Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 47228 articles
Browse latest View live

Perbezaan budaya, agama kekuatan rakyat Sarawak

$
0
0

LIMBANG: Perbezaan latar belakang, budaya dan agama dianuti lebih 27 suku kaum menjadi kekuatan rakyat negeri ini  hidup dalam keadaan harmoni, bersatu padu dan bekerjasama.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata perbezaan tersebut tidak pernah menjadi masalah kepada perpaduan kaum sebaliknya menjadikan masyarakat terus bersatu padu dan harmoni.

Katanya meskipun Islam menjadi agama rasmi dalam negara seperti termaktub dalam perlembagaan, kaum-kaum lain bebas mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.

“Tiada tembok perbezaan dalam memastikan rakyat di Sarawak terus hidup harmoni meskipun mempunyai kepercayaan, budaya, agama dan bahasa berbeza.

“Oleh itu, kita perlu mengelak daripada menjadi masyarakat kelam-kabut dan syak wasangka antara satu sama lain sehingga menjejaskan keharmonian dan pembangunan negeri ini,” katanya pada Majlis Hari Krismas 2014, di sini malam kelmarin.

Hadir memeriahkan majlis itu Pemangku Yang di-Pertua Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri, Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar.

Turut hadir isteri Awang Tengah, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais dan isteri Datin Masnah Ahmad, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan isteri Mary Sindang, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan isteri Dayang Maimunah Mohd Daud, Temenggung Wilfred Yussin Bunjok dan Pemanca Nicholas Buyok.

Awang Tengah berkata setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan dan tanggungjawab memelihara perpaduan tanpa mengharapkan kerajaan dan pemimpin tempatan sahaja.

“Kita amat bersyukur kerana mempunyai kerajaan adil dan saksama tanpa meminggirkan kepentingan mana-mana kaum.

“Malah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem juga komited agar golongan ekstrem dan fanatik tidak dibenarkan masuk ke negeri ini kerana dikhuatiri boleh memecahbelahkan keharmonian rakyat,” ujarnya.

Katanya amalan sederhana atau wasatiyyah perlu terus diamalkan seperti diajar dalam Islam sekali gus menolak fahaman ekstrem.

“Jangan terbawa-bawa dengan isu sensitif yang diungkit-ungkit seperti berlaku di Semenanjung Malaysia, sebaliknya di negeri ini perbezaan kaum merupakan kekuatan kita terus hidup aman dan damai,” katanya.


Universiti bertanggungjawab lahir ilmuan peka seni

$
0
0

KOTA SAMARAHAN: Universiti mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada usaha melahirkan ilmuan yang peka seni, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata ia selari dengan usaha untuk melahirkan seniman atau aktivis seni yang berilmu dan profesional.

“Kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Kesenian Sarawak yang diharap dapat memeta hala tuju dan agenda kebudayaan dan kesenian di negeri ini.

“Justeru, saya berpandangan bahawa universiti mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada usaha melahirkan ilmuan yang peka seni dan juga dalam matlamat kita melahirkan seniman berilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Festival Tari Universiti-Universiti Borneo Kelima di Dewan Jubli Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak di sini malam kelmarin.

Fatimah menambah, aktiviti tarian dan kebudayaan bukan sahaja memberi manfaat kepada mahasiswa tetapi juga memantapkan jaringan hubungan sosial dan profesional di Pulau Borneo ini.

“Ini kerana Pulau Borneo ini kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan kesenian etniknya yang boleh diketengahkan dan dikongsikan bersama,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata aktiviti kesenian dan kebudayaan dapat mendedahkan generasi baharu tentang tradisi, warisan dan khazanah bangsa di Pulau Borneo.

Universiti Malaysia Sabah (USM) Kampus Antarabangsa Labuan dinobatkan sebagai juara Festival Tari Borneo kelima sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan dan sijil.

Selain itu, USM Kampus Antarabangsa Labuan turut merangkul Anugerah Busana Terbaik.

Sementara itu, naib johan dimenangi UiTM Sabah yang turut dinobatkan sebagai Koreograper Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM3,000, piala dan sijil.

Manakala tempat ketiga disandang oleh UiTM Sarawak dengan membawa pula wang tunai RM2,000, piala dan sijil.

Hadir sama Rektor UiTM Sarawak Datuk Dr Jamil Hamali dan tetamu kehormat lain.

Dewi membanggakan Sarawak dan Malaysia

$
0
0

Warganegara Malaysia pertama menang ‘Miss Talent’ pada Miss World 2014 di London, Ahad lepas

Miss Malaysia World 2014 Dewi Liana Seriestha warganegara Malaysia pertama menangi gelaran ‘Miss Talent’ pada Miss World 2014 di London. — Gambar AFP

KUCHING: Miss Malaysia World 2014 Dewi Liana Seriestha telah menjadi warganegara Malaysia yang pertama memenangi gelaran ‘Miss Talent’ pada pertandingan akhir Miss World 2014 yang diadakan di London, Ahad lepas.

