Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 47228 articles
Browse latest View live

Penduduk Bintangor dan Meradong perlu sedar kelemahan pembangkang

$
0
0

BINTANGOR:  Masyarakat di kawasan Bintangor dan Meradong harus sedar bahawa mereka ketinggalan dalam segala aspek pembangunan dan kemajuan berbanding kawasan lain sejak jatuh ke tangan pihak pembangkang.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Meradong Datuk Ting Check Sii berkata, rakyat sudah pasti dapat berasa kesan akibat kekurangan di bawah pembangkang terutama untuk mengadu masalah.

“Sejak pembangkang menguasai kawasan ini, pembangunan di kawasan ini sudah agak jauh ketinggalan berbanding tempat lain yang mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti Barisan Nasional (BN), serta disokong Ahli Parlimen juga daripada parti komponen BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Gawai di Rumah Anthony Merang, Sungai Rayah, dekat sini, baru-baru ini.

Jelasnya, jika kerusi tersebut ditadbir wakil rakyat BN, amat mudah bagi kerajaan BN menyalur dan mempergiat fokus pembangunan di kawasan berkenaan.

“Campuran dua parti berbeza di satu kawasan khasnya untuk kerusi DUN dan Parlimen berlainan fahaman politik, bukannya sesuatu yang baik.

“Seperti yang telah kita lihat dan belajar berdasarkan pengalaman lalu, apabila kerajaan BN mahu memajukan dan mempergiat pembangunan di kawasan terbabit, sudah pasti pembangkang akan cuba untuk memburuk-burukkan usaha tersebut,” jelas Ting.

Menurut Ting, masyarakat di bandar harus sedar bahawa dalam pentadbiran BN selama ini merekalah yang paling banyak mendapat dan menerima kemudahan serta pembangunan berbanding kawasan luar bandar.

“Jika kita lihat masyarakat kawasan bandar pada hari ini, mereka sudah mendapat kemudahan dan nikmat kerajaan BN dengan peratusan maksimum. Mereka harus bersyukur kerana dapat hidup dalam suasana serba lengkap, jika dibanding masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya.

Jelasnya, mlalui gelombang transformasi fasa kedua dilaksana kerajaan dengan memberi fokus kepada masyarakat luar bandar pada masa kini mereka turut mendapat tempias secara tidak langsung daripada perkara tersebut.

Justeru  kata Ting, semua perkara ini membuktikan bahawa propaganda dan dakwaan disebar pembangkang selama ini tidak benar dan palsu belaka.

“Jika masyarakat ingin terus menikmati pembangunan berterusan, sokongan padu dan majoriti itu harus diberi kepada calon dan kerajaan BN untuk memenangi pilihan raya akan datang,” ujar Ting.

Pada majlis ini pelbgai aktiviti telah dijalankan seperti persembahan kebudayaan, pertunjukan pakaian tradisional oleh masyarakat rumah panjang dan sesi jamuan makan minum.

Terdahulu sebelum itu, Ting juga sempat meluangkan masanya untuk beramah mesra dengan penduduk setempat yang hadir pada majlis berkenaan.

Menurut Ting, rakyat di negara ini harus bersyukur kerana mampu menyambut setiap perayaan dalam suasana yang aman dan damai.

“Faktor perkembangan dari segala aspek yang memberangsangkan juga telah membolehkan setiap perayaan yang diraikan disambut dengan meriah dan harmoni.

“Susana seperti ini sudah cukup menggambarkan bahawa konsep 1Malaysia tersemat dengan cukup kukuh dalam sanubari masyarakat kita khususnya rakyat Sarawak,” kata Ting lagi.

Sekitar 200 masyarakat termasuk ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Meradong telah hadir sama memeriahkan majlis ini.


Tiada pembangunan dilaksanakan pembangkang

$
0
0

Tiada projek di Bintangor, Sarikei setelah Parlimen Sarikei, DUN Meradong diwakili pembangkang: Ding

Oleh Watt Zacchaeus //

BINTANGOR: Ketua Barisan Nasional (BN) Bintangor Ding Kuong Hiing menyifatkan tiada satu pun projek pembangunan dilaksana di kawasan luar bandar di sini dan Sarikei setelah Parlimen Sarikei dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong diwakili pembangkang.

Katanya pembangkang yang menawan Sarikei dan Meradong, khasnya Bintangor tidak berbuat apa-apa untuk pembangunan dan ini mengakibatkan rakyat menderita.

“Ia bukan masa yang singkat untuk rakyat menderita tanpa pembangunan untuk satu dekad.

“Sudah tiba masanya untuk mereka sekarang menimbang semula dengan memberi mandat kepada BN untuk mengubah kehidupan mereka pada masa depan,” katanya berucap semasa kunjungan Hari Gawai Dayak ke Rumah Sukin Gatal di sini, kelmarin.

Ding berkata semasa beliau menjadi wakil rakyat dalam kerajaan BN, rakyat telah menikmati pembangunan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan projek jalan raya.

“Dana-dana pembangunan datang daripada kerajaan BN. Tetapi sekarang, dana yang sepatutnya diperuntukkan ke sini disebabkan tiada BN ia telah disalurkan ke kawasan-kawasan lain,” tegas bekas Ahli Parlimen Sarikei itu.

Ding berharap jika beliau adalah calon BN pada pilihan raya akan datang, beliau memohon agar sokongan kepadanya terus dipertingkatkan.

“Jangan terperdaya sekali lagi dengan pihak pembangkang. Rakyat tidak boleh hidup tanpa pembangunan,” tambahnya.

Sementara itu, Tuai Rumah Sukin dalam ucapan aluannya memuji Ding atas komitmen dalam berkhidmat kepada rakyat.

Beliau turut mengakui rakyat telah merasai hasil pembangunan semasa Ding menjadi wakil rakyat mereka.

Sukin turut memberi jaminan kepada Ding bahawa penduduk rumah panjangnya akan memberi sokongan padu kepada BN pada Pilihan Raya Negeri akan datang yang dijangka akan diadakan dalam tempoh kurang setahun lagi.

PKS tulang belakang ekonomi negara dengan sumbangan sebanyak 97 peratus

$
0
0

KUCHING: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi tulang belakang ekonomi negara dengan sumbangan sebanyak 97 peratus, yang datangnya daripada sektor perniagaan.

Malah, PKS sehingga kini telah menyumbang sebanyak 31 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka meningkat sehingga 41 peratus menjelang 2020.

Menjelaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri turut mendedahkan, apa yang menarik dalam jumlah peratusan tersebut, sebanyak 20 peratus merupakan perniagaan yang dipelopori kaum wanita.

“Dalam Pelan Induk PKS 2012-2020, ia menyasarkan golongan wanita sebagai penggerak kepada ekonomi negara dengan pembabitan wanita dalam sektor PKS itu.

“Malah dalam tempoh lima tahun akan datang, jumlah usahawanita dijangka meningkat kepada 10 peratus.

“Ini jelas membuktikan, kerajaan amat menitikberatkan penglibatan wanita khususnya golongan suri rumah untuk memasuki pasaran kerja dan aktiviti keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Majlis Perasmian Portal Sesawang E-Saranita anjuran Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Sarawak (SARANITA) di Auditorium Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah, di sini semalam.

Sejajar dengan usaha galakan itu, jelas Nancy, kerajaan memperuntukkan sehingga RM200 juta peruntukan untuk sepanjang 2015 bertujuan merancakkan perusahaan PKS oleh wanita menerusi Program Pembiayaan Usahawan Wanita (WEP).

Antara inisiatif lain kata beliau, Program ‘1Malaysia Support for Housewife’ juga berperanan memberi latihan kemahiran kepada golongan suri rumah dengan peruntukan sejumlah RM2.26 bilion menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Semua itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan golongan wanita di negara ini terus menjadi pemacu kepada ekonomi negara berdasarkan konsep ‘Sheconomy’,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden SARANITA Jamilah Shukri berkata, kekayaan dan kepelbagaian yang ada di Sarawak seharusnya dipasarkan secara menyeluruh dan sistematik.

Sebagai contoh jelasnya, kepelbagaian seni kraf tangan daripada batik hingga ke songket, pua kumbu, tikar anyaman dan banyak lagi.

“Kita juga memiliki hidangan utama yang mencerminkan masyarakat Sarawak yang unik seperti kek lapis Sarawak, terubuk masin, pulut panggang beku, garam tanah tinggi dan banyak lagi.

“Kebanyakan produk ini diusahakan oleh usahawanita dan dipercayai mampu pergi lebih jauh kerana permintaannya yang tinggi,” katanya.

Justeru, seru Jamilah, peluang dan ruang kepada kaum wanita harus diperkasa supaya usaha untuk menceburi perniagaan itu tidak hanya diibaratkan seperti kekal di takuk lama.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Sarawak Scott Kueh Sui Yek dan Pengarah Syarikat Zapptech Sdn Bhd Jerry Adler.

Permudah usahawan dari rumah daftar perniagaan

$
0
0

Ordinan Pelesenan Perniagaan, Profesion dan Perdagangan Sarawak 1958 diharap dipinda

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Ordinan Pelesenan Perniagaan, Profesion dan Perdagangan Sarawak 1958 diharap dapat dipinda bagi memudahkan golongan usahawan yang menjalankan perniagaan dari rumah mendaftarkan perniagaan mereka secara sah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, menurut ordinan itu, peniaga perlu memohon lesen yang membolehkan premis kediaman dijadikan sebagai premis perniagaan atas syarat, premis yang digunakan untuk berniaga, didiri serta disambung (extend) ke rumah kediaman.

Dengan tujuan itu, jelasnya, peniaga juga perlu memohon kebenaran di bawah Ordinan Bangunan 1994.

“Proses ini dilihat agak rumit dan menyukarkan pengusaha kecilan yang kebanyakannya kurang berkemampuan.

“Malah, bagi yang tinggal di kawasan kampung, ia agak sukar untuk mereka mencari pendapatan tambahan dan syarat yang diperuntukkan oleh ordinan itu dilihat membebankan.

“Justeru, saya berasakan tidak adil bagi golongan ini untuk ditindas dan dibebankan dengan undang-undang yang menyukarkan mereka untuk berniaga secara sah dan terus dari kediaman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mnyampaikan ucap tama pada Majlis Perasmian Portal Sesawang E-Saranita anjuran Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Sarawak (SARANITA) di Auditorium Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah, di sini semalam.

Menurut Nancy lagi, difahamkan daripada sejumlah 90,000 usahawan Bumiputera di negeri ini, hanya 43,000 daripadanya mendaftar dengan agensi kerajaan termasuk SME Corp sejak 2007 hingga 2013.

Baki daripada jumlah tersebut, dilaporkan tidak berdaftar kerana perniagaan mereka beroperasi hanya di rumah, ujarnya.

“Bagi saya, polisi sedia ada dilihat tidak seiring dan tidak konsisten dengan hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai rakyat Sarawak khususnya, berkecimpung dalam perniagaan dan keusahawanan,” tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai portal E-Saranita, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, pelancaran portal itu bakal membantu usahawan di peringkat akar umbi selain sebagai rakan kongsi kerajaan yang mendukung Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan menyumbang kepada aktiviti ekonomi domestik, khasnya.

“Kita benar-benar serius mengusahakan kelahiran rakyat yang kreatif dan berinovasi.

“Usaha itu pada masa sama akan menjadikan ahli SARANITA sebagai NGO yang menyumbang kepada KDNK Malaysia sekali gus membolehkan hasrat kerajaan untuk menjadi negara properniagaan, propertumbuhan dan prorakyat menjadi realiti,” jelasnya.

Pada majlis itu, ahli SARANITA diwakili Presidennya Jamilah Shukri turut menerima sebanyak 20 unit bantuan komputer riba mini daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Selain itu, SARANITA juga mengukir satu lagi sejarah baharu apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat Zapptech Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat tempatan yang berkecimpung dalam sektor ‘e-Commerce’ dan pasaran atas talian (online marketing).

Zapptech berperanan menyediakan platform selain memastikan sesawang E-Saranita sentiasa berdaya saing untuk membawa usahawanita ke peringkat yang lebih tinggi dari semasa ke semasa.

Portal sesawang E-Saranita boleh dilayari menerusi alamat: www.esaranita.com.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah SKMM Wilayah Sarawak Scott Kueh Sui Yek dan Pengarah Zapptech Sdn Bhd Jerry Adler.

