
LANCAR: Mohamad (dua kanan) bersama-sama kakitangan KPDNKK yang lain dan wakil Farley Mini Market Bintulu di hadapan banting SKHMP sejurus pelancarannya, semalam.
BINTULU: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Bintulu berjaya menyelesaikan sembilan kes membabitkan kesalahan menaikkan harga barang dengan melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan kuantiti barang yang tidak setimpal dengan kadar harga yang dikenakan dalam Ops Harga yang dilancarkan sejak 6 Julai lalu.
Ketua cawangannya, Mohamad Drahman berkata dalam operasi itu tiga pesalah dikenakan tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 manakala enam lagi didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang mana pesalah diambil tindakan yang sewajarnya mengikut jenis kesalahan dilakukan.
“Kita amat memandang serius setiap peniaga melanggar akta jualan barangan yang ditetapkan oleh Kementerian terutama membabitkan barangan harga terkawal yang kebiasaannya dinaikkan menjelang musim perayaan,” katanya pada sidang media sejurus melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Raya Puasa 2013 Peringkat Bahagian Bintulu di sini, pagi semalam.
Jelasnya, para peniaga seharusnya bertanggungjawab dan mengikut peraturan yang ditetapkan supaya tidak melanggar perihal dagangan yang ditetapkan sekali gus membolehkan pengguna mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan.
Katanya, para peniaga hendaklah menjual barangan harga terkawal dengan tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan dalam masa sama meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal.
“Bagi membendung tindakan peniaga yang tidak bertanggungjawab ini, KPDNKK turut membuka kaunter aduan pengguna di Pasar Utama Bintulu (PUB) sejak 1 Julai lalu dibuka jam 9 pagi hingga 1 petang setiap hari,” jelasnya.
Katanya, dengan adanya kaunter aduan ini akan memudahkan orang ramai membuat aduan dan juga membuat penimbangan semula terhadap kuantiti barangan yang dibeli mereka sekiranya tidak berpuas hati dengan kuantiti barangan yang dibeli oleh mereka.
Dalam SKHMP Hari Raya Puasa tahun ini, sebanyak 18 barangan disenaraikan sebagai barang harga terkawal iaitu bagi harga borong, harga ayam hidup satu kilogram adalah sebanyak RM 6, ayam super (1 kg-RM 8.50), ayam standard (1 kg-RM 7.60), daging lembu import ) 1 kg- RM 19), telur ayam gred A (satu biji-RM 0.34), telur ayam gred B (satu biji-RM 0.33), telur ayam gred C (1 kg-RM 0.32),kubis kulat import (1 kg-RM 2), cili merah (1 kg-RM 12), tomato (1kg-RM 5), kelapa biji (1 biji-RM 1.50), kacang tanah import (1 kg-RM 6), bawang merah kecil-India (1 kg-RM 4.50), bawang besar import (1 kg-RM 3), bawang putih-China (1 kg-RM (4.50) ubi kentang import-China (1 kg-RM 2.50) dan ikan kembung (1 kg-RM 8).
Bagi harga runcit pula, harga ayam hidup satu kilogram adalah sebanyak RM 6.70, ayam super (1 kg-RM 9.50), ayam standard (1 kg-RM 8.50), daging lembu import ) 1 kg- RM 21), telur ayam gred A (satu biji-RM 0.36), telur ayam gred B (satu biji-RM 0.35), telur ayam gred C (1 kg-RM 0.34),kubis bulat import (1 kg-RM 3), cili merah (1 kg-RM 14), tomato (1kg-RM 6), kelapa parut 91 kg-RM 5), kacang tanah import (1 kg-RM 7), bawang merah kecil-India (1 kg-RM 5.50), bawang besar import (1 kg-RM 4), bawang putih-China (1 kg-RM 5.50) ubi kentang import-China (1 kg-RM 3.50) dan ikan kembung (1 kg-RM 9).