Anak tempatan Sarawak berumur 25 tahun itu memikat hati juri dan penonton di Auditorium Excel London ICC bersama ribuan penonton yang tidak melepaskan peluang menonton di kaca televisyen.

Dewi menampilkan persembahan vokal yang mantap selain Miss Scotland, Ellie McKeating yang membuat persembahan menonjolkan vokal ‘gaelic’ tradisional negaranya.

Anak Sarawak itu bagaimanapun mempersembahkan lagu klasik opera bertajuk ‘Don Juan Triumphant’ yang dipetik daripada album ‘The Phantom of the Opera’.

“Saya memilih untuk menyanyikan lagu itu kerana ia menunjukkan bakat tersendiri yang saya miliki.

“Pada masa yang sama, ia juga bagaimana cara saya tunjukkan betapa saya mencintainya muzik klasik dan apa yang telah saya pelajari di kelas vokal sebelum ini.

“Miss Scotland merupakan pesaing yang tidak kurang hebatnya dan ia merupakan saat paling sukar buat juri untuk membuat keputusan.

“Namun nampaknya nasib menyebelahi saya dan amat berterima kasih kerana dapat memenangi gelaran ini untuk Malaysia,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.

Tambahnya, pengalaman dan persembahan di pentas dunia itu merupakan kenangan yang amat berharga buat dirinya.

“Saya telah mencuba sebaik mungkin, tetapi memang saya amat gembira.

“Tuhan berikan saya sebab untuk memenangi gelaran ini untuk menjadikan ia inspirasi kepada yang lain yang mempunyai bakat dalam bidang muzik,” yang juga merupakan antara 25 peserta pertandingan akhir.

Gelaran Miss World 2014 dimahkotakan kepada Miss South Africa Rolene Strauss, berumur 22 dan juga seorang siswi perubatan tahun keempat oleh Miss World 2013 Megan Young dari Filipina.

Disusuli Miss Hungary Edina Kulscar, sementara Miss United States Elizabeth Safrit berada di tempat ketiga pada pertandingan ratu cantik kali ke-64 itu.

Sepuluh finalis teratas adalah Miss Australia Courtney Thorpe, Miss England Carina Tyrrell, Miss Guyana Rafieya Husain, Miss Mexico Daniela Alvarez Reyes, Miss Brazil Julia Gama, Miss Kenya Idah Nguma dan Miss India Koyal Rana.

Pada masa yang sama, Presiden Persatuan Warisan Bung Bratak Datuk Peter Minos berkata ‘Miss Talent’ yang dimenangi Dewi Liana membuktikan Malaysia mempunyai ramai rakyat yang berbakat, antara lain mereka diketepikan atau tidak berpeluang untuk menonjolkan bakat itu.

Beliau sendiri mengucapkan penghargaan kepada Dewi sambil menambah ‘Miss Talent’ berumur 25 tahun yang berasal dari Kampung Tematu itu boleh mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian ditambah dengan bidang peragaan dan tarian.

“Sebagaimana Pandelela Rinong dari Kampung Jugan yang memenangi gangsa pada Olimpik 2012 di London, Dewi membuatkan komuniti Bidayuh berbangga dengan kejayaan mereka di pentas dunia.

“Dia adalah kebanggaan Sarawak dan Malaysia,” kata Minos, yang juga merupakan bekas presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).

BERBAKAT: Dewi mempersembahkan ‘Don Juan Triumphant’ di pertandingan akhir Miss World 2014 baru-baru ini. — Gambar Dewi Liana Seriestha

MEMBANGGAKAN: Dewi menerima anugerah ‘Miss Talent’ daripada Miss Wold 2014, Rolene Strauss. — Gambar Dewi Liana Seriestha

Remaja lemas ketika berenang di Sungai Rayu

$
0
0

KUCHING: Perkelahan sempena cuti sekolah bertukar tragedi apabila seorang remaja lemas ketika berenang di Sungai Rayu, Pusat Hidupan Liar Matang, di sini.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Raisma Anil Safawi didapati hilang sekitar jam 4 petang ketika sedang berenang.

Pasukan Bomba dan Penyelamat kemudian dikerahkan ke tempat kejadian bagi memulakan operasi mencari dan menyelamat.

Mangsa berjaya dijumpa sekitar jam 5.45 petang namun gagal diselamatkan.

Menurut maklumat daripada Pusat Gerakan Bomba, mangsa dijumpai di dasar sungai pada kedalaman lebih kurang 15 kaki.

Difahamkan, mangsa berkelah bersama adik beradik dan kawan-kawan seramai lima orang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Jalan dilanda tanah runtuh dibuka semula

$
0
0

PULUH: Laluan utama Serian-Tebedu mula digunakan seperti biasa.

SERIAN: Laluan utama yang menghubungkan antara Serian dan Tebedu yang terputus berikutan kejadian tanah runtuh petang kelmarin kembali dibuka kepada trafik hampir sembilan jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintenden Chung Aik Peng berkata, kerja membersihkan jalan dimulakan oleh Jabatan Kerja Raya serta kontraktor sekitar jam 8.30 malam selepas penilaian susulan kejadian pada jam 4.50 petang selesai dilakukan.

