Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Umat Islam dinasihat perkaya ilmu

$
0
0

MESRA: Putit (kiri) bertanya khabar Tun Salahuddin pada Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Masjid Al-Muttaqin Kota Samarahan, kelmarin. Turut kelihatan (dari kanan) Asfia, Naroden dan Awang Tengah.

KOTA SAMARAHAN: Masyarakat Islam diajak memperkayakan ilmu pengetahuan melalui al-Quran bagi membentuk sahsiah diri yang tinggi dalam usaha mengembangkan syiar Islam di negeri ini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, al-Quran adalah sumber ilmu yang tidak ada batasnya dan Islam berkembang dengan adanya ilmu pengetahuan.

“Pada zaman yang kita harungi sekarang, untuk berjaya ilmu pengetahuan dan memiliki sahsiah yang tinggi adalah penting. Disebabkan itu kita perlu memperkayakan diri kita dengan ilmu pengetahuan kerana ia adalah pokok pangkal untuk kita maju dan mengembangkan syiar Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Masjid Al-Muttaqin Kota Samarahan di sini kelmarin.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.

Justeru, Awang Tengah berkata, sempena menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran, umat Islam diingatkan agar menjadikan kitab suci itu sebagai pedoman dan diaplikasikan dalam kehidupan.

Malah, tegasnya, setiap individu Islam harus bertanggungjawab menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam menuju ke jalan yang dirahmati Allah SWT.

“Oleh itu, memperingati peristiwa Nuzul Al-Quran adalah penting bagi kita semua mengetahui peristiwa besar Islam yang bersejarah sekali gus membawa Islam di persada dunia,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu kepimpinan negeri turut menjadikan al-Quran dan Islam sebagai asas dalam dasar pengurusan dan pentadibran sekali gus berjaya mengekalkan keharmonian dan kemakmuran rakyat berbilang kaum di negeri ini.

“Empat perkara besar yang boleh dibawa oleh al-Quran dalam kehidupan kita iaitu hidayah dan petunjuk ke jalan Allah SWT, membentuk masyarakat bersahsiah tinggi, melahirkan masyarakat terdidik dengan ajaran dan prinsip al-Quran dan mampu melahirkan umat yang sentiasa merujuk dan mengikut panduan daripada wahyu Allah SWT,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap masyarakat Islam terus mendalami dan memahami al-Quran bagi memastikan kesinambungan dan martabat Islam dengan berteraskan wahyu Allah SWT.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Asfia Awang Nassar, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Naroden Majais, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, Mufti Negeri Sarawak Kipli Yassin dan tetamu kehormat lain.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>