Pegawai polis orang terbaik jurubahasa dalam situasi huru-hara

$
0
0

KOTA KINABALU: Dalam situasi huru-hara, pegawai polis yang fasih bertutur bahasa ibunda suspek adalah orang terbaik untuk menterjemah kenyataan suspek kepada hakim mahkamah, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Bekas pegawai siasatan jenayah ASP Vernon Sinclair Dalton Doel berkata beliau telah mendapatkan khidmat anggota polis sedemikian apabila menyoal siasat individu warga Filipina yang disyaki terlibat dalam insiden pencerobohan Lahad Datu.

Kepada soalan oleh peguam Datuk N. Sivananthan semasa pemeriksaan balas, pegawai polis itu memberitahu mahkamah beliau tidak menyedari bahawa khidmat jurubahasa boleh digunakan apabila polis merakamkan kenyataan daripada suspek.

Vernon Sinclair, kini merupakan pegawai penjaga Balai Polis Labuan, memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan oleh sekumpulan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Saksi juga tidak bersetuju dengan andaian peguam bahawa menggunakan khidmat anggota polis sedemikian dan bukannya jurubahasa mahkamah untuk menterjemahkan kenyataan suspek adalah supaya apa yang dikatakan oleh suspek boleh diubah suai.

Vernon Sinclair memberitahu mahkamah beliau tidak sedar bahawa terdapat seseorang yang telah menyerah diri kepada pasukan keselamatan di Tanjung Labian di Lahad Datu, dijadikan saksi yang dilindungi dalam kes itu.

Beliau juga berkata beliau tidak tahu jika orang itu dijadikan saksi yang dilindungi untuk ‘mengawalnya’ daripada memberitahu keadaan sebenar semasa pencerobohan itu jika dia memberi keterangan di Mahkamah.

Sivananthan: Apabila kamu menerima orang ini pada 25 Mac 2013, adakah orang ini ditahan di balai polis Cenderawasih?

Vernon Sinclair: Ya.

Sivananthan: Adakah kamu sedar bahawa orang ini dimasukkan dalam sel yang sama dengan tertuduh ke-11 (Anuar Salib Akhmad) dalam kes ini?

Vernon Sinclair: Saya tidak tahu.

Sivananthan: Adakah kamu sedar bahawa orang ini dipukul hampir setiap hari semasa disoal sioasat oleh polis?

Vernon Sinclair: Saya tidak tahu.

Sivananthan: Adakah kamu sedar bahawa orang ini telah memberitahu tertuduh ke-11 bahawa dia tidak tahan lagi menanggung pukulan itu dan tertuduh ke-11 menasihatkannya menyatakan apa sahaja (kepada polis) untuk menyelamat nyawanya?

Vernon Sinclair: Saya tidak tahu.

Kepada soalan lain oleh Sivananthan, pegawai polis itu berkata beliau tidak ingat sama ada orang itu memberitahunya bahawa dia dijanjikan kerja dan sebidang tanah apabila tiba di Sabah dengan menaiki bot bersama empat daripada tertuduh yang dibicarakan.

Saksi itu berkata beliau juga tidak ingat jika orang itu memberitahunya tentang cubaan untuk melarikan diri bersama empat lelaki lain daripada kumpulan penceroboh selepas menyedari niat sebenar penceroboh yang diketuai seorang bernama Datu Agbimuddin Kiram.

Di dalam kandang tertuduh adalah 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan yang menghadapi pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013. — Bernama

1,370 peserta dijangka sertai Larian Bersama Bomba 2015

$
0
0

MIRI: Seramai 1,370 peserta dijangka akan menyertai Larian Bersama Bomba 2015 anjuran Jabatan Bomba Zon 6 pada Ahad (14 Jun) ini.

Larian Bersama Bomba sejauh lapan kilometer itu merupakan larian amal untuk dua organisasi kebajikan di sini iaitu Persatuan Autistik Miri dan Persatuan Diabetes Miri.

Acara larian diadakan di Marina Park bermula seawal jam 6.30 pagi.

Larian itu dibahagi kepada lapan kategori iaitu lelaki terbuka berumur 18 tahun dan ke atas, wanita terbuka (18 tahun ke atas), lelaki veteran berumur 45 tahun ke atas, wanita veteran (45 tahun dan ke atas), lelaki berumur 13 tahun hingga 17 tahun, wanita (13 hingga 17 tahun), kanak-kanak lelaki bawah 12 tahun dan kanak-kanak wanita bawah 12 tahun.

Bagi kategori kanakkanak lelaki dan wanita bawah 12 tahun akan berlari sejauh 3.5 kilometer.

Pelbagai hadiah menarik menanti para pemenang.

Tempat pertama setiap kategori masing-masing membawa pulang wang tunai RM300 serta medal, RM200 serta medal untuk tempat kedua bagi setiap kategori dan tempat ketiga menerima RM100 berserta medal.

Manakala tempat keempat setiap kategori menerima RM50 dan medal.

Setiap pemenang tempat kelima hingga kesepuluh bagi setiap kategori masingmasing menerima sebuah hamper serta medal.

Bagi peserta yang tidak mendapat tempat namun menghabiskan larian sehingga ke garis tamat turut diberikan medal.

Selain mengumpul dana untuk dua badan kebajikan, larian itu mempromosikan gaya hidup sihat serta merapatkan hubungan kalangan pihak Bomba dan masyarakat setempat.

Petanque: Hafizuddin tamatkan kemarau emas

$
0
0

SINGAPURA: Muhd Hafizuddin Mat Daud menamatkan kemarau 14 tahun negara dengan meraih pingat emas dalam acara petanque bagi kategori single lelaki di sini semalam.

Muhd Hafizuddin, 23, melakar sejarah apabila muncul pemain petanque pertama meraih pingat emas pada temasya dwitahunan itu sejak acara itu mula dipertandingkan pada 2001 di Malaysia.

Beliau mengalahkan pemain pilihan Thong Chhoeun dari Kemboja dengan 13-6 pagi semalam.

Pingat gangsa dikongsi Ngo Ron dari Vietnam bersama Keokannika Phoudthala dari Thailand.

Pada penentuan final itu Muhd Hafizuddin mendapat tepukan gemuruh daripada rakan sepasukan serta para penonton.

“Saya tidak sangka dapat melakar sejarah meraih pingat emas. Sejak 2001 lagi pasukan negara tidak pernah sumbang pingat emas dalam petanque. Kemenangan ini sangat bermakna buat saya.