“Jalan raya itu kembali dibuka kepada trafik jam 1.30 pagi tadi (semalam) selepas JKR menjalankan kerja pembersihan jalan bersama pihak kontraktor,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Katanya papan tanda telah didirikan bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa berada dalam keadaan berwaspada ketika melalui jalan tersebut.

JKR masih memantau kawasan runtuhan tersebut.

Bas bawa 26 penumpang terbabas

$
0
0

TERBABAS: Bas terbabas dalam kemalangan di Simpang Bulat, Sarikei awal pagi semalam.

SARIKEI: Sebuah bas dalam perjalanan dari Miri ke Kuching terbabas di Simpang Bulat, di sini sekitar jam 3 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, bas terbabit dipercayai membawa seramai 26 penumpang.

Menurut sumber, bas terbabit hilang kawalan lalu merempuh papan tanda dan anak bukit di bahu jalan.

Namun, tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan dan semua penumpang yang cedera ringan dirawat di Hospital Sarikei.

Polis yang dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Lelaki nyaris maut langgar lampu jalan

$
0
0

MALANG TIDAK BERBAU: Dua tiang lampu jalan tumbang selepas dilanggar sebuah kereta di Lutong Baru, Miri semalam.

MIRI: Seorang lelaki nyaris maut selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu jalan sebelum terbabas ke jalan bertentangan di Lutong Baru, di sini pagi semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi menyebabkan kesesakan di sepanjang jalan berkenaan, namun pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan parah.

Menurut saksi, ketika kejadian kereta jenis Proton dalam perjalanan dari Kuala Baram ke Lutong dipandu laju.

Akibat rempuhan kereta itu, dua tiang lampu jalan di tengah-tengah pembahagi jalan tumbang sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya.

Polis yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima aduan turut membantu mengawal kesesakan trafik.

Lelaki sanggup berbohong supaya MyKadnya diganti secara percuma

$
0
0

SIBU: Gara-gara mengharapkan permohonan MyKad baharunya digantikan secara percuma, seorang lelaki cuba ‘membuat skrip palsu’ dalam laporan polisnya di sini semalam.

Mulanya, lelaki dalam lingkungan usia 30-an itu memberitahu polis bahawa dia membuat laporan polis kerana MyKadnya didapati hilang selepas diragut.

Apabila ditanya bila diragut, lelaki itu berkata insiden itu berlaku pada 10 Disember lalu iaitu pada malam Rabu.

Pengadu turut mendakwa dirinya dibawa lari dengan menaiki motosikal menuju ke Jalan Kemunyan di sini.

Pengadu berkata dia ditumbuk oleh dua lelaki yang tidak dikenalinya sebelum dibiarkan dalam keadaan separuh sedar.

Pengadu juga memberitahu, dia dihantar ke Hospital Sibu dengan menaiki kereta polis.

Ketika ditanya bagaimana dia dapat pergi ke hospital, pengadu menjawab ada orang bermain golf di situ menghubungi polis kerana memikirkan dia adalah ‘orang gila’ merayau-rayau di kawasan itu.

Setelah ditanya sama ada dia ada mengalami kecederaan atau tidak, pengadu memberitahu bahawa dia tidak cedera tetapi hanya mabuk sedikit.

Yang peliknya, dia memberitahu mengalami nasib malang dua kali dan tidak dapat ingat dengan jelas bila MyKadnya hilang.

Malah pengadu tidak pasti di mana dia diragut.

Pengadu juga memberitahu bahawa sampel darahnya baharu sahaja diambil oleh pihak hospital untuk tujuan yang hanya diketahui oleh pengadu sendiri pagi semalam.

Bingung selepas pengadu memutar belit laporan kehilangan MyKad, pengadu dinasihati berterus terang dan membuat laporan polis secara ringkas.

Difahamkan pengadu dipercayai cuba membuat laporan palsu agar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini tidak mengenakan sebarang bayaran permohonan baharu MyKadnya.

JPN tidak memberi jaminan pengecualian bayaran walaupun laporan polis dilampirkan bersama bagi permohonan baharu MyKad yang sudah hilang.

“Laporan polis mengenai kehilangan MyKad hanyalah sebagai rujukan JPN sahaja.

“Jika kehilangan MyKad berpunca daripada kecuaian mereka sendiri, mereka pasti dikenakan bayaran RM110 untuk kehilangan pertama,” kata seorang pegawai JPN di sini.

Beliau menambah, jumlah bayaran meningkat RM210 untuk kehilangan kali kedua dan bayaran itu semakin meningkat untuk permohonan seterusnya.


Lelaki cedera terkena cakera pemotong rumput

$
0
0

Oleh Rosemaria Buma //

Cakera pemotong dipasang pada mesin pemotong rumput patah lalu terpelanting dan terkena paha kanan Muslie

CEDERA: Muslie dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Miri menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

MIRI: Seorang lelaki warga emas cedera apabila cakera pemotong yang dipasang pada mesin pemotong rumput yang digunakannya patah lalu terpelanting dan terkena paha kanannya dalam kejadian di sebuah institut kemahiran di Jalan Kuala Baram Bypass, di sini pagi semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Muslie Taman Buson, 56, dan berketurunan Berawan kemudian dikejarkan ke Hospital Miri menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut sumber, sebelum kejadian sekitar jam 8.30 pagi itu mangsa bersama enam rakan sekerja termasuk seorang penyelia wanita baharu hendak memulakan tugas rutin memotong rumput di kawasan institut terbabit.

