Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 47228 articles
Browse latest View live

Parit banjir di Pujut Tiga dan Empat dicemari kelodak

$
0
0

MIRI: Parit banjir sepanjang laluan utama Pujut-Lutong khususnya di kawasan Pujut Tiga dan Empat dicemari kelodak dan harus segera dibersihkan untuk mengelak masalah air bertakung dan banjir kilat ketika musim tengkujuh ini.

Tinjauan Kaunselor Bruce Chai petang Ahad lalu mendapati sebahagian besar parit dipenuhi lumpur dan tanah tebal yang terbiar bertakung sekian lama.

“Saya akan merujuk masalah itu kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan pihak berkaitan meminta mereka segera melakukan kerja-kerja pembersihan kelodak di parit tersebut,” katanya di sini kelmarin (Sabtu).

Penduduk kawasan berkenaan turut meminta MBM segera memotong ranting-ranting pokok yang menjalar memasuki kawasan kediaman di tepi-tepi jalan.

Bruce berkata masalah parit tersumbat dan pokok menjalar di Pujut Tiga dan Empat antara isu utama diutarakan kepada beliau dan Kaunselor Keith Chin pada sesi bertemu penduduk oleh sukarelawan Majulah Miri di sini petang Ahad lalu.

Tentang usaha mengatasi masalah kesesakan di bulatan hadapan GK Supermarket Pujut Tiga, Bruce berkata lebih 800 tanda tangan diperolehi daripada penduduk di sini meminta kerajaan segera meluluskan permohonan geran untuk projek menaik taraf laluan itu.

Selain sokongan secara talian, sukarelawan Majulah Miri turut turun padang mendapatkan sendiri tanda tangan daripada penduduk.

Bruce berkata kempen dimulakan sejak Ogos lalu dengan sasaran sejumlah 1,000 tanda tangan penduduk.

Masalah kesesakan di bulatan berkenaan pada waktu puncak sebelah tengah hari dan waktu balik kerja kerap disuarakan oleh penduduk berulang-alik melalui laluan berkenaan.

Antara cadangan mengatasinya ialah pembinaan laluan bawah tanah, jejambat dan menjadikan bulatan sebagai simpang jalan baharu dengan lampu isyarat jalan.

Majulah Miri melaksanakan khidmat menerusi tiga pusat khidmat iaitu Pusat Khidmat Hii King Chiong, Pusat Khidmat Hii Chin dan Pusat Khidmat Chin Chai Kong.

Menerusi sesi pertemuan itu, sukarelawan membantu penduduk mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan.


PAS kawasan Petra Jaya agih bantuan persekolahan

$
0
0

KUCHING: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kawasan Petra Jaya mengagihkan bantuan persekolahan sempena ‘Jom Kembali ke Sekolah’ di Kampung Sungai Maong kelmarin.

Menurut Naib Yang Dipertua PAS Petra Jaya Syamsul Bahri, majlis pengagihan bantuan itu di bawah ‘Program Untukmu Sarawak’ bagi membantu golongan sasar di kawasan itu.

“Pada hari ini kami mengagihkan barangan persekolahan kepada 40 pelajar dari Kampung Sungai Maong sempena pembukaan sesi persekolahan bagi tahun 2015,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa bantuan sebanyak RM100 bagi setiap seorang pelajar itu merangkumi beg sekolah, alat tulis dan buku serta bantuan berbentuk kewangan.

“Diharap ia dapat meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan bagi sesi persekolahan yang bakal bermula Januari 2015,” tambahnya.

Hadir sama pada majlis pengagihan itu Ketua Penerangan PAS Sarawak Andri Zulkarnain.

“Ini adalah inisiatif kami (PAS) untuk terus membantu rakyat kerana pada ketika ini semua pihak perlu memahami keperluan rakyat khususnya ketika pembukaan sesi persekolahan,” katanya.

Indeks jenayah di Miri menurun 16 peratus

$
0
0

Oleh Rosemaria Buma

 

MIRI: Senario kejadian jenayah di Miri bermula 1 Januari hingga 14 Disember lalu menyaksikan penurunan indeks jenayah sebanyak 16 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee berkata secara keseluruhannya kes dilaporkan di bahagian ini sepanjang tempoh tersebut sebanyak 1,162 kes dan daripada jumlah itu, 208 kes membabitkan jenayah kekerasan dan 954 adalah jenayah harta benda.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Disember lalu, jumlah keseluruhan kes dilaporkan sebanyak 1,162 kes berbanding 1,389 pada 2013 dan angka ini jelas menunjukkan penurunan sebanyak 227 kes atau 16 peratus.

“Ini adalah hasil pelaburan (usaha) polis dalam membanteras kegiatan jenayah di bahagian ini dan pada masa sama menjaga keselamatan orang awam,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Menurut Gan, berdasarkan statistik indeks jenayah sama, sebanyak 395 kes atau 34 peratus berjaya diselesaikan dengan jumlah tangkapan seramai 515 orang.

“Kes selesai bermakna kes yang dituduh di mahkamah. Manakala dari segi tangkapan, meskipun suspek ditangkap itu ada membuat pengakuan namun tidak bermakna kita terus boleh menuduhnya di mahkamah.

“Ini kerana, pengakuan semata-mata sekarang tidak boleh dibawa ke mahkamah sebaliknya memerlukan 90 peratus bukti sokongan membolehkan kita menuduh seseorang itu di mahkamah,” ujarnya.

Sementara itu, berdasarkan pecahan kes bagi jenayah kekerasan kesalahan melakukan ugutan jenayah merekodkan jumlah paling tinggi iaitu 63 kes diikuti samun berkawan tanpa senjata api dan dengan sengaja mendatangkan cedera masing-masingnya merekod 42 kes, samun tanpa senjata api (18), rogol (13) bunuh (11) pemerasan (lapan) merusuh (enam) dan cabul kehormatan (lima).

