DARO: Seramai 17 ketua kaum sekitar daerah Daro menerima sumbangan khas Hari Raya Aidilfitri sempena Majlis Berbuka Puasa bersama pemimpin Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Daro, Murni Suhaili.
Majlis penyampaian disempurnakan oleh Murni berupa sepasang baju Melayu berserta kain songket kepada setiap ketua kaum terbabit.
Hadir sama Pegawai Daerah Daro Safiee Ahmad, Penghulu serta masyarakat tempatan. Pada masa yang sama diadakan majlis tahlil dan doa selamat di Surau Darul Makmur Kampung Itol, Daro.
Program berkenaan dianjurkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Daro dalam usaha menghargai jasa perkhidmatan ketua kaum dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan untuk kebajikan penduduk setempat.
Dalam ucapan ringkasnya, Murni merakamkan penghargaan serta ucapan ribuan terima kasih atas usaha murni sedemikian dan mengharapkan berterusan serta lebih banyak melibatkan pihak mahupun individu yang harus diberikan perhatian.