Sementara itu, menurut seorang rakan sekerja mangsa dikenali sebagai Ree, mereka tiba di tempat kerja sekitar jam 8 pagi bersama seorang penyelia.

“Sebelum kejadian, Muslie sempat mengasah cakera pemotong yang dipasang pada mesin pemotong rumput yang digunakannya sebelum menghidupkan mesin tersebut untuk memulakan tugas rutin.

“Selang beberapa saat setelah mesin dihidupkan, kami dikejutkan dengan suara mangsa mengerang kesakitan akibat luka di bahagian paha setelah terkena cakera pemotong yang tiba-tiba patah dan terpelanting ke arah paha kanannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Melihat keadaan itu, penyelia mangsa yang hanya dikenali sebagai Doreen segera menghubungi pihak hospital untuk mendapatkan bantuan.

Berikutan itu, sepasukan paramedik daripada Hospital Miri bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan tentang insiden tersebut.

Difahamkan cakera pemotong digunakan mangsa berukuran diameter lima inci.

Anak kucing tertusuk besi pagar

$
0
0

CEDERA: Anak kucing cuba melepaskan diri setelah kakinya tertusuk besi pagar di sebuah rumah di Jalan Meranti, Sarikei.

SARIKEI: Seekor anak kucing liar yang kakinya tertusuk besi pagar di sebuah rumah di Jalan Meranti di sini, berjaya diselamatkan oleh pihak bomba.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 7.09 malam kelmarin daripada seorang pemanggil dikenali sebagai Jong.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati seekor anak kucing cedera di bahagian kaki kanan belakangnya kerana tertusuk besi pintu pagar sebuah rumah.

“Bomba mengambil masa lebih kurang 15 minit menyelamatkan kucing terbabit,” katanya di sini semalam.

Sebaik bomba berjaya menyelamat kucing itu, ia dilepaskan semula bersama ibunya (ibu kucing) yang sedia menunggu anaknya tidak jauh dari lokasi kejadian.

Maut terhantuk tiang

$
0
0

Oleh Sandy Mark Luna //

Remaja terbunuh akibat terhantuk pada tiang lampu selepas motosikalnya langgar pembahagi jalan

HILANG KAWALAN: Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Batu Kawa.

SIMON DOM

KUCHING: Seorang remaja dari Sebuyau terbunuh dalam satu kemalangan di Jalan Batu Kawa di sini, malam kelmarin (Ahad).

Mangsa yang bermotosikal dikatakan dalam perjalanan dari Bandar Baharu Batu Kawa ke Batu Tiga dalam insiden sekitar jam 11 malam itu.

Bagaimanapun, ketika tiba di hadapan sebuah sekolah dia yang dikenal pasti sebagai Simon Dom, 19, dikatakan hilang kawalan ke atas motosikalnya lalu melanggar pembahagi jalan.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala apabila terhantuk pada tiang lampu selepas terhumban dari motosikalnya.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia sekitar tengah malam.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 30 tahun yang terbabit dalam kemalangan di Santubong dekat sini, turut dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam.

Mangsa yang dipercayai terbabas selepas melalui jambatan Santubong hanya disedari apabila sebuah Perodua Kancil merempuh motosikal yang terpelanting ke laluan bertentangan.

Mangsa yang kelihatan tidak mengalami kecederaan serius dibawa ke HUS untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, mangsa menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9 pagi semalam, dipercayai akibat pendarahan dalaman.

DAP perlu lebih berhemah keluarkan kenyataan isu hudud, kata PAS

$
0
0

JOHOR BAHARU: PAS semalam meminta pemimpin-pemimpin DAP supaya lebih berhemah dalam mengeluarkan kenyataan mereka khususnya yang melibatkan dasar PAS.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata walaupun PAS menghormati hak demokrasi DAP untuk berbeza pandangan dan tidak bersetuju, namun ia berpendapat sikap parti itu secara berterusan mempertikaikan hak PAS memperjuangkan undang-undang hudud di Kelantan khususnya, adalah sangat tidak baik dan tidak wajar.

“Ia adalah satu percubaan meretakkan hubungan di kalangan Pakatan Rakyat (PR),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya tindakan itu adalah siri berangkai beberapa lagi tindakan DAP yang mempertikaikan PAS termasuk semasa krisis Menteri Besar Selangor beberapa bulan lepas.

Mohd Khairuddin menegaskan undang-undang jenayah Islam termasuk Hudud adalah sebahagian daripada perjuangan PAS yang tidak boleh ditawar-menawar.

