SIBU: Kawasan terbiar berhampiran penempatan di Sibu Jaya yang dahulunya dipenuhi dengan semak samun kini hampir 90 peratus dipenuhi dengan huma dan kebun sayur.
Hampir setiap pagi, penduduk di sekitar kawasan perumahan itu kelihatan berduyun-duyun ke kawasan kebun masing-masing.
Lebih menarik, ada di kalangan mereka turut membawa anak-anak atas kesedaran mereka boleh bebas bermain seperti kanak-kanak di kampung.
Baru-baru ini, kawasan semak tersebut musnah dijilat api dalam kebakaran hutan.
Seorang suri rumah yang dikenali sebagai Riti Lugat, 42, ketika ditemui memberitahu, beliau menanam pelbagai jenis tanaman antaranya jagung, ubi kayu serta beberapa jenis tanaman lain.
“Apabila kesemua tanaman ini sudah mengeluarkan hasil kelak, ia sedikit sebanyak dapat menjimatkan perbelanjaan.
“Tanaman sendiri juga lebih selamat dimakan, berbanding yang dijual di pasar atau tamu kerana terdapat di antara petani menggunakan racun perosak untuk menjaga tanaman mereka,” ujar beliau.
Menurut Riti, tanah tempat mereka berkebun pada dasarnya bukan milik mereka.
Namun, kerana sayang akan kawasan tersebut terbiar, beliau serta penduduk lain mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai tempat pertanian.