KUCHING: Seorang lelaki warga emas ditumbuk oleh anak lelakinya yang dipercayai mabuk ketika mahu memeriksa keadaan isterinya yang sedang tenat awal pagi semalam.
Difahamkam, mangsa, 78, semasa kejadian baharu sahaja mahu memasuki bilik tidurnya untuk melihat keadaan isterinya yang sudah sakit sejak enam bulan lepas sekitar jam 6 pagi semalam.
Pada masa sama, seorang anak lelaki mereka yang dalam keadaan mabuk telah menghalang mangsa masuk ke dalam biliknya sebelum menumbuk mangsa sehingga mangsa rebah.
Mangsa kemudian mengalah dan sekitar jam 10 pagi, dia membuat keputusan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.
Dalam satu kejadian berasingan, seorang wanita berusia 85 tahun dikejarkan ke HUS selepas dirempuh sebuah kereta sekitar jam 12 tengah hari semalam.
Menurut sumber, mangsa semasa kejadian sedang melintas jalan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang dipandu oleh seorang jururawat.
Ekoran kejadian tersebut, anak mangsa bergegas ke tempat kejadian dan terus menghantar mangsa ke HUS untuk rawatan lanjut.
Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan masih dirawat di Zon Merah HUS berikutan kecederaan yang dialaminya.