KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen dalam kenyataan akhbarnya berkata sebuah syarikat yang digelarnya sebagai ‘Pembeli A’ menyatakan ‘kesanggupan’ membayar RM620 juta untuk tanah seluas 267.15 ekar di Batu Kawa dekat sini.
Bagaimanapun Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata Ahli Parlimen Bandar Kuching merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu sekali lagi tidak menyatakan siapa sebenarnya ‘Pembeli A’ yang dimaksudkannya.
“Tampak seperti beliau (Chong) memilih untuk memaklumkan kepada umum mengenai transaksi (tanah ini), tetapi kenapa beliau enggan menyatakan dengan terbuka nama pihak yang digelarnya ‘Pembeli A’ itu?
“Tambahan, Chong dalam kenyataan akhbarnya membuat tuduhan wujudnya ‘tipu muslihat’… adakah wujud perjanjian ‘tipu muslihat’ antara beliau dan pembeli tidak dikenali itu?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Chong pada sidang media kelmarin yang dilaporkan dalam akhbar semalam.
Chong mendakwa kerajaan negeri sekurang-kurangnya akan mendapat lebih daripada RM505 juta jika membatalkan penjualan tanah di Batu Kawa kepada Standard Parade Development.
Katanya beliau telah menemui pembeli dikenalinya ‘Pembeli A’ yang sanggup membayar RM620 juta untuk tanah berkenaan seperti diarah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Persidangan DUN April lalu.
Menurut Abdullah yang juga ADUN Semop, Chong dalam kenyataannya turut menyatakan, kertas cadangan itu adalah ‘bersyarat’ iaitu kerajaan negeri pertama, mesti meluluskan cadangan Pelan Pembangunan dikemukakannya.
“Saya percaya kerajaan akan melakukan atau berunding mengenai transaksi tanah negeri seperti ini secara terbuka dalam media melainkan Chong mempunyai motif lain.
“Tetapi ada tak Chong dalam kenyataan akhbarnya itu memberi bayangan mengenai keupayaan kewangan ‘Pembeli A’ yang dimaksudkannya?” katanya.
Justeru beliau berkata Chong seharusnya meyakinkan umum dengan bukti kukuh serta boleh diterima bahawa ‘Pembeli A’ mempunyai kekuatan kewangan untuk mengambil tanggungjawab seperti dinyatakan dalam kertas kerja tersebut.
“Jika benar, ‘Pembeli A’ itu asli atau wujud, saya mencadangkan mereka harus mengemukakan kertas cadangan mereka kepada pengarah Jabatan Tanah dan Survei dengan tawaran yang kukuh dan tidak bersyarat,” ujarnya.
Mengenai perkataan ‘Kesanggupan’ yang digunakan Chong, beliau berkata siapa sahaja boleh menyatakan kesanggupan mereka dan mungkin menggelar diri sebagai ‘Pembeli B’ atau C hingga Z.
Sebagai seorang peguam katanya, Chong seharusnya tahu kertas cadangan itu mesti jelas, tidak bersyarat dan tanpa peruntukan yang samar.
Menurut beliau, Chong dalam proposalnya menyatakan kerajaan negeri akan memperoleh ‘anggaran’ minimum RM490 juta tunai hasil jualan hartanah itu.
“Jika harga hartanah itu meningkat, kerajaan negeri akan mendapat lebih daripada itu.
“Perkataan ‘anggaran’ dan ‘jika’ yang digunakan Chong dalam proposalnya, tanpa fakta sokongan adalah samar serta mencurigakan.
“Kita lihat semula kenyataan akhbar Chong yang dikeluarkan awal Ogos 2014, beliau mencadangkan tanah berkenaan digunakan untuk membina kawasan perumahan mampu milik.
“Beliau mencadangkan pembinaan 104 blok pangsapuri kediaman lima tingkat, yang menyediakan 3,120 unit rumah mampu milik untuk golongan miskin.
“Beliau (Chong) berkata demikian seiring dengan Dasar Reformasi 10 Perkara DAP… sekarang adakah ada lihat itu dalam kertas cadangan dikemukakan Chong itu?” soalnya.
Sebaliknya ujar Abdullah, dalam kertas sekarang, Chong bagi pihak ‘Pembeli A’, antara lain, mencadangkan pembinaan kompleks beli-belah empat tingkat dengan dua blok kondominium dan hotel 18 tingkat, 12 blok kondomonium 18 tingkat (900 unit) dengan harga purata RM500,000 seunit dan 29 blok pangsapuri 18 tingkat (4,000 unit) dengan harga purata RM350,000 seunit.
“Adakah anda fikir golongan miskin mampu (membelinya)… permainan politik Chong ini bukan sesuatu yang baharu, berkemungkinan beliau telah mempelajari perkara itu daripada mentornya di Pulau Pinang.
“Berkata-kata politik yang manis memang sedap didengar tetapi pelaksanaannya nanti berbeza.
“Itulah yang sedang berlaku di Pulau Pinang sekarang apabila rakyatnya ditipu oleh manifesto pilihan raya DAP yang menabur banyak janji tetapi berlaku sebaliknya,” tegasnya.
Abdullah berkata rakyat Sarawak tidak boleh diperbodohkan oleh kempen politik DAP yang tidak jujur itu.
“Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) telah memberi Chong tarikh akhir. Patuh kepada tempoh itu dan berhenti bermain politik kerana kami tidak berminat.
“Jelas sekali, mereka (DAP) tidak mempunyai banyak isu untuk mengambil hati pengundi.
“Adenan serius dengan pembangunan Sarawak dan rakyatnya. Beliau setakat ini dalam tempoh yang singkat telah melaksanakan janjinya kepada rakyat,” jelas Abdullah.
Sedangkan Chong dan DAP Sarawak sentiasa sibuk dengan permainan politik mereka, tambahnya.