik tunai hak minyak dan gas, pulangan pelaburan, premium jualan tanah dan royalti air mentah.

Terdahulu dalam ucapannya, Taib berkata Sarawak berkembang dengan pesat dengan pelaksanaan strategi pembangunan yang telah memperkenalkan nilai tambah kepada ekonomi berasaskan pertanian dan memperluaskan sektor pembuatan.

Strategi pembangunan yang dilaksanakan beberapa tahun ini telah berjaya meningkatkan tahap pendapatan rakyat, meningkat lebih daripada 67 kali daripada RM688 pada tahun 1963 kepada RM46,130 pada tahun 2013.

Paras kemiskinan dalam negeri katanya telah berkurangan daripada 56.5 peratus pada 1970-an kepada hanya 2.4 peratus pada tahun 2012.

“Sehingga kini, sekitar 30,211 kilometer (km) jalan telah dibina di seluruh Sarawak.

“Liputan bekalan elektrik meningkat daripada 34 peratus pada 1980 kepada lebih daripada 90 peratus pada 2012.

“Kemajuan yang sama juga dicapai dalam bekalan air bersih dengan lebih daripada 80 peratus populasi telah menikmati kemudahan ini,” jelasnya.

Sebagai tambahan, kerajaan negeri telah memperkukuhkan usaha dan pelaburan dalam latihan dan pendidikan teknikal.

Sejajar dengan perkara, kerajaan menerusi strategi jangka panjang menambah baik kemudahan latihan teknikal seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), Kolej Teknologi Lanjutan Sarawak (ICATS) dan Pusat Latihan Belia.

Malah, kerajaan turut menubuhkan University College Technology Sarawak (UCTS) di Sibu dengan pengambilan pertama September tahun ini.

Sarawak utamakan pembangunan

$
0
0

BAHARU TIBA: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menghadiri Hari Pertama Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga DUN Ke-17.

Belanjawan 2014 peruntuk RM4,276j bagi pembangunan, RM1,683j belanja operasi

KUCHING: Kerajaan negeri memperuntukkan lebih daripada dua pertiga daripada keseluruhan peruntukan bernilai RM5,959 juta (RM5.9 bilion) yang dicadangkan bagi Belanjawan 2014 bagi tujuan pembangunan.

Menteri Kewangan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata cadangan belanjawan bagi tahun 2014 akan terus menjurus kepada pembangunan dengan RM4,276 juta atau 72 peratus diperuntukkan bagi tujuan tersebut manakala RM1,683 juta atau 28 peratus adalah untuk perbelanjaan operasi.

Dengan anggaran jumlah pendapatan sebanyak RM4,941 juta berbanding perbelanjaan lazim sebanyak RM4,683 juta, Taib yang juga Ketua Menteri menjangkakan Belanjawan 2014 akan mempunyai lebihan sebanyak RM258 juta.

“Belanjawan 2014 diformulakan selepas mengambil kira lima teras dan peruntukan Belanjawan Negara 2014 yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Oktober lepas.

“Dalam usaha kita mencapai pembangunan yang lebih pesat dan seimbang dan untuk pertumbuhan ekonomi yang mapan, Belanjawan 2014 akan berpandukan tujuh objektif dan strategi yang digariskan.

“Antaranya, meneruskan belanjawan yang menjurus kepada pembangunan, menge-kalkan polisi  lebihan belanjawan, menyediakan agihan sumber-sumber pembangunan yang seimbang, memberi keutamaan kepada aktiviti ekonomi, memastikan kecekapan dan kelancaran pengoperasian, meneruskan strategi pengurusan perbelanjaan operasi yang cekap serta terus membantu sektor swasta sebagai mesin utama pembangunan,” katanya.

Taib berkata demikian dalam ucapan Belanjawan 2014 ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2014), 2013 bagi Kementerian Kewangan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, semalam.