Manakala jenayah harta benda, kes pecah rumah malam hari merekodkan jumlah tertinggi iaitu 254 kes diikuti curi motosikal (246), lain-lain jenis kecurian (172), curi kereta (113), curi lori, van dan jentera berat (77), pecah rumah siang hari (72) dan curi secara ragut (20).

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Koperal Firdaus Ossin, 31, daripada Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri kerana berjaya menangkap seorang kaki ragut sambil dibantu orang awam dalam kejadian petang Khamis lalu di Jalan Kubu di sini.

Sehubungan itu, beliau memuji tindakan Firdaus dan orang awam kerana membantu polis memberkas penjenayah terbabit.

“Kalau semua orang awam dapat bertindak demikian, nescaya kadar jenayah di sesebuah kawasan dapat dikurangkan,” katanya.

Jurutera kerugian hampir RM18,000

$
0
0

KUCHING: Seorang jurutera mengalami kerugian hampir RM18,000 apabila kediamannya di sebuah pangsapuri di Jalan Stutong Baru dipecah masuk.

Menurut sumber, mangsa yang dalam lingkungan 30-an hanya menerima maklumat mengenai insiden itu sekitar jam 12 pagi Ahad lalu setelah menerima panggilan telefon daripada adiknya.

Pencuri dipercayai masuk menerusi pintu depan dengan merosakkan mangga pintu.

Antara barang yang didapati hilang adalah wang tunai, barang kemas dan beberapa gajet.

Tidak lama kemudian, jiran mangsa yang juga merupakan jurutera turut menyedari rumahnya telah dipecah masuk juga menerusi cara sama.

Dia yang dalam lingkungan usia awal 40-an itu difahamkan kehilangan dua utas jam berjenama terkemuka.

Kedua-dua mangsa telah membuat laporan polis untuk siasatan.

Dalam kes berasingan, seorang pesara tentera mendakwa dirinya diugut bunuh oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali berhampiran Bangunan Saujana di sini, semalam.

Menurut sumber, mangsa dari Taman Sourabaya Indah mendakwa dia didatangi tiga lelaki dan salah seorang daripada mereka bersenjatakan pisau.

Mangsa bagaimanapun sempat melarikan diri dan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Motif insiden tidak diketahui dan aporan polis telah dibuat.

13 pelajar UNIMAS terima watikah pelantikan sebagai ahli MPP

$
0
0

BARISAN BAHARU: Mohamad Kadim (baris depan, empat kanan) dan Mohd Fadzil (baris depan, empat kiri) serta pengurusan tertinggi, dekan dan pegawai utama UNIMAS merakamkan gambar bersama MPP UNIMAS.

KOTA SAMARAHAN: Seramai 13 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menerima watikah pelantikan sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2014/2015 bagi menggantikan barisan perwakilan pelajar terdahulu yang telah tamat lantikan pada Oktober 2014.

Penyampaian watikah pelantikan tersebut disempurnakan oleh Naib Cancelor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan turut disaksikan Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMASs Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman serta pengurusan tertinggi, dekan dan pegawai utama UNIMAS.

Justeru, Mohamad Kadim menyeru MPP agar memainkan peranan untuk melaksanakan aktiviti kemahasiswaan dan kemasyarakatan bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa mengenai isu-isu setempat, negara dan antarabangsa serta meningkatkan kualiti sistem pembelajaran di UNIMAS.

“Peranan aktif harus dimainkan oleh MPP untuk menarik golongan mahasiswa menyertai program ilmiah yang dianjurkan dengan keazaman untuk menambah ilmu dan bukan sekadar mengharap insentif daripada penyertaan tersebut sahaja,” katanya.

Beliau menyatakan demikian sempena Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan MPP UNIMAS Sesi 2014/2015 yang diadakan di Rumah Universiti di sini, semalam.

Ahli-ahli MPP UNIMAS yang baharu terdiri daripada Mohammad Syahme Baharudin selaku Yang Dipertua, Muhamad Saufi Mohd Arif (Naib Yang Di-Pertua), Nur Atikah Mohamad @ Mahmud (Setiausaha Agung), Fong Shu Yiing (Bendahari Kehormat), Didin Wahyudi Mohamad Zaini (Exco Keusahawanan, Inovasi dan Kerjaya), Parimala Bathumalai (Exco Akademik, Kesarjanaan dan Antarabangsa), Mohammad Fiza Mohd Fuad (Exco Pengangkutan dan Kemudahan), Muhammad Arifin Osman (Exco Keselamatan dan Kebajikan), Muhammad Fikri Rahim (Exco Sukan dan Rekreasi), Muhammad Zhafran Zulkifly (Exco Publisiti, Informasi dan Multimedia), Saufi Aiman Yahya (Exco Kesenian dan Kebudayaan), Khairul Anwar Zainal Abidin (Exco Pembangunan Sahsiah dan Modal Insan) serta Muhammad Farhan Izzudin Abdul Kadir (Exco Protokol dan Perhubungan).

Dalam pada itu, Mohamad Kadim menegaskan bahawa pihak universiti tidak pernah menyekat apa jua cadangan yang ingin dimajukan oleh MPP, sekiranya ia membawa kebaikan kepada semua pihak dan kecemerlangan universiti secara keseluruhan.

“Idea, cadangan, pandangan mahupun kritikan anda sebagai golongan mahasiswa UNIMAS akan diambil kira selagi tidak bertentangan dan bercanggah dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Pindaan 2012 dan mana-mana undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, seramai 10 calon telah bertanding untuk menduduki Kerusi Umum dan 17 calon bagi Kerusi Fakulti pada Hari Pengundian Pemilihan MPP UNIMAS yang telah berlangsung pada 10 Disember lalu.

