MIRI: Sikap beberapa pemandu kenderaan yang ‘mencuri’ jalan di bulatan Jalan Sri Dagang Pusat Komersil Waterfront di sini amat dikesali oleh pengguna jalan raya lain.
Tinjauan Utusan Borneo mendapati, rata-rata responden yang ditemui memberitahu perbuatan itu boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
“Perbuatan ‘mencuri’ jalan ini boleh menyebabkan kemalangan berlaku kerana salah faham peraturan jalan raya,” kata salah seorang responden yang hanya mahu dikenali sebagai Mat.
Menurutnya, beliau bimbang kerana perbuatan itu kini sudah dianggap tidak salah bagi sesetengah pemandu dan telah menjadi sesuatu yang biasa bagi mereka.
Sementara itu, seorang lagi responden yang merupakan pejalan kaki di kawasan sekitar yang dimaksudkan turut memberikan ekspresi yang sama.
“Perbuatan itu bahaya kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya terus masuk ke bulatan, walhal sepatutnya mengikut jalan lain terlebih dahulu,” jelasnya yang hanya mahu dikenali sebagai Yan.
Walaupun sesetengah pemandu ini mahu mengambil jalan pintas untuk menjimatkan masa, namun ia tidak berbaloi jika mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Bayangkan anda boleh sampai ke destinasi dalam masa setengah jam kerana mengikut jalan yang betul, tetapi kerana perbuatan ‘mencuri’ jalan dan jika kemalangan berlaku, ia memakan masa lebih lama,” ujarnya.
Kedua-dua responden berharap perkara itu tidak lagi berlaku dan timbul kesedaran dalam diri pengguna itu sendiri berbanding melalui peraturan dan penguatkuasaan pihak berwajib.
“Dah tahu salah pun buat, bukannya salah pihak berkuasa, apa yang penting timbul kesedaran dalam diri,” katanya.
Sebelum ini, satu tinjauan mengenai pengguna yang parkir secara semberono di kawasan sama turut diadakan oleh Utusan Borneo.