Tambah Taib, bagi tahun 2014 pendapatan negeri diunjurkan mencecah RM4,941 juta hasil daripada cukai pendapatan yang dianggar berjumlah RM1,201 juta, perolehan sebelum cukai bernilai RM3,607, non-revenue receipt bernilai RM10 juta serta bayaran balik dan geran pusat bernilai RM123 juta.

“Bagi tahun 2014, kerajaan bercadang memperuntukkan sejumlah RM4,683 juta bagi perbelanjaan lazim dan daripada jumlah ini RM3,000 juta akan disumbangkan kepada Statutory Funds Account bagi membiayai projek dan program pembangunan.

“Peruntukan berjumlah RM1,683 yang dicadangkan bagi perbelanjaan operasi tahun depan merupakan peningkatan sebanyak RM65 juta atau 4 peratus berbanding RM1,618 juta tahun 2013,” tambahnya.

Dalam pada itu, daripada RM4,276 juta peruntukan yang dicadangkan bagi pembangunan 2014, RM1,983 juta adalah untuk pelaksanaan projek-projek dan program-program komersial serta pengindustrian.

RM689 juta akan diperuntukkan bagi pentadbiran am bagi memperbaiki fasiliti kerajaan yang akan mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan.

RM489 juta adalah untuk kemudahan awam terutama pembesaran dan menaik taraf pelbagai bekalan air terutama di kawasan luar bandar, RM169 juta bagi program pembangunan luar bandar, tanah dan pertanian, RM511 juta bagi perkhidmatan masyarakat dan pembangunan sosial manakala RM438 juta lagi bagi perhubungan dan pengangkutan khasnya jalan, jambatan dan pelabuhan.

Taib dalam pada itu mengingatkan ahli-ahli dewan bahawa persekitaran ekonomi global dijangka terus mencabar pada 2014.

Berikutan itu, beliau mengingatkan semua ahli dewan agar meneruskan polisi pengurusan kewangan yang bijak bagi membolehkan Sarawak terus stabil menghadapi persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Sebagai tambahan, dengan sokongan kewangan kukuh daripada kerajaan pusat bagi tujuan pembangunan, negeri ini katanya, dapat terus berkembang dan merapatkan jurang pembangunan dengan rakan-rakan di Semenanjung Malaysia.

Gempa bumi sederhana melanda kawasan timor, Indonesia

$
0
0

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter melanda kawasan Timor, Indonesia pada 5.31 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu ialah 22km timur Kupang, Indonesia dan 1,648km tenggara Sarikei, Sarawak.

Tidak ada ancaman tsunami dikeluarkan. — BERNAMA

Penubuhan MADC satukan rakyat di Meluan demi pembangunan lebih baik

$
0
0

RASMI: Salang (dua kanan) memotong reben sebagai simbolik kepada penubuhan MADC di Meluan.

SIBU: Penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Meluan (MADC) merupakan satu idea bernas dalam usaha menyatupadukan rakyat di kawasan itu demi pembangunan yang lebih baik.

Pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia (MP1M) Sarawak Datuk Joseph Salang Gandum berkata, MADC merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bermatlamat menggerakkan kaum belia untuk menyertai dan menyumbang kepada proses pembangunan.

Selain itu MADC katanya, bercadang mengenal pasti peluang yang disediakan kerajaan untuk para beliau berkecimpung dalam proses pembangunan seperti sektor penternakan dan pertanian komersial.

“Kawasan Meluan mempunyai daya tarikan pelancong tersendiri yang boleh diterokai kerana ia memiliki nilai sejarah seperti dengan adanya Kubu Brooke, Sungai Matup yang  sesuai dijadikan kawasan perkelahan dan melaksanakan sistem tagal.

“Meluan juga merupakan antara kawasan pertanian getah serta lada dan keadaan ini mampu menarik kedatangan pelancong luar negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran MADC di Rumah Entalai Jampong, Meluan, Julau kelmarin.

Menurut Salang, negara sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.