Seramai 8,663 pelajar yang layak telah turun mengundi pada tarikh tersebut termasuk pelajar-pelajar UNIMAS yang berada di Sibu.

Pusat Pengajian Bahasa UNIMAS pula telah mencatat peratusan pelajar tertinggi turun mengundi iaitu sebanyak 100 peratus.

 

Pelajar teknikal bernilai pasaran tinggi: Dr Hazland

$
0
0

Oleh Mahathir Haroun

 

KUCHING: Golongan belia yang terlibat dengan bidang teknikal sentiasa mendapat perhatian kerajaan terutama dalam aspek pekerjaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

Beliau berkata ini kerana pelajar bidang teknikal mempunyai nilai pasaran tinggi terutama daripada industri.

Sehubungan itu menurutnya, pelajar bidang teknikal sepatutnya menimba pengetahuan sehingga ke peringkat tertinggi dan bukan hanya berhenti selepas mendapat sijil.

“Mereka yang belajar dalam bidang ini tidak sepatutnya berhenti setakat sijil sahaja.

“Sambunglah pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana semakin tinggi tahap pendidikan maka lebih tinggi pendapatan dan kemahiran yang diperolehi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2014 Kolej Komuniti Santubong baru-baru ini.

Dr Hazland turut memuji peranan yang dimainkan Kolej Komuniti dalam melahirkan individu berkemahiran.

“Kolej ini memberi ruang kepada individu yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti terus menimba pengetahuan,” ujarnya.

Menurutnya, Kolej Komuniti turut membantu orang ramai dalam penyediaan kursus jangka pendek untuk mendapatkan kemahiran dan kemudiannya menjana pendapatan.

“Sebagai contoh kursus Simen Fero, Penanaman Cendawan dan Bot Gentian adalah sesuatu yang penting untuk masyarakat,” jelasnya.

Hadir sama Pengarah KK Santubong Baki Nyogen dan Pengarah KK Mas Gading Chow Tio Kiong.

 

Bajet UNIMAS tidak dipotong, dijangka bertambah pada 2015

$
0
0

KOTA SAMARAHAN: Tidak ada berlaku pemotongan bajet terhadap Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada tahun depan, kata Naib Cancelor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa peruntukan UNIMAS untuk 2015 dijangka bertambah berbanding tahun lepas.

“Kami sudah berunding semula dengan Kementerian Pendidikan dan tidak akan berlaku pemotongan bajet terhadap UNIMAS tahun depan,” katanya ketika ditemu bual sempena Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS Sesi 2014/2015 di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai isu di mana Kementerian Pendidikan ketika perbahasan di Parlimen pada November lalu menyatakan bahawa berlaku pemotongan bajet untuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan daripada 20 IPTA, 18 daripadanya mengalami pemotongan bajet termasuk UNIMAS.

Sehubungan itu, yuran universiti dijangka naik dan tentunya yang menjadi mangsa ialah para mahasiswa.

Justeru, Mohamad Kadim menegaskan bahawa tidak akan berlaku kenaikan yuran pelajar di UNIMAS.

“Perolehan bajet UNIMAS adalah masih sama dan tiada cadangan untuk menaikkan yuran pelajar tahun depan tetapi ini mungkin akan berlaku ke atas pelajar antarabangsa di mana semakan memang dibuat setiap tahun untuk melihat yuran bagi pelajar antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Kadim berkata bilangan kemasukan mahasiswa ke UNIMAS dijangka meningkat pada tahun depan.

“Kami menjangkakan pendaftaran pelajar prasiswazah adalah sekitar 15,000 orang dan 2,000 orang untuk pelajar pascasiswazah.

“Dengan itu, jumlah keseluruhan pendaftaran pelajar di UNIMAS pada 2015 adalah kira-kira 17,000 orang iaitu meningkat daripada bilangan pelajar tahun ini,” katanya.

Ambil peluang sebagai penjawat awam bantu rakyat, kembang perdagangan

$
0
0

SIBU: Kakitangan awam diseru mengambil peluang keemasan sebagai penjawat awam untuk membantu rakyat dan mengembangkan sektor perdagangan di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, penjawat awam adalah paling bertuah kerana mereka diberi peluang untuk membantu rakyat dengan lebih dekat.

Menurutnya, itu merupakan tugas mereka untuk memastikan kerja-kerja mereka boleh mendapat manfaat dan mencipta kejayaan dalam masyarakat setempat.

“Peranan kami bukan hanya untuk rakyat tetapi sektor perdagangan juga mampu menjadikan Sibu sebuah tempat yang makmur,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Kakitangan Pejabat Residen Bahagian Sibu di sini, malam kelmarin.

Hadir sama ialah Pemangku Residen Bahagian Sibu Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah.

Beliau berkata industri pembalakan banyak menyumbang kepada pembangunan Sibu.

“Lain-lain industri seperti kelapa sawit, pembinaan kapal dan sektor perkhidmatan boleh membawa Sibu ke satu lagi tahap pembangunan.

“Oleh itu, jika kita tidak menggunakan peluang kita sebagai penjawat awam ia adalah sukar untuk Sibu berkembang,” katanya.

Beliau berkata sebagai penjawat awam, mereka perlu membantu untuk memudahkan segala proses pembangunan di sini.

Beliau juga berkata bahawa kakitangan awam perlu memikirkan cara yang lebih baik untuk meningkatkan perkhidmatan mereka supaya dapat memberi impak kepada ekonomi Sibu.

Sementara itu, beliau menggesa kepada para kakitangan awam agar tidak mencetuskan masalah yang boleh menjadi isu kepada kerajaan.


Sokong cadangan tambah baik skim perkhidmatan penjawat awam

$
0
0

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak (CNS) menyambut baik dan menyokong penuh cadangan untuk menambah baik serta mentransformasikan segera 252 skim perkhidmatan penjawat awam.

