SIBU: Penduduk lima rumah panjang di Sungai Selidap, Bintangor dekat sini berdepan risiko kemalangan setiap hari apabila terpaksa menggunakan jalan simen sempit dan bengkang-bengkok yang hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki dan penunggang motosikal sejak 20 tahun lalu.
Jalan terbabit digunakan oleh lebih 120 pintu penduduk Rumah Dora Legak, Rumah Michael Tandang, Rumah Angie, Rumah Langgie, Rumah Michael Rima termasuk warga sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Selidap dan SJK Ming Shieng.
Menurut Tuai Rumah Dora, penduduk di situ sangat bimbang ketika menggunakan jalan terbabit pada waktu malam.
“Banyak sudah orang di sini termasuk guru dari dua buah sekolah di tempat kami ini terlibat dalam kemalangan semasa menggunakan jalan ini. Apabila hujan, jalan ini akan licin dan lebih membahayakan, keadaannya yang bengkang-bengkok dan sempit.
“Anak-anak kami di SMK Bandar Bintangor yang berulang-alik setiap hari turut terancam keselamatan mereka apabila menggunakan jalan ini.
“Ada yang tidak pergi ke sekolah kerana jalan simen ini turut dinaiki air apabila hujan turun, malah tidak kurang juga terlibat dalam kemalangan dan tercedera,” ujarnya semasa ditemui, semalam.
Dora berkata, keadaan jalan terbabit turut menghantui tenaga pengajar dua sekolah berkenaan.
“Baru-baru ini, seorang guru besar terlibat dalam kemalangan di jalan ini sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan yang agak serius selepas terbabas kerana jalan licin,” katanya.
Jalan simen sepanjang 4.5 kilometer itu turut menyukarkan motosikal untuk berselisih dan menyebabkan ramai penunggang motosikal terbabas ke tepi jalan.
“Kami di Sungai Selidap ini amat memerlukan belas kasihan daripada pihak berkenaan untuk membantu mengatasi masalah ini.
“Kalau boleh, kami mahukan jalan ini dilebar atau diturap dengan tar bagi menjamin keselamatan penduduk khasnya murid-murid dan warga pengajar di sini,” jelasnya.
Menurut Dora lagi, penduduk hairan apabila jalan simen itu masih dalam keadaan daif sedangkan jalan di kampung-kampung berdekatan sudah lama dinaik taraf.
“Kami di sini bukan membuat aduan disebabkan politik, tetapi hanya mengadu tentang kekurangan kami, iaitu hanya mengharapkan jalan yang baik serta selamat untuk penduduk,” tambahnya.