“Menjadi hak PAS untuk terus memperjuangkan pelaksanaan undang-undang ini di dua negeri majoriti umat Islam iaitu Kelantan dan Terengganu dengan pelaksanaannya terhadap penjenayah dalam kalangan orang Islam sahaja menerusi Mahkamah Syariah, melainkan jika penjenayah bukan Islam juga meminta untuk dilaksanakan ke atas mereka atas prinsip perundangan ‘mutatis mutandis’,” kata beliau.

Mohd Khairuddin berkata parti-parti dalam PR menyetujui dasar-dasar bersama yang boleh dikompromi menjadi sebahagian manifesto bersama dalam pilihan raya umum berasaskan konsep Negara Berkebajikan dan Negara Adil Untuk Semua.

Oleh itu, setiap parti itu perlu menghormati perbezaan dasar dan perjuangan masing-masing kerana ia merupakan asas kepada persefahaman PR.

Pada Konvensyen Kebangsaan DAP 2014 pada Ahad lepas, ia meluluskan sembilan resolusi merangkumi 32 perkara termasuk menolak cadangan melaksanakan hukum Hudud yang diperjuangkan PAS.

Pada konvensyen itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa pakatan pembangkang untuk menjelaskan pendirian mereka untuk tidak melaksanakan hudud jika mahu menang pada pilihan raya umum akan datang. — Bernama

Rumpai miang Mexico di NS dalam keadaan terkawal

$
0
0

SEREMBAN: Rumpai miang Mexico yang terdapat di beberapa kawasan di Negeri Sembilan berada dalam keadaan terkawal, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Datuk Hasim Rusdi.

Hasim berkata tiga lokasi yang dikenal pasti ditumbuhi rumpai miang Mexico atau nama saintifiknya parthenium hysterophorus ialah di Rantau (Siliau), Johol dan Kuala Pilah.

“Orang ramai tidak perlu risau kerana Jabatan Veterinar dan Jabatan Pertanian telah diarah untuk membuat pemantauan dari semasa ke semasa di samping menghapuskan tumbuhan ini menggunakan racun.

“Ia tumbuh secara bertompok-tompok di sesuatu kawasan disebabkan oleh haiwan ternakan seperti lembu yang diimport. Najis yang terhasil daripada haiwan ternakan tersebut menyebabkan tumbuhan ini terus membiak termasuk di sekitar jalan di Kuala Pilah,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.

Para penduduk tidak menyedari bahawa rumpai miang Mexico yang tumbuh di pekarangan rumah mereka sebenarnya mendatangkan bahaya seperti didedahkan Kementerian Kesihatan.

Tumbuhan renek yang mempunyai bunga berwarna putih dan daunnya seakan-akan ulam raja itu mempunyai ketinggian antara 1.5 meter dan dua meter, boleh didapati di merata-rata tempat.

Hasim berkata tumbuhan ini mendatangkan risiko kerana getah yang terdapat di setiap batang tumbuhan itu menyebabkan mangsa mengalami rasa gatal yang berbisa. — Bernama

Mangsa banjir Kemaman berpuas hati dengan kemudahan pusat perpindahan

$
0
0

KEMAMAN: Mangsa banjir di Kemaman yang berpindah ke pusat pemindahan di sini berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan selain proses pemindahan mereka yang teratur.

Rata-rata mangsa banjir yang ditemui Bernama berpuas hati dan bersyukur dengan perkhidmatan semua agensi yang terlibat dalam pemindahan dan persiapan di pusat pemindahan.

Salah seorang warga emas, Mohamad Abas, 66, dari Kampung Baru Kemasik berkata beliau yang tidak dapat berjalan dengan sempurna akibat kaki yang patah semasa kemalangan tiga tahun lalu ditempatkan di bilik bawah di pusat pemindahan bersama warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

“Syukurlah pihak pengurusan pusat pemindahan ini sediakan bilik khas untuk golongan seperti pakcik…jadi pakcik tak perlu naik ke tingkat atas sebab mangsa yang lain (yang sihat) ditempatkan di bilik darjah bahagian atas di sekolah ini.

“Di pusat pemindahan ini juga disediakan bilik rawatan khas untuk mereka yang memerlukan ubat-ubatan, memang baguslah sebab musim hujan macam ni memang ramai yang mengalami demam dan penyakit lain, terutama warga tua,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Kemasik di sini semalam.

Beliau berpindah bersama lima lagi anaknya pada jam 2 petang kelmarin setelah hujan lebat dan air sungai mula melimpah ke dalam rumah sehingga paras paha.

Sebelum ini, Anggota Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah mengarahkan pihak di kawasannya melakukan satu persediaan awal logistik di pusat-pusat pemindahan termasuklah menambah kemudahan terutama kepada golongan wanita.

Ini dilakukan bagi memberikan keselesaan kepada mangsa banjir di kawasan Parlimen yang diwakili oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia itu.

Seorang lagi mangsa banjir, Roznita Mohamad, 45, dari Kampung Baru Kanan berkata meskipun terpaksa berpindah beramai-ramai, semua kemudahan dan keperluan asas disediakan lengkap untuk mangsa-mangsa banjir.

“Dekat pusat pemindahan ni lengkap disediakan toto, tikar, peralatan mandi dan makanan juga mencukupi…hilang sekejap pening fikirkan musibah banjir yang melanda.

