Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Anjung Kasih akan mula operasi hujung bulan depan

$
0
0

KUCHING: Penjaga atau pengiring pesakit di Hospital Umum Sarawak (HUS) khasnya dari luar Kuching dinasihati agar tinggal di Anjung Kasih, iaitu tempat penginapan sementara yang dijangka memulakan operasinya penghujung bulan depan untuk memberi keselesaan kepada mereka.

Pengarah HUS Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, malah dengan adanya Anjung Kasih itu mampu mengurangkan kesesakan di laluan koridor hospital atau bilik menunggu, di mana penjaga atau pengiring sering menunggu pesakit.

“Sebaiknya untuk mengurangkan kesesakan khasnya (di koridor) pejalan kaki ke hospital, adalah lebih baik mereka tinggal di Anjung Kasih, yang lebih selesa dan mempunyai tempat tidur.

“Malah, Anjung Kasih ini masih berdekatan iaitu di pekarangan hospital, yang mana jika ada masalah penjaga atau pengiring boleh berjalan kaki dari Anjung Kasih ke wad atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Raya Bank Rakyat yang dihadiri Ketua Wilayah Sarawak Bank Rakyat Azman Abd Aziz di Wad Pediatrik (Kanak-kanak) HUS di sini, kelmarin.

Dr Abdul Rahim berkata, penjaga atau pengiring pesakit yang tinggal di Anjung Kasih tidak akan dikenakan sebarang caj kemasukan.

Mengulas mengenai perkembangan projek, katanya, kerja-kerja penyiapan kini sudah mencapai 95 peratus dan menunggu kemudahan perabot disediakan pada bulan depan.

“Saya dimaklumkan oleh pengarah projek ia akan dilaksanakan pada bulan depan dan projek dijangka siap seperti yang kita jangkakan iaitu penghujung bulan depan.

“Kini, kita dalam usaha untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan dasar operasi bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Rotary Club dan hospital sendiri, selain bagaimana kita mahu menjalankan operasi Anjung Kasih nanti,” ujarnya.

Dr Abdul Rahim berkata, projek yang sepatutnya disiapkan pada Jun lepas bagaimanapun tertangguh kerana pihak pengurusan projek yang juga sukarelawan perlu menyiapkan projek lain.

Anjung Kasih, yang menggunakan Blok Dahlia (bekas asrama pelatih perubatan), terdiri daripada bangunan tiga tingkat, iaitu tingkat bawah menempatkan ruang aktiviti pertemuan, sementara tingkat dua dan tiga merangkumi lebih 40 bilik untuk penjaga atau pengiring pesakit dengan kos pengubahsuaian hampir RM500,000.

Ia bertujuan untuk kesejahteraan penjaga atau pengiring pesakit dari luar Kuching yang menerima rawatan di HUS, tetapi tidak mampu untuk tinggal di hotel.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>