Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

LSS tingkat penguatkuasaan di semua terminal

$
0
0

SIBU: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri kurang dua minggu dari sekarang, Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) meningkatkan penguatkuasaan di semua terminal dan jeti seluruh negeri.

Kontroler LSS William Jinep berkata, penguatkuasaan itu dilakukan berikutan pertambahan aktiviti di terminal atau jeti berikutan ramai dijangka pulang bercuti menggunakan pengangkutan sungai.

Katanya, ramai yang balik kampung menggunakan pengangkutan sungai seperti bot laju, lebih-lebih lagi bagi kawasan Dalat, Matu dan Daro.

“Fokus kita akan lebih tertumpu kepada bot laju yang hanya dibenarkan membawa maksimum 12 penumpang. Kita akan mengenakan kompaun RM600 kepada pengusaha yang membawa lebih penumpang,” katanya di sini, kelmarin.

William berkata demikian ketika ditanya mengenai penguatkuasaan di terminal, jeti dan dermaga di seluruh negeri dalam usaha mengatasi pengangkutan sungai membawa penumpang berlebihan.

Beliau juga memberitahu, penguat kuasa LSS akan memeriksa pengangkutan sungai ini setiap masa bagi memastikan pengusaha bot mematuhi peratutan.

Katanya, jika sesebuah bot laju membawa lebih 12 orang penumpang, jaket keselamatan yang ada di dalam bot laju terbabit mungkin tidak mencukupi.

“Keadaan tersebut boleh membahayakan nyawa semua penumpang bot laju terbabit.

“Namun, pemeriksaan kita ke atas semua bot laju mendapati jaket keselamatan yang disediakan adalah mencukupi,” ujar Willliam sambil menambah jaket keselamatan hendaklah diletakkan di kawasan yang senang dilihat atau mudah dicapai oleh penumpang.

Beliau juga menasihati penumpang agar lebih berdisiplin dan tidak menaiki bot yang telah sarat dengan penumpang.

Menurut seorang juragan bot laju, Clement Wenceslaus Usong, keselamatan penumpang bot adalah keutamaan mereka.

“Saya akan mengingatkan penumpang berhubung pentingnya jaket keselamatan ini apabila mereka menaiki bot,” ujarnya yang telah membawa bot laju dari Sibu ke Dalat sejak 17 tahun lalu.

Sementara itu, tinjauan di Terminal Penumpang Sibu semalam mendapati keadaan masih terkawal serta kurang sesak dengan penumpang yang hendak balik ke kampung halaman masing-masing.

Namun, keadaan ini dijangka berubah pada hujung minggu depan apabila cuti sekolah bermula serta sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>