“Terima kasih kepada jurulatih yang tidak putus asa mendidik saya sehingga mencapai sasaran pingat emas di Sukan SEA. Pencabar saya hari ini memang kuat. Apabila saya telah mendahului dari awal perlawanan, keyakinan saya semakin bertambah,” kata Muhd Hafizuddin. — Bernama

Trofi kejuaraan Golf PUSAKA menjadi milik Abang Zulasri

$
0
0

KUCHING: Trofi kejuaraan Golf PUSAKA 2015 menjadi milik Abang Zulasri selepas memenangi kategori nett lelaki di Kelab Golf Sarawak (KGS) di sini semalam.

Zulasri memperolehi 65 mata turut membawa pulang hadiah berupa ‘Apple Iphone’ 6-64GB.

Mohd Lokman memenangi kategori gross lelaki manakala Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Misnu Taha menjuarai kategori VIP.

Kategori PUSAKA menjadi milik Dahrani Muhammad dan Khaira Sabjit Singh memenangi kategori tetamu jemputan.

Tan Child-Wee mencuri tumpuan apabila memenangi kategori gross wanita.

Kategori nett wanita menjadi milik Latifah Lian.

Menteri Muda Alam Sekitar yang juga Ahli Lembaga Pengurusan PUSAKA, Datu Len Talif Salleh menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Pengurus Besar PUSAKA, Datu Sarudu Hoklai berkata kejohanan tersebut berlangsung sejak 25 tahun lalu.

“Kita akan terus mengadakan kejohanan ini pada masa akan datang.

“Ini merupakan landasan terbaik untuk permain-pemain golf bertemu selain memupuk semangat kerjasama kalangan warga PUSAKA,” katanya.

Hadir sama Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdullah Saidol.


Berguru dengan Real Madrid

$
0
0

Pemain tempatan didedah dengan latihan dan teknik-teknik pendidikan bola sepak

Oleh Nick Fletcher //

BIMBING: Ketua jurulatih Real Madrid Foundation Campus Experience, Ivan Garcia Sacristan membimbing pemain-pemain muda pada sesi latihan semalam.

BIMBING: Ketua jurulatih Real Madrid Foundation Campus Experience, Ivan Garcia Sacristan membimbing pemain-pemain muda pada sesi latihan semalam.

KUCHING: Real Madrid Foundation Campus Experience iaitu cabang institusi Real Madrid C.F salah satu kelab bola sepak terbesar di dunia kini berada di sini untuk mendedahkan pemain-pemain junior tempatan dengan latihan dan teknik-teknik pendidikan bola sepak.

Kali ini merupakan kedua Real Madrid Foundation Campus Experience menjalankan program pembangunan bola sepak di sini iaitu di padang bola sepak Yayasan Sarawak selepas berkampung di Padang C, Stadium Negeri tahun lalu.

Dikenali sebagai 1M Sarawak – Real Madrid Foundation Campus Experience 2015 merupakan program dianjurkan kerjasama Yayasan Rakyat 1Malaysia (1M Sarawak), Jabatan Pendidikan Negeri, Yayasan Sarawak, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Persatuan Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP).

Ahli Majlis Penasihat 1M Sarawak, Irwan Zulkarnain Mohd Hasbie berkata 1M Sarawak – Real Madrid Foundation Campus Experience 2015 berlangsung selama lima hari bermula semalam hingga 12 Jun ini.

“Kali ini, kami mempunyai kira-kira 160 peserta lingkungan usia lapan hingga 10 tahun dan 12 hingga 15 tahun dan mereka adalah dari Kuching, Sarikei dan Betong serta sebilangan kecil dari Sibu, Bintulu dan Miri.

“Mereka juga adalah dari akademi bola sepak dan sekolah- sekolah di mana kami bersama Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (PBBK) menjemput mereka dengan pemain-pemain dari sekolah dipilih oleh sekolah masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jelas Irwan, antara pengisian program itu ialah latihan bola sepak dan sesi dalam kelas dan pemain-pemain dididik menjadi ahli berpasukan, pemain bola sepak dan seseorang yang hormat-menghormati.

Justeru itu, beliau amat menghargai peluang bekerjasama dengan Real Madrid Foundation Campus Experience yang berpangkalan di Singapura dalam menjalankan program tersebut.

“Kita amat bertuah dapat bekerjasama dengan Real Madrid Foundation Campus Experience dan mereka mengajar serta mendedahkan pemain-pemain muda dengan kepimpinan, kerja keras, berpasukan dan nilai-nilai yang baik seperti hormat-menghormati,” katanya.

Selain itu, program itu turut melibatkan jurulatih-jurulatih tempatan membolehkan mereka belajar daripada jurulatih Real Madrid mengenai teknik-teknik serta latihan dan kemahiran bola sepak kepada pemain-pemain muda.

“Kami membawakan enam jurulatih dari Real Madrid dan dibantu oleh jurulatih-jurulatih tempatan dari akademi bola sepak kerana kita juga mahu jurulatih tempatan mendapat pengalaman serta teknik melatih daripada mereka.

“Dengan ini, kita dapat memberikan pengetahuan dan latihan kemahiran kepada jurulatih tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Irwan berkata pihaknya juga merancang mengadakan program ini setiap tahun.

“Objektif program ini adalah membawa kemahiran dan nilai-nilai bola sepak yang diajar oleh Real Madrid Foundation Campus Experience untuk anak-anak kita,” katanya.

Kehadiran KM serikan Pesta Sadong Jaya

$
0
0

Oleh Hamimi Kassim //

RASMI: Adenan memukul gong sebagai simbolik perasmian penangguhan Pesta Sadong Jaya 2015.

RASMI: Adenan memukul gong sebagai simbolik perasmian penangguhan Pesta Sadong Jaya 2015.

PESTA Sadong Jaya 2015 menjadi detik bersejarah apabila semua penduduk bukan sahaja dari Sadong Jaya, malah Simunjan, Gedong dan Asajaya menyertai pelbagai aktiviti yang telah diatur di samping berpeluang melihat sendiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem secara lebih dekat lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo berharap pesta tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan dan perpaduan di kalangan penduduk di situ sekali gus menjadi suntikan semangat dan motivasi lebih-lebih lagi kepada golongan belia dan generasi muda di Sadong Jaya.

“Saya yakin, dengan penglibatan generasi muda sebagai sebahagian daripada ‘team’ yang akan bersama-sama berganding bahu dengan pemimpin sedia ada untuk membawa lebih banyak pembangunan di Sadong Jaya,” katanya.