Setiausaha CNS Ahmad Malie berkata, ia bukan sahaja selaras dengan peningkatan kos sara hidup masa kini tetapi selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan negara sebagai sebuah negara maju.

“Justeru langkah menambah baik serta mentransformasikan skim penjawat awam ini sebagai salah satu faktor dan indikator untuk menyasarkan harapan sebagai sebuah negara maju dan negara berpendapatan tinggi.

“CNS menggesa agar kerajaan di bawah kepimpinan PM dapat mempertimbangkan gesaan Datuk Azih Muda yang mewakili 1.4 juga penjawat awam di negara ini,” katanya kepada Utusan Borneo.

Selain itu Ahmad berkata gesaan itu juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Sementara itu Bernama pada 11 Disember lepas dipetik sebagai berkata, CUEPACS memohon supaya kerajaan mempercepat penambahbaikan kesemua 252 skim perkhidmatan awam bagi membantu penjawat awam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Peningkatan kerja perkhidmatan awam memuaskan, kata Morshidi

$
0
0

Oleh Watt Zacchaeus

 

TINJAU: Morshidi (dua kiri) diiringi Ting (kiri) melawat Projek Tebatan Banjir di Sungai Engkabang, Jalan Lanang di Sibu, petang kelmarin.

SIBU: Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berpuas hati dengan peningkatan kerja-kerja perkhidmatan awam di Sibu.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Projek Tebatan Banjir di Sungai Engkabang, Jalan Lanang di sini petang kelmarin, beliau melahirkan rasa gembira melihat projek itu dilaksanakan dengan baik.

“Ini menunjukkan perkhidmatan awam telah melakukan kerja yang baik.

“Saya berharap projek sama seperti ini dapat dilaksanakan dan projek-projek lain disiapkan mengikut jadual disalurkan kepada rakyat dalam bajetnya,” katanya.

Sungai Engkabang merupakan antara lapan projek tebatan banjir di Sibu dengan kos RM210 juta dalam dua fasa.

Ia dibina di bawah program Fasa 1 dan siap pada September 2012.

Projek ini memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 penduduk dan bertujuan mengurangkan masalah banjir di bandar Sibu dan sekitarnya.

Morshidi berkata beliau akan turun padang melihat sendiri kualiti kerja dan kemajuan projek tebatan banjir di sini.

“Saya berharap dengan usaha berterusan sektor awam, kita dapat menyiapkan projek ini dalam berkhidmat kepada rakyat untuk kepentingan mereka,” ujarnya.

Mengenai laporan Ketua Audit Negara 2013 mengenai Siri 3 tentang kerja-kerja pengorekan Pulau Kerto gagal untuk mengurangkan banjir di Sibu, beliau berkata ia bukan satu isu penghantaran tetapi lebih kepada proses semula jadi.

“Ia adalah satu proses dinamik dan kita tidak boleh melawan alam semula jadi.

“Oleh kerana ia tidak berkesan, kita tidak melakukan pengorekan melainkan jika ada tersumbat atau kesesakan di kawasan itu perlu dikorek,” katanya.

Kerja-kerja pengorekan itu menelan kos RM10.25 juta melibatkan kira-kira 30 ekar tanah ditebus guna untuk tujuan itu.

Turut mengiringi Morshidi dalam lawatan itu ialah Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu Ting Sing Kwong.

SUPP Simanggang buka dua kaunter permohonan BR1M

$
0
0

SRI AMAN: Penduduk berusia 21 tahun ke atas dialu-alukan memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 yang mula dibuka permohonannya sejak 1 Disember lalu.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden Hollis berkata, mereka yang layak memohon bantuan berkenaan boleh mendapatkan borang permohonan di kaunter Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terdekat.

Menurutnya, permohonan boleh diisi secara manual dengan mendapatkan borang permohonan di pejabat LHDN atau permohonan melalui talian di laman rasmi LHDN.

Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ditemui ketika berkunjung ke Kaunter Terbuka BR1M 2015 anjuran Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Simanggang di sini semalam.

Dalam pada itu, Pejabat SUPP Simanggang mengadakan dua kaunter terbuka untuk orang awam mengisi borang BR1M iaitu di Pasar Baru Sri Aman dan Pasar Lama Sri Aman.

“Kami akan berada di dua tempat tersebut bermula jam 8 pagi hingga 5 petang selama dua hari dan orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan mengisi borang serta pertanyaan lain boleh berkunjung ke kaunter kami.

“Anda juga boleh membawa salinan buku akaun, salinan kad pengenalan disertakan borang permohonan,” katanya.

Mereka yang layak memohon bantuan ini adalah mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 layak mendapat bantuan RM950.

Manakala mereka berpendapatan isi rumah bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 layak mendapat bantuan RM750 dan individu bujang 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan layak menerima RM350.

Menurut Harden, tarikh akhir memohon bantuan ini ditetapkan pada 31 Disember ini dan pembayaran BR1M 2015 akan bermula pada penghujung Januari tahun depan.

Turut hadir Temenggung Sii Toh Peng, Penghulu Lee Siang Hua, Kapitan Tay Siaw Chuan, Kapitan Kiew Siew Teck, Kaunselor Andar Suntai serta para pemimpin SUPP Simanggang lain.

Sebauh dijangka menjadi daerah tahun depan: Rundi

$
0
0

BINTULU: Daerah kecil Sebauh dijangka menjadi daerah tahun depan, kata Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom.

Menurutnya, daerah kecil Sebauh mengalami pembangunan pesat sejak 20 tahun lalu khususnya dalam sektor perladangan kelapa sawit berskala besar dan telah menjadi contoh pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) terbaik di negeri ini.

