Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Tiada OKU harus tercicir bantuan

$
0
0

BANTU: Mohd Khairul (kanan), Awang Emran (dua kiri) bersama anak-anak OKU pada lawatan ke Kampung Lempaki Merapok baru-baru ini.

LAWAS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Lawas menyasar untuk mendaftarkan dan memperbaharui lebih banyak kad orang kurang upaya (OKU) di daerah ini agar tiada lagi golongan itu yang tercicir daripada mendapat keistimewaan yang disediakan kerajaan.

Pegawai JKM Lawas Mohd Khairul Punggut berkata, bagi mencapat hasrat itu usaha mendekati golongan terbabit dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Lawas melalui Pengarah Hospitalnya, Dr Noryatini  Merali serta sukarelawan JKM Lawas.

“Golongan OKU perlu mempunyai kad OKU yang dikeluarkan kepada orang kurang upaya yang berdaftar dengan jabatan bagi memudahkan mereka berurusan dengan pelbagai pihak,” katanya di sini semalam.

Mohd Khairul berkata, melalui usaha turun padang itu, pihaknya berjaya mendaftarkan dua orang adik-beradik OKU yang juga anak kepada Duyung Kilo dan Amina Saleh berbangsa Lun Bawang dari Kampung Lempaki Merapok.

“Pasangan tersebut mempunyai lima orang anak, dan tiga anak OKU dan seorang daripadanya sudah berdaftar, manakala dua orang lagi belum berdaftar.

“Sebelum kad OKU dibuat, Dr Noryatini telah melakukan pengesahan kesihatan apabila mendapati kedua orang anak pasangan itu menghadapi masalah autisme dan ‘mild to moderate retardation’,” katanya.

Mohd Khairul berkata, usaha menjejaki golongan OKU termasuk mendaftarkan kad OKU mereka dilakukan hasil kerjasama wakil sukarelawan JKM Lawas melalui Awang Emran Damit yang menyalurkan maklumat mengenai keadaan anak-anak OKU berkenaan.

“Hasil lawatan kita ke Kampung Lempaki Merapok baru-baru ini, memang masih ada golongan OKU belum mempunyai kad OKU mereka,” katanya.

Beliau berkata, penyaluran maklumat daripada pihak sukarelawan JKM juga penting sebagai mata dan telinga jabatan dalam menyalurkan maklumat yang boleh membantu jabatan menjejaki sekali gus membantu golongan OKU.

“Pada masa sama masyarakat perlu lebih peka dan mengambil berat terhadap kebajikan golongan OKU dengan mengambil bahagian dalam pembangunan OKU termasuk menyalurkan maklumat kepada JKM.

“Dengan adanya maklumat ini kita dapat mengetahui ada golongan tersebut memerlukan bantuan dan sokongan, agar kebajikan golongan ini terbela sejajar dengan hasrat kerajaan membela nasib OKU,” katanya.

Justeru, penglibatan ketua kaum serta agensi kerajaan lain digalakkan agar tiada lagi golongan OKU tecicir termasuk mendaftarkan mereka menikmati keistimewaan disediakan kerajaan melalui kad OKU berkenaan.

Turut sama pada lawatan itu Pembantu Pembangunan Masyarakat selaku pegawai mendaftar kad OKU bagi JKM Daerah Lawas, Mohamad Yakop Yusof.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>