Di pusat pemindahan ni juga, kami diasingkan antara lelaki dan perempuan dan diberi pilihan untuk tinggal berapa keluarga dalam satu bilik darjah, jadi tidak timbul soal bergaul lelaki dengan perempuan,” katanya yang berpindah bersama suami dan tiga anaknya.

Menurutnya, beliau yang sudah empat tahun terpaksa berpindah akibat banjir berterima kasih kepada kerajaan negeri serta semua agensi yang terlibat dalam persiapan dan pemindahan mangsa banjir.

Bagi Shamsiah Mohd Nor, 39, dari Kampung Padang Kubu, beliau mengambil peluang untuk pulang ke rumahnya bagi membersihkan rumah berikutan cuaca dilihat baik semalam.

“Alhamdulillah, hari ni (semalam) kami dibenarkan pulang, kak ambik peluang ni untuk bersihkan lumpur dalam rumah ni sebab kalau tak bersih dari awal, bimbang juga nanti kalau hujan balik, air sungai akan melimpah dan lumpur bertambah banyak dalam rumah.

“Memang kak selalu berpindah, dah 13 tahun duduk kat sini, pusat pemindahan tu dah jadi rumah kedua keluarga akak tiap kali musim tengkujuh,” katanya yang berpindah bersama tiga anaknya.

Sementara itu, di Kemaman terdapat enam pusat pemindahan yang masih dibuka melibatkan 82 keluarga dan 338 mangsa. — Bernama

Zahid umum terma rujukan Jawatankuasa Tetap dan Jawatankuasa Kerja laporan RCI Sabah

$
0
0

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri semalam mengumumkan terma-terma rujukan (TOR) bagi Jawatankuasa Tetap dan Jawatankuasa Kerja seperti disyorkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lima terma rujukan bagi Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ialah meneliti dan mengkaji dapatan dan isu-isu RCI dengan tumpuan untuk penambahbaikan di masa akan datang.

Terma lain ialah meneliti maklumbalas, aduan dan pandangan masyarakat Sabah melalui forum serta konsultasi berhubung pengurusan warga asing di Sabah; mengkaji pelaksanaan pengurusan pendatang asing di Sabah; dan mengemukakan syor ke atas keududukan pendatang asing mengikut peraturan dan undang-undang.

Terma terakhir bagi Jawatankuasa Kerja ialah menyediakan pelan tindakan dalam mengatasi isu masalah pendatang asing dari segi sosial, ekonomi, keselamatan dan lain-lain.

Ahmad Zahid juga mengumumkan bahawa setiausaha bersama bagi Jawatankuasa Kerja berkenaan ialah Setiausaha Persekutuan Sabah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

Tiga terma rujukan bagi Jawatankuasa Tetap yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah ialah meneliti syor dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kerja dan memperakukan syor untuk pertimbangan jemaah menteri serta memantau pelaksanaan ke atas keputusan-keputusan jemaah menteri.

Ahmad Zahid juga turut mengumumkan anggota-anggota di bawah Jawatankuasa Kerja iaitu Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia(JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah, Majlis Keselamatan Negara dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan.

Anggota-anggota lain dalam jawatankuasa berkenaan ialah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Lembaga Pelabuhan Sabah, Kementerian Wilayah Persekutuan, Peguam Besar Negeri dan agensi-agensi lain yang berkaitan (jemputan mengikut keperluan).

Anggota di bawah Jawatankuasa Tetap pula ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM), ahli akademik, badan bukan kerajaan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Anggota-anggota lain ialah PDRM, Peguam Besar Negeri, Exco Kerajaan Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah JIM, Ketua Pengarah JPN, Kementerian Luar, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah, Esscom dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Setiausaha bersama bagi Jawatankuasa Tetap ialah Setiausaha Persekutuan Sabah dan Setiauasaha Kerajaan Negeri Sabah.

Sementara itu, Ahamd Zahid berkata kedua-dua jawatankuasa berkenaan sudahpun mengadakan mesyuarat tidak rasmi pertamanya semalam. — Bernama


Tidak wujud perancangan projek IC libatkan JPN, agensi

$
0
0

KOTA KINABALU: Tidak wujud perancangan Projek IC (kad pengenalan) di Sabah melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau jabatan serta agensi kerajaan negeri, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Zahid berkata ada perbuatan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh individu sama ada yang berada di dalam atau di luar JPN ketika itu, namun tindakan proaktif telah pun diambil terhadap individu berkenaan secara perundangan.

“Tindakan telah diambil lebih awal sebelum wujudnya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) apabila 94 orang pelaku kesalahan ditahan pada ketika itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Maknanya tindakan proaktif telah dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Dalam hal ini, saya meminta semua pihak agar berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kami di Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan persekutuan dan negeri secara ikhlas bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang wujud,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Pusat Tahanan Sementara (PTS) pendatang tanpa izin (PATI) di Kimanis semalam.

Zahid juga menjelaskan penduduk warganegara Malaysia di Sabah adalah lebih rendah berbanding penduduk warganegara Malaysia di Sarawak.