“Pembangunan ekonomi pesat di kawasan Sebauh secara tidak langsung mempercepatkan proses transformasi di sini dalam pelbagai bidang serta industri hiliran lain,” katanya pada Majlis Makan Malam Pra-Krismas 2014 di Balai Raya Sebauh di sini.

Sambil menyifatkan Sebauh menjadi pusat ‘transit’ penduduk setempat ke bandar Bintulu, pekan Sebauh dan kawasan berdekatan, Dr Rundi berharap penduduk di kawasan ini bijak mengambil peluang khususnya dalam sektor pertanian berskala kecil dan sederhana.

Jelasnya, aktiviti ekonomi dapat dijalankan di mana-mana sahaja asalkan penduduk bijak mengusahakan tanah milik mereka dengan mempelbagaikan komoditi.

Katanya perkhidmatan feri menyeberangi Sungai Kemena memudahkan penduduk kawasan Hulu Sebauh termasuk di Pandan, Tubau, Binyo dan Hulu Jelalong pergi ke bandar Bintulu serta kawasan berdekatan.

“Justeru, saya yakin daerah kecil Sebauh secara berperingkat-peringkat dimajukan bagi menjadi sebuah daerah bermula tahun depan,” jelasnya.

Apa yang paling penting kerajaan memastikan daerah kecil Sebauh bakal mempunyai bank, balai bomba, balai raya lebih besar, klinik mempunyai seorang doktor perubatan, balai polis dan banyak lagi keperluan prasarana dan infrastruktur yang memenuhi kriteria sebuah daerah.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan bayaran dividen sebanyak RM1.5 juta kepada peserta yang menyertai projek pembangunan tanah NCR kawasan Sebungan yang dimajukan DD Pelita Sebungan Plantation Sdn Bhd.

“Saya berharap lebih ramai penduduk di kawasan Sebauh yang mempunyai tanah NCR menyertai program pembangunan tanah secara usaha sama ini supaya mereka mendapat keuntungan besar,” katanya.

Hadir sama Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sebauh David Kala, Tan Sri Yee Ming Seng, Pembantu Khas Ahli Parlimen Bintulu Teo Ho Peng dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kawasan(ADC) Tanah NCR Kawasan Sebungan Tuai Rumah Marepat Sekeran.

Seminar Penyerahan Bahan-Bahan Terbitan, esok

$
0
0

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak akan menganjurkan Seminar Penyerahan Bahan-Bahan Terbitan pada jam 8 pagi hingga 5 petang, 18 Disember ini (esok).

Seminar yang akan diadakan di Bilik Seminar, Aras 1, Pustaka Negeri Sarawak itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang perlunya terbitan negeri dikumpul dan dipelihara sebagai warisan intelek bangsa di samping menjalin kerjasama pihaknya dengan para penerbit.

Menurut kenyataannya juga, tanggungjawab itu merupakan keperluan yang termaktub di bawah Ordianan 1999, Perpustakaan Negeri Sarawak.

Selain itu, melalui seminar berkenaan orang awam akan diperjelaskan lagi mengenai peranan Pustaka Negeri Sarawak sebagai pusat penyerahan negeri.

Sempena seminar itu, turut diadakan pameran Pustaka Negeri Sarawak iaitu demonstrasi baik pulih bahan, perkhidmatan Bahagian Arkib, Rekod dan Sarawakiana.

Tidak ketinggalan juga ialah pameran daripada beberapa agensi kerajaan seperti MyIPO dan Kementerian Dalam Negeri.

Penyertaan orang awam adalah dialu-alukan. Jika anda berminat untuk menyertai seminar ini hubungi Jassalini Jamain atau Shafinaz Afidia di Repositori Rekod Negeri di talian 082-440488 sambungan 22/33 atau e-mel jassalij@sarawak.gov.my/shafiaaa@sarawak.gov.my atau layari laman web rasmi Pustaka Negeri Sarawak: www.pustaka-sarawak.com atau di Facebook: pustaka.sarawak dan Twitter: pustakaswk.

Masyarakat harus menyahut cabaran perkasa perpaduan

$
0
0

SRI AMAN: Kerajaan sememangnya menyambut baik program dijalankan oleh mana-mana jabatan dan agensinya mendekati rakyat tanpa mengira kaum, lokasi dan tahap ekonomi mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata masyarakat harus menyahut cabaran memperkasa perpaduan ke arah pembentukan gagasan 1Malaysia.

“Kesedaran semua pihak adalah dituntut dalam merealisasikan hasrat kerajaan agar nikmat kesejahteraan dan kemakmuran tidak terkubur begitu sahaja,” katanya pada Program Pra-Krismas 2014 di Rumah Muek, Tajor Ili, Tanjung Bijat kelmarin.

Menurutnya, kita di negara ini patut bersyukur kerana rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat hidup dalam suasana harmoni dan sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.

Katanya Malaysia menjadi contoh keharmonian dalam semangat perpaduan dari dahulu hingga sekarang.

Kita juga harus menjaga perpaduan untuk menjadi negara aman dan Sentosa, teganya.

“Kestabilan merupakan faktor penting untuk membantu kita mencatat pertumbuhan ekonomi tinggi.

“Kita patut berbangga pertumbuhan ekonomi yang baik dapat dicapai dalam suasana aman dan stabil,” katanya.

Hadir sama Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak DUN Lingga Sulaiman Amut, ketua-ketua jabatan dan masyarakat.

 

KRT Siol Kanan anjur Program Autoshow 2014

$
0
0

KUCHING: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Siol Kanan, Kuching menganjurkan Program Autoshow 2014 di pekarangan tempat letak kereta SUKMA Ria di sini, pada 20 dan 21 Disember ini.

Dibahagikan kepada dua kategori iaitu kereta serta motosikal dan skuter,pemenang bakal membawa pulang sijil, piala dan hamper.