Diadakan di Pekan Sadong Jaya, objektif pesta tiga hari bermula 29 Mei itu adalah untuk menonjolkan warisan budaya sosial masyarakat setempat khususnya Bugis di samping mempromosikan Sadong Jaya sebagai destinasi menarik.

Pada hari pertama pesta diadakan pertandingan badminton dan futsal, sukan rakyat serta pertandingan Sadong Jaya Idol dan bergendang berkumpulan.

Pada hari kedua pula diadakan senam seni pada sebelah paginya diikuti pertandingan memancing, mewarna, tarian gerak kreatif serta pemeriksaan kesihatan.

Manakala sebelah malamnya diadakan persembahan PENTARAMA oleh artis jemputan dan siaran langsung Sarawakfm.

Kemuncak pesta iaitu pada 31 Mei adalah pameran makanan tradisional, pesta panggang dan majlis perasmian penangguhan yang disempurnakan oleh Adenan.

Turut hadir pada acara kemuncak itu isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri.

TRADISIONAL: Adenan melihat proses menyediakan aneka jenis makanan tradisional.

TRADISIONAL: Adenan melihat proses menyediakan aneka jenis makanan tradisional.

Tiada kaitan aksi bogel

$
0
0

Fenomena alam tiada kaitan dengan ‘semangat’ gunung

TIADA KAITAN: Kamarlin membuat sepakan sebagai gimik perasmian Kejohanan Bola sepak Piala ADUN Lumadan yang diadakan di Padang SK Gadong.

TIADA KAITAN: Kamarlin membuat sepakan sebagai gimik perasmian Kejohanan Bola sepak Piala ADUN Lumadan yang diadakan di Padang SK Gadong.

BEAUFORT: Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi menyifatkan kejadian yang menimpa pendaki Gunung Kinabalu bukandisebabkanolehtindakan sekumpulan pelancong asing yangberbogeldipuncakgunung itu bulan lepas.

Sebaliknya, beliau berpendapat bahawa tragedi berkenaan merupakan fenomena alam yang langsung tidak mempunyai hubung kait dengan ‘semangat’ Gunung Kinabalu.

Beliau menegaskan jika dilihat dari segi saintifik, daerah Ranau terdedah kepada risiko itu kerana ia terletak di garisan gempa bumi.

Bukan itu sahaja, malah teori pakar sebelum ini turut menyatakan bahawa ia mempunyai hubungan dengan tragedi tsunami yang berlaku pada 2004.

“Terpulang kepada kepercayaan masing-masing, memandangkan Gunung Kinabalu dianggap suci oleh masyarakat Sabah khususnya dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun dan seharusnya ia tidak dicemari perkara negatif (bogel) kerana ia bukan budaya kita.

“Ini adalah pendapat saya dan sebagai orang Islam, musibah yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Bola sepak Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Gadong, petang Sabtu lepas.

Kamarlin yang juga ADUN Lumadan berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak yang mengaitkan kejadian gempa di Sabah khususnya di Ranau yang terjejas teruk angkara aksi bogel sekumpulan pelancong baru-baru ini.

Dilaporkan, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan turut menyalahkan tindakan biadap pendaki asing itu sebagai punca gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda pada pagi Jumaat lalu.

Huguan Siou bagi masyarakat Kadazan Dusun itu dipetik sebagai berkata, bencana itu disebabkan perbuatan mereka yang tidak menghormati tradisi masyarakat tempatan bahawa Gunung Kinabalu adalah tanah suci.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Insfrastruktur turut memberitahu akan mengadakan satu upacara untuk memujuk ‘semangat’ gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.

Hampir 500,000 transaksi pendaftaran kenderaan secara dalam talian: Liow

$
0
0

CAMERON HIGHLANDS: Sehingga kini hampir 500,000 transaksi pendaftaran kenderaan dilakukan secara dalam talian, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata menerusi sistem itu, orang ramai tidak perlu bersusah payah hadir untuk membuat pendaftaran kenderaan, sekali gus  mengurangkan kesesakan di kaunter JPJ.

“Selepas proses pendaftaran secara dalam talian selesai, pihak penjual, pengedar atau pemilik boleh hadir ke kaunter JPJ untuk membuat cetakan Perakuan Pendaftaran Kenderaan (geran) dan disk Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat JPJ cawangan Cameron Highlands di Tanah Rata di sini semalam.

Selain itu, beliau berkata JPJ juga memperkenalkan pendaftaran kenderaan secara tanpa sempadan  yang membenarkan pendaftaran dibuat di mana-mana pejabat JPJ di seluruh negara, kecuali di pulau bebas cukai Labuan dan Langkawi.

“Sistem ini memudahkan serta mengurangkan kos orang ramai. Sebagai contoh nak pakai nombor pendaftaran negeri Johor, boleh membuat pendaftaran di pejabat Cameron Highlands. Sebelum ini nak pakai nombor pendaftaran Johor perlu mendaftar di Johor,” katanya.

Dalam pada itu, Liow mengumumkan kementerian membenarkan penggunaan laci belakang tidak lebih daripada dua meter pada lori membawa sayuran di Cameron Highlands susulan rayuan daripada pihak industri berkaitan.

“Pembinaan dan penggunaan ‘rear drawer’ (laci belakang) itu hendaklah tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh JPJ. Garis panduan tersebut akan mula dilaksanakan pada 1 Julai depan,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga tiada halangan untuk memberi kebenaran bagi pemasangan pagar sisi tambahan dan pagar besi belakang pada lori membawa sayuran.

Selain itu, beliau berkata pengurangan kadar Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak 90 peratus bagi kenderaan membawa sayuran digunakan di Cameron Highlands yang diluluskan 28 Okt 2012 dan akan berakhir pada 27 Okt 2017, bertujuan mengurangkan kos operasi mereka.

“Persatuan yang terlibat perlu mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pengangkutan bagi melanjutkan tempoh pengurangan kadar berkenaan sebelum kelulusan sedia ada berakhir,” katanya.

Sementara itu, Liow yang juga Presiden MCA berkata parti itu bersedia menghantar Skuad Bantuan Krisis (CRSM) untuk membantu mangsa gempa bumi di Sabah.