Justeru belia, khususnya di kawasan luar bandar tegas beliau, harus membuat persediaan dari sekarang agar tidak ketinggalan.

“Jangan putus asa sekiranya ada tohmahan yang mendakwa penubuhan MADC bermotifkan politik.

“Biarkan sahaja sekiranya ada pihak yang beranggapan seperti itu,” jelas beliau sambil mengulangi bahawa MADC ditubuhkan untuk menyatukan rakyat ke arah pembangunan yang lebih teratur dan relevan.

Sementara itu, Pengerusi MADC Belayong Jampong memberitahu MADC juga akan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanga Meluan untuk meningkatkan prestasi murid.

MADC juga ujar beliau akan membantu kerajaan memberi khidmat nasihat kepada penduduk berhubung isu-isu semasa sekiranya diperlukan.

Jangan salah guna Kempen Tabung Pahlawan

$
0
0

PERUNTUKAN: Entulu (tiga kanan) menyampaikan cek bernilai RM10,000 kepada John Sikie disaksikan Jiram (dari kiri) Peter Runin, Meran dan Spencer.

Ahli PBTM diingatkan agar tidak adakan kutipan derma daripada orang awam secara terbuka KUCHING: Ahli-ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di negeri ini diingatkan  agar tidak menyalahgunakan Kempen Tabung Pahlawan dengan mengadakan kutipan derma atau sumbangan daripada orang awam secara terbuka.

Ini kerana menurut Yang Dipertua PBTM Sarawak Spencer Birai, kutipan bagi Kempen Tabung Pahlawan perlu disertakan permit atau dokumen yang sah daripada pihak berkuasa sebagai bukti kutipan yang dibuat adalah bagi tujuan yang dinyatakan.

“Baru-baru ini saya dimaklumkan berlakunya sesuatu yang kurang menyenangkan di Selangau di mana terdapat ahli-ahli kita yang mengadakan kutipan sumbangan daripada orang awam secara terbuka.

“Ini bukan cara yang betul dan saya berharap agar anda semua akan lebih berhati-hati ketika menjalankan kutipan sumbangan bagi Kempen Tabung Pahlawan demi menjaga nama baik persatuan serta angkatan tentera sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan anjuran PBTM Cawangan Batu Kawa serta Ulang Tahun Ke-10 PBTM cawangan berkenaan di salah sebuah restoran di sini Ahad lalu.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun merangkap Ahli Parlimen Selangau dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan) merangkap Penaung PBTM Cawangan Batu Kawa Datuk John Sikei Tayai.

Turut hadir, Penasihat PBTM Sarawak Mejar (B) Peter Runin, Ketua Cawangan PBTM Batu Kawa Kapten (B) Meran Ubong, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang dan pengerusi pengelola Jiram Sampek.

Mengulas mengenai majlis itu, Entulu berkata ia amat bermakna kepada semua yang hadir termasuk masyarakat di luar sana kerana rakyat sedia maklum bahawa anggota tentera merupakan tulang belakang kepada negara.

Sebab itu beliau menyokong penuh pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan kepada anggota-anggota dan bekas-bekas tentera yang sedang dan pernah berkhidmat kepada negara sebelum atau selepas merdeka.

Malangnya menurut Entulu, terdapat segelintir pihak atau individu yang memperkecilkan anggota-anggota tentera negara dan lebih menyedihkan apabila ada kalangan mereka yang memberi sokongan kepada musuh negara.

Sebagai tanda sokongan dan bagi membantu bekas-bekas tentera, Entulu dan John Sikie masing-masing memperuntukkan sejumlah RM10,000 kepada PBTM Cawangan Batu Kawa bagi Kempen Tabung Pahlawan.

Pada majlis itu, Entulu turut menyampaikan sumbangan kepada 13 orang penerima terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), individu sakit, mangsa bencana alam, balu anggota tentera serta warga emas.

Viewing all 47228 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>