Katanya berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan 2010, jumlah keseluruhan penduduk di Sabah, termasuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia yang memiliki dokumen sah dan PATI ialah 3.2 juta orang.

Bagaimanapun daripada jumlah 3.2 juta orang itu, penduduk warganegara Malaysia di Sabah cuma 2.511 juta orang, berbanding Sarawak 2.6 juta orang.

Berdasarkan jumlah 3.2 juta orang penduduk di Sabah itu, jumlah rakyat asing di Sabah, termasuk yang memiliki dokumen dan dibenarkan bekerja di negeri itu dan PATI ialah kira-kira 700,000 orang.

Bagaimanapun Zahid berkata, pihaknya sukar menganggarkan bilangan sebenar PATI di Sabah kerana kehadiran mereka tidak didaftarkan namun jumlahnya dianggarkan sekitar 250,000 orang.

Sementara itu, Zahid juga menjelaskan bahawa sejak 1990, jumlah rakyat asing, kebanyakannya dari Filipina dan Indonesia, yang dihantar balik ke negara asal ialah kira-kira 401,000 orang dan untuk tahun 2014 sahaja, sehingga Okt, jumlah yang dihantar balik ialah 17,434 orang.

Katanya usaha mengesan dan menangkap PATI di Sabah akan dilakukan secara berterusan dan bukan bermusim selain terus menambah baik sebarang kelemahan bagi memastikan usaha menangani isu berkenaan dapat dijayakan.

Mengenai cadangan menambah bilangan pusat tahanan imigresen di Sabah serta menambah kapasiti PTS sedia ada, Zahid berkata perkara itu sedang dipertimbangkan kerajaan.

Mengulas mengenai kerjasama yang diberikan oleh negara Filipina dan Indonesia bagi menangani isu PATI di Sabah, Zahid berkata kerjasama yang diberikan setakat ini memuaskan, hasil perbincangan yang dilakukan Wisma Putra dengan negara tersebut. — Bernama

Menteri batalkan serta-merta cadangan lesenkan pemancing

$
0
0

PUTRAJAYA: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri semalam membatalkan serta-merta cadangan Jabatan Perikanan untuk mengenakan lesen terhadap pemancing mulai tahun depan.

Beliau berkata walaupun peraturan itu adalah selaras dengan garis panduan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diguna pakai di banyak negara, namun ia didapati belum masanya peraturan itu dikuatkuasakan di negara ini.

Katanya, peraturan melesenkan pemancing telah diluluskan drafnya oleh Jabatan Peguam Negara pada 2012.

“Namun buat masa ini Jabatan Perikanan sedang mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan sebelum cadangan tersebut dibawa ke peringkat kementerian untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai terdapat laporan bahawa Jabatan Perikanan bercadang mengenakan peraturan itu untuk mengawal populasi ikan serta mengelak aktiviti mencari ikan dengan cara yang salah seperti aktiviti bot tunda di perairan cetek.

Isu berkenaan menjadi viral di laman sosial terutama milik peminat dan kaki pancing yang merasakan langkah memperkenalkan lesen kepada pemancing adalah tidak wajar.

Ismail Sabri berpendapat jika tujuan pelesenan ialah untuk mengelak aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang termasuk pengeboman ikan, sudah terdapat undang-undang serta peraturan mengenainya yang perlu dilaksanakan.

Mengulas lanjut, beliau berkata beliau hanya mengetahui berhubung cadangan itu malam kelmarin menerusi posting yang dihantar ke laman Facebook beliau.

“Saya sendiri tidak tahu tentang cadangan itu dan saya sendiri terkejut selepas membaca posting di Facebook.

“Peraturan itu kurang wajar dan tidak sesuai dan saya telah mengarahkan supaya cadangan itu dibatalkan serta-merta,” katanya.

Aktiviti memancing jelas beliau turut merupakan aktiviti sukan dan hobi, malah ada juga nelayan miskin yang terlibat dengan aktiviti memancing di Zon A yang rata-ratanya terdiri daripada golongan miskin, sudah tentu pengambilan lesen akan menyulitkan mereka. — Bernama

Perbincangan bagi tambah baik PLKN

$
0
0

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan telah melakukan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi mendapatkan input dan cadangan bagi menambah baik Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), kata Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata antara yang dicadangkan hasil perbincangan itu ialah penambahbaikan modul PLKN dengan memasukkan elemen kemahiran insani dan teknikal tanpa menjejaskan matlamat asal programnya.

“Jalinan elemen kemahiran dan kenegaraan ini akan dapat membentuk modal insan yang dapat memenuhi keperluan industri negara dan pada masa yang sama dapat memupuk semangat kasih sayang dan cintakan negara,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Mohd Salim Sharif @ Mohd Sharif di persidangan Dewan Negara semalam.

Mohd Salim ingin tahu jumlah pelatih PLKN yang telah dilahirkan dan cadangan kementerian untuk menambah baik perkhidmatannya.

