MATU: Kira-kira 2,000 penduduk setempat menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Abu Seman Jahwie di Kampung Bawang di sini, malam kelmarin.
Abu Seman berkata, kehadiran penduduk yang memberangsangkan pada majlis itu membuktikan semangat perpaduan masyarakat di kawasan terbabit masih kukuh.
Katanya, semangat kekitaan sebenarnya telah lama wujud dan ia perlu sentiasa disemai dari semasa ke semasa.
“Semangat kekitaan harus sentiasa diterapkan dalam diri agar perpaduan dan keamanan negara terus kekal.
“Semangat kekitaan ini amat penting. Ia mampu melahirkan watak individu yang berkepimpinan seperti berjiwa rakyat, sentiasa bersabar, bertolak ansur dan pemurah. Nilai-nilai yang baik ini perlu dibina sejak awal lagi.
“Pada masa yang sama, kita harus sedar kepelbagaian kaum yang wujud di negeri ini menambah keunikan Sarawak di mata dunia,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan amat bersungguh-sungguh dalam memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat.
“Kerajaan sedar jika perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia dapat dipupuk, Malaysia akan terus makmur dan membangun.
Abu Seman yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata, program komuniti terutama di peringkat kampung terbukti mampu memupuk semangat kekitaan dan perkongsian antara kaum di samping membina generasi yang akan mempertahankan perpaduan.
“Penganjuran program seperti ini memang terbukti membawa banyak manfaat. Selain mampu mempupuk perpaduan ia juga berupaya memelihara keamanan.
“Pada masa yang sama, semua rakyat Malaysia perlu bekerjasama untuk menjaga dan memelihara keamanan selain terus bersatu padu. Ini berupaya menjadi perisai kepada negara agar tidak terjejas oleh ideologi pelampau,” katanya lagi.
Majlis dari jam 8 pagi sehingga malam kelmarin diserikan dengan pelbagai acara menarik melibatkan persembahan pentas dan pertunjukan kebudayaan.
Pada majlis sama, Abu Seman menyampaikan piala pusingan kepada pemenang program keceriaan di Kampung Bawang Matu.