Yuran penyertaan kategori kereta dikenakan RM25 manakala motosikal dan skuter RM15 serta RM30 untuk kategori Best Car Club Gathering.

Tarikh tutup penyertaan pada 17 Disember dan untuk pertanyaan sila hubungi Shafiq di talian 017-8523665, Azlan (012-8990896) dan Ein (013-8523665).


Sarawak negeri paling unik di M’sia: Awg Tengah

$
0
0

Oleh Mastura Ismail

 

TERIMA KASIH: Henry (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Asfia sambil disaksikan Fatimah (kanan) dan Awang Tengah (kiri) di Lawas kelmarin.

LAWAS: Sarawak merupakan negeri paling unik di negara ini kerana mempunyai rakyat bertoleransi dan hormat-menghormati kepelbagaian agama dan budaya sehingga dapat hidup di bawah satu bumbung dengan penuh harmoni.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kelebihan itu menjadikan negeri ini unik kerana hidup aman damai dalam suasana harmoni di tengah-tengah pelbagai budaya dan adat resam diamalkan oleh 27 suku kaum.

Beliau berkata perbezaan itu menjadi kekuatan kepada perpaduan kaum untuk hidup bersatu padu dan harmoni.

“Sarawak sebuah negeri unik kerana setiap kaum menghormati agama kaum lain dan meskipun berbeza agama dan kepercayaan, tetapi mereka juga dapat hidup di bawah satu bumbung sekali gus mencerminkan identiti Sarawak,” katanya pada Majlis Perayaan Hari Krismas 2014 di Stadium Tertutup di sini kelmarin.

Hadir memeriahkan majlis itu Pemangku Yang di-Pertua Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar.

Turut hadir isteri Awang Tengah, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais dan isteri Datin Masnah Ahmad, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong dan isteri Datin Tunong Palong, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan isteri Mary Sindang, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan isteri Dayang Maimunah Awang Daud serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Awang Tengah juga mahu keharmonian terus dipertahankan dalam menentukan negeri ini stabil dan maju.

Katanya Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem juga menunjukkan komitmen tinggi untuk tidak membenarkan golongan ekstremis memasuki Bumi Kenyalang kerana boleh mengakibatkan keamanan dikecapi selama ini tergugat.

Beliau berkata meskipun golongan ekstremis kononnya melabelkan perjuangan mereka berasaskan agama tetapi sebenarnya ia bertentangan dengan agama.

“Selain itu, terdapat golongan sama menggunakan perjuangan mereka atas nama Kristian, Hindu dan sebagainya yang perlu ditolak kerana hanya menggugat ketenteraman.

“Ini kerana, Malaysia mengamalkan kesederhanaan atau wasatiyyah sekali gus menolak kekerasan,” katanya.

 

Alan Ling berhasrat kekal kerusinya pada PRN akan datang

$
0
0

MIRI: Walaupun perkhabaran mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 Sarawak belum hangat diperbualkan, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling sudah berhasrat untuk mengekalkan kerusinya.

Alan terkenal kerana berjaya menumbangkan ‘gergasi politik’ iaitu bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan yang juga bekas presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada 2011 berkata, beliau menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada ahli jawatankuasa pemilihan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sama ada dikekalkan untuk mempertahankan kerusi di Piasau atau beralih ke kerusi lain pada PRN akan datang.

“Pendirian saya jelas, saya beri kepercayaan kepada parti sama ada saya bertanding atau tidak dan di mana (kerusi) hendak bertanding,” katanya kepada Utusan Borneo semalam setelah khabar angin bahawa beliau akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut pada PRN akan datang.

Alan turut menidakkan spekulasi bahawa beliau akan berganjak ke kerusi Pujut setelah wakil rakyat DAP iaitu Fong Pau Teck dipecat daripada parti berkenaan dan kini menjadi wakil rakyat Bebas.

Bagaimanapun, Alan memberitahu bahawa dalam politik pencalonan adalah ditentukan oleh parti dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada DAP.

“Apa-apa sahaja khabar angin atau spekulasi adalah sesuatu yang normal, sehari dalam politik adalah terlalu panjang dan apa-apa sahaja boleh berlaku,” jelasnya.

Alan yang juga Setiausaha Jawatankuasa DAP Sarawak berkata bahawa ahli-ahli harus akur dengan keputusan parti kerana keputusan (bertanding atau tidak dan di mana kerusi bertanding) adalah bergantung kepada strategi parti.

Sehingga hari penamaan calon, tiada sesiapa tahu siapa yang akan dicalonkan dan khabar angin sentiasa berlaku sama ada disokong oleh fakta atau hanya sekadar khabar angin tidak berasas.

Beliau menegaskan bahawa kehendak parti adalah keutamaannya dan menjadi prinsip beliau sejak aktif berpolitik dan bersedia menghadapi nasib termasuk keputusan pengundi.

Mengenai konstituensi Pujut, beliau memberitahu bahawa sudah tentu DAP bakal mengisi dan mempersiapkan calon untuk kerusi itu.

“Di Miri, DAP mempunyai beberapa calon berpotensi dalam bidang profesional seperti doktor, peguam dan jurutera.

“Kebanyakan mereka layak menjadi calon mewakili DAP di Miri termasuk Pujut,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa parti sudah bersedia di peringkat akar umbi dengan bekerjasama dengan rakyat untuk meraih sokongan pada PRN akan datang.

Beliau juga terus berkhidmat di kostituensi Piasau untuk rakyat yang telah memilih dan menyokongnya walaupun ketika dalam kesusahan.

Konstituensi Piasau juga adalah satu sentimen peribadi baginya kerana rakyat telah memberi sokongan hebat pada pencalonan PRN lalu untuk mengalahkan Dr Chan.