Katanya beliau telah mengarahkan timbalannya Datuk Dr Wee Ka Siong pergi ke Sabah untuk meninjau jenis bantuan yang diperlukan mangsa gempa bumi yang berlaku pada Jumaat lepas. — Bernama

Tidak perlu orang tengah selesai isu dengan PAS: DAP

$
0
0

Segala permasalahan akan dibincangkan secara langsung

KUALA LUMPUR: DAP tidak perlu mana-mana pihak untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik parti itu dengan PAS, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata DAP yang ditubuhkan sejak 1966 mempunyai paling banyak Ahli Parlimen dalam pakatan pembangkang dan mampu menghadapi sebarang permasalahan dengan mengadakan perbincangan secara langsung dengan sekutunya itu.

“Perkara atau masalah dengan PAS tak perlu mana-mana orang tengah  (untuk diselesaikan). Sebarang permasalahan harus dibincang secara langsung (dalam kalangan anggota) dan bukan menerusi orang tengah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan PKR kelmarin yang bersedia memainkan peranan sebagai orang tengah dalam menyelesaikan konflik antara parti itu dengan PAS.

Hal ini berikutan keputusan Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada Rabu lalu yang meluluskan usul tanpa dibahas untuk memutuskan hubungan dengan DAP kerana tidak selari dalam isu hudud.

Dalam pada itu, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata PAS perlu mengarahkan pemimpinnya untuk meletakkan jawatan dalam pentadbiran di negeri itu jika mahu memutuskan hubungan dengan DAP.

“Kerajaan negeri adalah di bawah pimpinan DAP, jadi apakah logiknya sekiranya pemimpin-pemimpin PAS masih lagi berkhidmat di bawah pimpinan DAP (jika mahu putus hubungan)?

“Saya tidak berhak untuk mengarahkan mereka untuk meletakkan jawatan kerana yang mahu putuskan hubungan dengan kami adalah PAS, jadi PAS yang harus bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas isu itu, bekas Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berpendapat sekiranya Dewan Muktamar PAS kekal dengan keputusannya untuk memutuskan kerjasama dengan DAP, parti itu masih boleh bertindak sebagai sebuah parti mesra Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

“Sejujurnya saya masih sayang kerjasama yang dibentuk selama ini tetapi kita serahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan namun kalau ditakdirkan PAS terkeluar dari Pakatan Rakyat, PAS boleh jadi komponen yang mesra Pakatan Rakyat di kedua-dua negeri ini (Pulau Pinang dan Selangor),” katanya.

Ditanya sama ada PAS akan berpatah balik dan mempertimbangkan semula usul tersebut sekiranya DAP cuba berlembut dalam masa terdekat, Mahfuz berkata perkara itu hanya akan mendatangkan persepsi negatif daripada umat Islam.

“Kalau PAS berpatah balik daripada apa yang dinyatakan dalam usul sudah tentu ia akan mengundang persepsi buruk dan sokongan yang kurang daripada orang Islam.

“Keputusan ‘u-turn’ itu seolah-olah melihat PAS tidak mahu melepaskan jawatan disebabkan ingin mempertahankan kedudukan semata-mata,” katanya.

Pada Rabu lepas, Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang. — Bernama

Soal selidik standard dirangka nilai tahap psikologi juruterbang

$
0
0

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengarahkan pemeriksa perubatan penerbangan awam dan pakar psikologi untuk merangka soal selidik standard bagi menilai tahap kesihatan mental dan psikologi semua juruterbang di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata langkah itu bagi mengelak insiden nahas pesawat Airbus Germanwings di Perancis pada 24 Mac lepas berikutan juruterbangnya yang dikatakan mengalami kemurungan serius dilaporkan sengaja menghempaskan pesawat itu.

“Semua juruterbang di negara ini nanti perlu melalui pemeriksaan kesihatan psikologi menerusi soalan-soalan untuk menguji dan menilai tahap mental mereka.

“Bagaimanapun seperti yang kita tahu, mental seorang juruterbang ini tiada yang spesifik. Mungkin pada masa tertentu juruterbang boleh mengalami masalah mental dan stres contohnya akibat masalah rumah tangga. Sedangkan sebelum ini juruterbang tersebut mungkin sihat dan tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ong Ka Chuan (BN-Tanjung Malim) yang ingin tahu langkah dilakukan kerajaan untuk mengadakan ujian mental dan fizikal terhadap juruterbang di negara ini bagi memastikan mereka berada pada tahap fizikal yang baik serta tidak mengalami gangguan emosi semasa bertugas.

Ab Aziz berkata, insiden juruterbang pesawat Airbus Gremanwings itu merupakan satu perkara baharu dan belum pernah berlaku dalam industri penerbangan dan kerajaan perlu mengambil langkah untuk menangani kejadian seumpama itu daripada berlaku membabitkan juruterbang di negara ini.

Katanya pada masa ini semua juruterbang hanya menjalani ujian kesihatan fizikal mengikut Peraturan Penerbangan 1996 yang mengkehendaki mereka menjalani pemeriksaan sekali setahun bagi yang berumur 40 tahun ke bawah dan dua kali setahun bagi yang berumur 40 tahun ke atas.

Pada masa ini, sebanyak 3,975 juruterbang di negara ini berdaftar dengan Jabatan Penerbangan Awam dan 389 daripada jumlah itu terdiri daripada warga asing, katanya. — Bernama

RM13 bilion diperuntuk kerajaan untuk BR1M

$
0
0

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM13 bilion dari tahun 2012 hingga 2015 bagi pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memanfaatkan hampir 7.4 juta rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pada tahun ini sahaja kerajaan menyediakan lebih RM5 bilion sebagai peruntukan bantuan itu yang diagihkan mengikutkan pendapatan isi rumah.

“Pada tahun 2015 isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah yang menerima BR1M adalah 4.1 juta orang dengan jumlah keseluruhan BR1M ialah RM3.9 bilion.

“Sementara untuk isi rumah RM3,001 hingga RM4,000 jumlah penerima ialah 400,010 orang dan jumlah BR1M RM300 juta dan untuk individu bujang yang berpendapatan RM2,000 ke bawah jumlah penerima ialah 2.7 juta dengan jumlah bantuan RM947 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti) yang ingin tahu jumlah penerima BR1M 2015 yang masih tidak mempunyai akaun simpanan untuk menerima bantuan itu melalui perbankan, dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad berkata untuk BR1M tahun ini juga, seramai 6.4 juta penerima telah mengemukakan maklumat akaun dan menerima bantuan mereka terus ke akaun bank masing-masing, sementara 820,000 penerima masih menerima bantuan itu melalui baucar.