Hishammuddin berkata bagi merealisasikan transformasi PLKN, kementeriannya menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian seperti Belia dan Sukan, Pendidikan, Sumber Manusia, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kerja Raya serta Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau berkata kementeriannya turut bercadang mewujudkan makmal khas bagi memperhalusi dan seterusnya merumuskan semua pandangan daripada pelbagai pihak berkenaan.

“Pihak kementerian berharap dengan transformasi yang dicadangkan ini, ia akan menjadikan PLKN lebih bermanfaat kepada peserta yang menghadirinya serta menjadi pemangkin untuk ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti latihan PLKN, manakala pelajar pula bersedia untuk menyertai program ini dengan rela hati,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan telah mengeluarkan seramai 832,712 pelatih PLKN sejak program itu diperkenalkan pada 16 Feb 2004.

Katanya hasil kajian yang telah dijalankan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2010 yang melibatkan 61,950 responden, menunjukkan bahawa PLKN telah berjaya membawa perubahan positif kepada para pelatih.

“Selain itu kajian juga telah dilaksanakan bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 2013 yang melibatkan 3,787 responden dan ia menunjukkan maklum balas yang positif dalam semua aspek yang dinilai khususnya berkaitan semangat patriotisme bekas pelatih,” katanya. — Bernama

KPDNKK lakukan lebih dua juta pemeriksaan di premis perniagaan

$
0
0

PUTRAJAYA: Lebih dua juta pemeriksaan berkaitan harga barang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di premis-premis seluruh negara tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek berkata daripada 2,278,345 pemeriksaan itu, KPDNKK mendapati sebanyak 9,817 kes tidak mematuhi peraturan harga dan dikenakan tindakan melibatkan nilai sitaan RM208 juta.

“Ini adalah pencapaian terbaik bahagian penguatkuasaan KPDNKK setakat ini,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, semalam.

Beliau berkata sepanjang tahun ini, pelbagai aktiviti dan operasi dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK dalam usaha untuk menguatkuasakan undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna.

“Saya mahu usaha seperti ini dipergiatkan lagi tahun depan apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap warga KPDNKK akan lebih proaktif dalam menghadapi pelbagai cabaran sepanjang 2015.

Menurutnya kejayaan yang dilakarkan kementerian dalam pelbagai perkara termasuk Ops Titik dan Ops Bongkar perlu dikongsi bersama masyarakat.

“Tetapi sebarang perkara yang tidak elok, janganlah dikongsi dengan orang luar. Janganlah memburukkan ketua dan tempat kita mencari rezeki. Sebaliknya, kita perlu duduk bersama untuk mengatasinya,” kata beliau.

Hasan berkata beliau juga bersedia menerima sebarang teguran dan idea daripada warga kementerian demi kebaikan bersama. — Bernama

Bank Tanah untuk rumah mampu milik dipertimbang

$
0
0

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan konsep Bank Tanah khusus untuk pembinaan rumah mampu milik di lokasi strategik.

Beliau berkata perkara itu tertakluk kepada kemampuan kerajaan untuk menyediakan dana bagi mendapatkan tanah tersebut dan ia akan dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Beliau berkata konsep Bank Tanah diwujudkan bagi keperluan jangka masa sederhana dan panjang terutama di kawasan bandar yang harga tanahnya semakin meningkat.

“Kalau kita buat rumah berjauhan dari bandar, mereka akan menanggung perbelanjaan yang lebih besar dari segi kos pengangkutan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perumahan Negara di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.

Hadir sama ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Pengerusi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Najib turut meminta kerajaan negeri dan pusat memperkemas hubungan melalui konsep perkongsian bersama dalam pelaksanaan projek perumahan mampu milik supaya pembinaannya diterima sebagai tanggungjawab bersama.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan pembinaan satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang yang digerakkan sektor awam dan swasta, seperti dalam Akujanji Barisan Nasional Pilihanraya Umum Ke-13.

Ini termasuk 500,000 oleh Perbadanan PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) 100,493 unit dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) 100,000 unit dan agensi-agensi lain, katanya.

Beliau berkata Majlis Penasihat PR1MA akan mengadakan satu mesyuarat pada awal tahun depan bersama Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri untuk mencari kaedah baharu mempercepatkan kelulusan pembinaan projek PR1MA.

Sementara itu, Jamaluddin berkata kerajaan akan mewujudkan Bank Tanah dengan membeli tanah terutamanya dari syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan estet-estet bagi mewujudkan komuniti di pinggir bandar.

“Ini susulan keperihatinan perdana menteri yang sedar harga tanah yang semakin meningkat dan tanah merupakan sumber yang penting untuk membuat rumah.

Kalau harga tanah semakin tinggi, ia akan menyebabkan kos rumah semakin meningkat.

“Perdana menteri bimbang dan mengambil keputusan untuk mengawal harga rumah agar tidak melonjak tinggi dengan mengadakan konsep Bank Tanah,” katanya.

Ditanya mengenai keluasan Bank Tanah yang akan diwujudkan, Jamaluddin berkata Unit Perancang Ekonmi (EPU) akan menimbangkannya dan berbincang dengan agensi berkaitan. — Bernama

Viewing all 47228 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>