Pada PRN 2011 Alan mengalahkan Dr Chan dengan majoriti 1,590 undi dan beliau mendapat 5,998 berbanding Dr Chan hanya 4,408 undi.

Rozilawati tabah, cekal lawan barah payudara

$
0
0

Oleh Henrietta Liza

 

TABAH: Keluarga adalah sumber kekuatan Rozilawati (kiri) yang sudah berada di tahap keempat barah payudara.

KUCHING: Pengalaman mendewasakan pesakit barah payudara tahap empat, Rozilawati Hamdan dari Kampung Bintawa Hulu yang sentiasa menginginkan setiap hari dilalui dengan hati dan jiwa yang tenang.

Harapan itu diluahkan Rozilawati, 40, kepada pemberita selepas menceritakan pengalaman pahit getir bertarung nyawa melawan penyakit yang hanya diketahuinya sewaktu sedang sarat mengandung anak ketiga lima tahun lalu.

“Mula-mula kakak ditemani suami pergi ke Klinik Sejahtera di Kubah Ria dan ke Klinik Pakar Dr Hirman Ritom untuk mendapatkan pendapat beliau.

“Kemudian kakak tidak puas hati, kami pergi ke Hospital Normah untuk mendapatkan nasihat tetapi terus dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk menjalani pembedahan biopsi bagi mengambil sampel tisu.

“Tiga biji bisul sebesar lima sentimeter itu berada di sekitar bahagian atas payudara kakak dan ia kelihatan berkilat.

“Apabila ditekan, ia akan bergerak ke bahagian lain,” katanya ketika menceritakan kisah hidupnya kepada pemberita semalam.

Dia sebelum ini enggan berjumpa doktor bahkan berat mulut untuk menceritakan perihal penyakitnya itu kepada bapanya sendiri tetapi dipaksa oleh rakan karib yang juga petugas kesihatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sakitnya itu pula semakin melarat, sehingga timbul demam dan hilang selera makan yang menyebabkan Rozilawati pernah mengalami susut badan sehingga 44 kilogram sahaja.

Ditambah fikirannya yang sentiasa bercelaru memikirkan kesihatan diri dan keluarga, dia cuba untuk tabah dan cekal melawan penyakitnya.

Apatah lagi tidak sampai hati hendak menggugurkan kandungan sewaktu itu kerana tidak mempunyai ramai anak.

Rozilawati berkata selepas biopsi, jahitannya berdarah kerana mendukung anaknya yang bongsu dan terpaksa menyembunyikan hal itu supaya tidak diketahui bapanya.

Menjalani kemoterapi sebanyak lapan kali dan radioterapi sebanyak 36 kali membuatkan rambut di kepalanya botak dan tidak dikenali oleh anak perempuannya sendiri.

Tambah menyedihkan sehingga pada suatu ketika dia langsung tidak dapat berjalan untuk menjaga atau mengendong anaknya yang masih kecil kerana tidak terdaya.

“Suami kakak cuma bekerja sebagai seorang pemandu di sebuah syarikat perbankan, selepas anak sulung mula bersekolah dan kakak mengandung anak kedua…kakak terus berhenti kerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di sini.

“Sel barah itu sekarang sudah merebak dan masuk ke dalam hati dan tulang dan sudah berada sehingga tahap keempat tetapi syukur melahirkan anak yang sihat dan tidak mengalami sebarang masalah.

“Salah kakak juga, kerana suka melengah-lengahkan masa, kerana pada masa itu saya masih mengambil pil perancang dan biji itu hilang selepas berhenti mengambil pil perancang seperti yang dinasihati doktor, tetapi timbul semula bisul itu,” tambahnya.

Setelah bertahun-tahun berhempas-pulas melawan sakit, dia pernah dipelawa oleh ahli Persatuan Kanser untuk menyertai mereka mengadakan ceramah menceritakan pengalaman sebagai pesakit barah payudara.

Katanya, dia belum bersedia tetapi mahu wanita menjadikan pengalaman hidupnya sebagai pengajaran bermakna iaitu berjumpa doktor dan menjalani rawatan yang sepatutnya sebelum terlambat.

Stanley intai peluang jadi calon PRN

$
0
0

Oleh Watt Zacchaeus

 

INTAI PELUANG: Stanley (dua kiri) menyempurnakan upacara miring pada satu majlis di Rumah Ganya, Sungai Amang di Pelagus.

SIBU: Bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011, Stanley Nyitar difahamkan mula turun padang bagi mengintai peluang menjadi calon pada PRN akan datang.

Stanley turut mengintai peluang menjadi calon di kerusi tersebut bersama Setiausaha Politik Ketua Menteri Wilson Nyabong Ijang dan seorang ahli perniagaan yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Kristoffer Nyuak Bajok.

Sebelum ini, Wilson dan Kristoffer hangat diperkatakan oleh warga Kapit melobi bagi kerusi tersebut.

Bagaimanapun, siapa calon sebenar DUN Pelagus pada PRN akan datang masih samar-samar sama ada Wilson atau Kristoffer dan kali ini Stanley muncul bagi hajat yang sama.

Seorang pengundi di Sungai Amang Pelagus, Moses Ripai berkata Stanley sekarang sudah mula menjenguk kawasan Pelagus dan beliau sudah mula ‘berkempen’ sejak tahun lalu.

Tetapi, kehadiran Stanley tidak dibuat liputan oleh mana-mana media sehingga banyak yang tidak tahu bahawa dia sebenarnya berminat dicalonkan semula di kerusi DUN Pelagus.

“Individu-individu yang kian menjadi sebutan atau sudah kita sedia maklum mengintai kerusi DUN Pelagus ialah Wilson dan Kristoffer.

“Namun orang lupa sebenarnya Stanley turut berminat mengintai peluang di kawasan tersebut.