Beliau menambah, bagi mengurangkan masalah ketirisan dn memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan itu, proses verifikasi dilaksanakan secara menyeluruh setiap tahun dengan semakan bersama data-data dari pelbagai agensi kerajaan.

Antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Akaun Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, katanya. — Bernama


Pindaan Akta AKM 1998 dan AKSM 1998 dijangka dibawa ke Dewan Rakyat Oktober

$
0
0

KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-Undang Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (AKSM) 1998 dijangka dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata pindaan akta itu yang antara lain bertujuan untuk memperkukuh peruntukan termasuk melibatkan soal media sosial kini dalam pertimbangan jadual Parlimen untuk dibentangkan.

“Dalam pindaan ini, kita akan sesuaikan dengan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan, juga dengan Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA).

“Waktu dulu, aspek media sosial tidak menjadi perkara besar. Tetapi dengan perkembangan kini, kita akan selesaikan dengan perkara baru agar masyarakat kita dapat dilindungi,” katanya ketika menjawab soalan Gooi Hsiao Leung (DAP-Alor Setar) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Gooi ingin tahu apakah pindaan ke atas AKM 1998 dan ASKM 1998 seperti diumumkan menteri pada Mac lalu akan dapat menangani pelbagai salah guna media sosial yang melibatkan pelanggaran sensitiviti agama, kaum termasuk menjadi saluran ‘merekrut’ keganasan.

Ahmad Shabery berkata kajian semula AKM 1998 bukan sahaja dikhususkan untuk menangani isu yang berlaku melibatkan media sosial sebaliknya turut diperkukuhkan dengan elemen lain dalam usaha untuk mencapai sebuah negara digital.

Beliau berkata semakan semula akta turut akan dilihat secara keseluruhan bagi memastikan pindaan yang dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Akta ini akan turut memperlihatkan semula peranan SKMM dalam mempertingkatkan capaian rangkaian telekomunikasi di seluruh Malaysia khususnya di kawasan berpenduduk,” katanya. — Bernama

BN pertahan penangguhan dialog ‘Nothing To Hide’

$
0
0

Beberapa penyokong kerajaan menawarkan penjelasan

KUALA LUMPUR: Penangguhan Dialog ‘Nothing To Hide’ yang sepatutnya dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas antara topik hangat di Dewan Rakyat semalam dengan beberapa anggota penyokong kerajaan bertindak menawarkan penjelasan berhubung kontroversi itu.

Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) menyifatkan penangguhan program itu yang turut dihadiri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai wajar kerana wujud kebimbangan sekiranya akan berlaku provokasi oleh pihak tertentu.

Beliau yang mengucapkan tahniah atas tindakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengarahkan supaya dialog itu ditangguhkan menyifatkannya sebagai tindakan terbaik demi menjaga maruah kedua-dua tokoh negara itu.

“Ini soal maruah…bukan maruah perdana menteri sahaja, tetapi juga maruah seorang negarawan (Dr Mahathir), takkan nak dijadikan tontonan begitu, jangan kita menang sorak, kampung tergadai, ini yang dimahukan pembangkang.

“Terima kasih kerana kita tidak terperangkap dengan permainan pembangkang,” katanya.

Program dialog perdana menteri bersama badan bukan kerajaan (NGO) Nothing to Hide pada Jumaat lepas telah dibatal dan ditangguhkan ke tarikh lain atas arahan polis kerana faktor keselamatan.

Selain Noh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim turut menyentuh isu itu apabila memberitahu bahawa beliau telah memberi penjelasan mengenai ketidakhadiran Najib pada majlis sesi dialog itu kepada Dr Mahathir.

“Saya ingin jelaskan di sini bahawa perdana menteri memang bersedia pergi pada hari tersebut, tetapi atas arahan ketua polis negara untuk jaga keselamatan (untuk tidak pergi).

“Semalam (kelmarin), saya sebagai naib presiden PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia), saya ada berada bersama Tun Mahathir di Kota Kinabalu, saya bagitau (beritahu) perkara yang sama, Tun tersenyum dengan penjelasan itu,” katanya ketika menjawab Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mendakwa kegagalan perdana menteri untuk hadir pada majlis itu kerana takutkan Dr Mahathir.

Mahfuz mengutarakan tohmahan tersebut sewaktu memberi soalan tambahan kepada Shahidan ketika sesi soal jawab mengenai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) pagi semalam.

Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang mengulas isu itu berdasarkan pandangan peribadi selaku antara yang hadir pada majlis berkenaan menjelaskan penangguhan sesi dialog itu didorong oleh keadaan di luar dewan yang sukar dikawal.

Beliau yang membahaskan RMK11 turut mengesahkan bahawa kehadiran Dr Mahathir telah diketahui oleh penganjur dan Najib sendiri yang disifatkan terbuka menerima kehadiran Dr Mahathir.

“Tapi masa saya masuk dalam dewan sudah penuh dan di luar dewan masih ramai yang tidak ada kad (jemputan) dan polis mula tidak boleh kawal keadaan di luar, dalam (dewan) takde masalah.

“Atas budi bicara dan faktor keselamatan ketua polis negara ambil keputusan untuk menangguhkan dialog itu,” katanya. — Bernama

Taman-taman Sabah buka tabung bencana untuk Malim Gunung

$
0
0

KUNDASANG: Taman-Taman Sabah (TTS) semalam mewujudkan Tabung Bencana Gempa Bumi Gunung Kinabalu untuk disalurkan kepada malim gunung dan anggota keluarga malim gunung yang terkorban dalam insiden Jumaat lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Kewangan, Pentadbiran dan Sumber Manusia TTS Daring Laban berkata tabung itu ditubuhkan berikutan permintaan banyak pihak termasuk dari luar negara yang mahu menyalurkan bantuan kewangan kepada malim gunung.

Bercakap kepada Bernama di sini semalam, Daring berkata sumbangan boleh disalurkan kepada Lembaga Pemegang Amanah TTS menerusi akaun bernombor 101050010000790 (Alliance Bank) dan sebarang pertanyaan boleh diajukan dengan menghubungi 019-8210202 atau 019-8977553.

Beliau berkata tabung itu akan menerima sumbangan berbentuk kewangan dan pihak yang ingin memberi sumbangan seperti barangan keperluan boleh menyalurkannya kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu.

Daring berkata berikutan penutupan aktiviti pendakian selama tiga minggu akibat kejadian gempa bumi Jumaat lepas, ramai malim gunung hilang punca

pendapatan bagi menyara kehidupan mereka dan keluarga.