“Stanley merupakan seorang yang rendah diri tetapi berjiwa rakyat.

Beliau sebenarnya sangat layak menjadi calon BN di kerusi DUN Pelagus. Dia adalah calon yang berpotensi,” katanya di sini semalam.

Ditanya kenapa Stanley layak berbanding Wilson dan Kristoffer, Moses memberitahu bahawa Stanley sebenarnya merupakan anak jati Pelagus.

“Wilson dan Kristoffer adalah dari Balleh dan mereka berdua dilihat kurang sesuai menjadi calon DUN Pelagus.

“Pelagus adalah untuk orang Pelagus. Individu yang layak menjadi calon di kerusi DUN Pelagus mesti daripada anak jati Pelagus sendiri. Stanley adalah orangnya,” tambah beliau.

Jelas Moses, meskipun Stanley tewas pada PRN lalu tidak bermakna beliau mempunyai kekurangan dan kelemahan.

Katanya BN juga pernah mencalonkan calon pernah tewas pada sesuatu pilihan raya namun mampu menang akhirnya.

“Calon ‘kitar semula’ adalah masih relevan. Begitu juga dengan Stanley, beliau masih relevan di Pelagus.

“Diharap pucuk kepimpinan PRS dapat memberi peluang kedua kepadanya pada PRN akan datang.

“Walaupun pernah tewas, tidak mustahil beliau boleh menang.

“Berilah beliau peluang kerana kami di Sungai Amang, Pelagus menyokong sepenuhnya Stanley untuk menjadi calon BN pada PRN akan datang,” katanya.

Moses menjelaskan, bahawa Stanley dicalonkan oleh PRS-BN pada saat-saat akhir pada PRN lalu.

Baru-baru ini, Stanley menghadiri satu majlis di Rumah Ganya Sungai Amang, Pelagus dan berjumpa rakyat di sana.

Selain itu, Stanley turut menghadiri majlis-majlis tertentu di kawasan Pelagus bagi meraih sokongan rakyat.

Sementara itu, Stanley ketika dihubungi semalam enggan memberi komen mengenai ‘hajatnya’ dan pergerakannya di kawasan Pelagus.

“Maaf, saya tidak dapat memberi komen buat masa ini,” tambahnya.

Pada PRN lalu, kerusi DUN Pelagus menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Stanley daripada tiket PRS-BN, George Lagong (Bebas) dan Edward Sumbang Asun daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Stanley mendapat 2,903 undi sementara George memperolehi 5,740 undi dan Edward mendapat 1,171 undi.

George dari Bebas menang di kerusi DUN Pelagus dengan majoriti 2,837 undi.

Pastikan segala projek dirancang dilaksana sebaiknya: Awang Tengah

$
0
0

MANFAATKAN SEBAIKNYA: Awang Tengah menyampaikan geran kerajaan kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Hussaini (kiri) dan Henry (tiga kiri) di Lawas kelmarin.

LAWAS: Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah Lawas dan Majlis Daerah Lawas (MDL) yang berperanan sebagai badan pelaksana projek pembangunan di daerah ini disaran memastikan segala projek dirancang dapat dilaksanakan sebaiknya pada tahun ini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata meskipun sudah di penghujung tahun tetapi projek pembangunan terbabit perlu disiapkan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau berkata antara projek kecil berkenaan membabitkan Projek Perumahan Mesra Rakyat, Bantuan Rumah, Perhubungan Desa, Komuniti Sosial, Projek Naik Taraf Jalan (MARRIS) dan projek-projek kecil lain.

“Jabatan dipertanggungjawabkan seperti JKR, Pejabat Daerah Lawas dan MDL perlu memastikan projek pembangunan itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya tahun ini.

“Meskipun kita mahu dilaksanakan dengan cepat, tetapi projek berkenaan mestilah dilaksana dengan kualiti dan spesifikasi ditetapkan bukannya sambil lewa,” katanya pada Majlis Penyampaian Geran Kerajaan di sini kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong dan Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim.

Awang Tengah juga mahu kontraktor dipilih bertanggungjawab dan amanah supaya projek-projek tersebut dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Pelaksanaan projek ini amat penting kerana ia bertujuan meningkatkan kualiti hidup melalui penyediaan kemudahan dan prasarana yang baik sekali gus memberi keselesaan kepada rakyat keseluruhannya,” ujar beliau.

Katanya amat penting bagi pegawai daerah dan ketua-ketua jabatan kerajaan mempunyai kapasiti dan kebolehan melaksanakan projek-projek pembangunan.

Menurutnya, kapasiti dan kebolehan penting bagi membolehkan mereka mendapatkan lebih banyak peruntukan pembangunan di daerah ini pada masa depan.

“Selain itu, setiap agensi kerajaan harus bekerjasama bagi menjayakan projek-projek berkenaan.

“Kalau kita hanya menumpu kepada tugas sendiri, kita tidak dapat memastikan kapasiti kita lebih cekap dalam melaksanakan projek-projek tersebut khususnya di Lawas,” katanya.

Selain agensi kerajaan dan badan pelaksana, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga hendaklah bekerjasama rapat memastikan segala projek berjalan lancar.

Dalam pada itu, masih banyak kampung di pedalaman belum mempunyai jalan kampung, jalan simen yang belum dinaik taraf serta rumah ibadat yang belum dibina sepenuhnya.

“Semua ini tidak dapat dilaksanakan dalam satu masa tetapi memerlukan masa secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Sementara itu, Awang Tengah juga mahu geran kerajaan dapat digunakan sebaiknya untuk aktiviti JKKK, persatuan selain kegunaan belanjawan aktiviti tahunan mereka.

Pada masa sama, beliau mahu penerima geran termasuk JKKK mempunyai akaun sendiri bagi memudahkan geran disalurkan kepada mereka.

Viewing all 47228 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>