Justeru katanya, beberapa pendekatan dikenal pasti untuk membantu malim gunung antaranya mengambil mereka untuk kerja pembaikan yang melibatkan laluan ke Gunung Kinabalu.

“Pendekatan itu kami fikirkan sesuai bagi membantu mereka kerana tidak diketahui berapa lama pendakian ke Gunung Kinabalu dihentikan, sekiranya keadaan masih bahaya penutupan akan dilanjutkan,” katanya.

Sementara itu, Daring berkata enam kakitangan TTS yang bertugas di kawasan puncak Gunung Kinabalu telah dipindahkan dan bertugas sementara di bahagian lain di Taman Kinabalu.

Katanya mereka merupakan petugas di Pos Kawalan di Pondok Layang-Layang dan Pondok Laban Rata yang musnah akibat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat lepas.

Setakat kelmarin, tragedi itu meragut 16 nyawa, termasuk lapan warga Singapura yang mendaki Gunung Kinabalu. Dua lagi mangsa masih hilang.

Terdapat 250 malim gunung dan 50 porter (pengangkat barang) berdaftar di bawah Persatuan Malim Gunung Kinabalu. — Bernama

Pelajar Singapura dibenar keluar dari hospital swasta

$
0
0

KOTA KINABALU: Pesakit terakhir daripada 18 rakyat Singapura yang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini akibat kecederaan serius dalam gempa bumi di Ranau pada Jumaaat, telah dibenar keluar.

Ketua pegawai eksekutif Hospital Gleneagles Kota Kinabalu Jean-Francois Naa berkata pesakit berkenaan, pelajar lelaki Sekolah Rendah Tanjong Katong, mengalami kecederaan kepala, dada dan otot.

Katanya pelajar berusia 11 tahun itu berada dalam keadaan cukup stabil untuk dibenar keluar semalam untuk pulang ke Singapura.

“Kumpulan pakar kami, yang diketuai pakar bedah neuro dan pakar anaestatis paediatrik telah berbincang dengan ibu bapa dan sanak saudara pesakit berkenaan tentang keadaan dan opsyen rawatan terbaik untuknya.

“Oleh kerana rawatan dijangka mengambil masa beberapa minggu, mereka membuat pilihan untuk meneruskan rawatan di Singapura. Ini akan memudahkan pihak keluarga memberi penjagaan dan sokongan,” katanya tanpa menyatakan nama pesakit itu.

Naa berkata Hospital Gleneagles Kota Kinabalu juga berbincang tentang keadaan pesakit itu dengan KK Women’s and Children’s Hospital Singapura dan kedua-dua pihak bersetuju agar dia pulang ke Singapura untuk mendapatkan penjagaan berterusan.

Pesakit itu adalah antara 29 pelajar dan lapan guru dari Singapura yang berada di Gunung Kinabalu ketika gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Ranau pada pagi Jumaat.

Naa berkata sebelum ini, 17 pesakit dibenar keluar dari hospital itu untuk pulang ke Singapura setelah keadaan mereka stabil.

“Harapan dan doa kami mengiringi mereka dan keluarga yang terjejas oleh gempa bumi itu,” katanya. — Bernama

Malim Gunung Kinabalu wira sejati: Pemuda BN

$
0
0

KOTA KINABALU: Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah menyanjung tinggi peranan dan pengorbanan malim Gunung Kinabalu dalam mencari dan menyelamat pendaki yang terkandas di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu dalam kejadian gempa bumi pada Jumaat lalu.

Ketuanya Yamani Hafez Musa berkata Pemuda BN negeri menyifatkan mereka sebagai wira sejati yang wajar diberi penghargaan dan pengiktirafan oleh kerajaan, rakyat dan pelbagai pihak yang lain.

“Malim Gunung Kinabalu yang terlibat dalam operasi itu telah mempertaruhkan nyawa mereka demi membantu menyelamatkan pendaki yang terkandas dan membawa turun mereka yang cedera. Kita amat terhutang budi kepada malim Gunung Kinabalu yang juga lebih dikenali sebagai ‘Unsung Heroes’.

“Pemuda BN Sabah menghargai keberanian, kemahiran dan ketangkasan wira-wira berkenaan dalam misi menyelamat di laluan yang terhalang oleh bongkahan-bongkahan batu. Mereka telah melaksanakan tugas yang amat penting dalam usaha menyelamat ramai pendaki yang terkandas di laluan yang terhalang oleh bongkahan batu itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Yamani Hafez berkata ada antara malim gunung itu terdiri daripada ketua Pemuda UMNO cawangan dan anggota Pemuda UMNO Ranau seperti Rashidi @ Sidut merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kundasang dan Azli Donald ialah Ketua Pemuda UMNO Cawangan Muhibbah di Ranau.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu dalam usaha pencarian, terutamanya malim gunung yang banyak berkorban bagi membantu mangsa gempa bumi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mendengar taklimat mengenai bencana itu di Ranau kelmarin juga menyifatkan malim gunung terbabit sebagai ‘unsung heroes’ yang telah melakukan tugas kerja yang terbaik.

Beliau berkata kerajaan akan memberi penghargaan terhadap jasa, usaha dan komitmen mereka dalam membantu pasukan penyelamat.

Sebanyak 250 malim gunung berdaftar di bawah Persatuan Malim Gunung Kinabalu.

Yamani Hafez berkata Pemuda BN Sabah yang menyambut baik cadangan kerajaan untuk memberi penghargaan khas dan sumbangan kepada malim gunung yang terlibat, mencadangkan kerajaan memberi pengiktirafan dengan  menyerap Malim Gunung sebagai Emergency Mountain Rangers (EMR) atau Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) sebagai persiapan menghadapi sebarang kejadian bencana yang tidak diingini di masa akan datang.

“Memandangkan mereka tahu setiap inci permukaan dan kawasan laluan ke puncak Gunung Kinabalu. Mereka akan dibayar elaun bulanan dan diberi latihan dan peralatan penyelamat yang lengkap seperti yang dicadangkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (yang merupakan Ahli Parlimen Ranau) Datuk Dr Ewon Ebin,” katanya.

Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat lepas (5 Jun) itu turut dirasai di kawasan lain seperti Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Setakat kelmarin, 16 orang disahkan terkorban akibat gempa bumi itu manakala dua lagi mangsa masih belum ditemukan. — Bernama

Viewing all 47228 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>