SIBU: Seramai lebih 100 pemain dijangka menyertai CMS Sarawak Squash Circuit pusingan kedua di Pusat Squash Lau Swee Nguong, SMK Sacred Heart, di sini bermula 26 hingga 28 Julai ini.
Presiden Persatuan Skuasy Sarawak (SRAS), Robert Lau Hui Yew berkata pusingan pertama diadakan di Kuching bermula 28 hingga 30 Jun lalu dan melibatkan penyertaan seramai lebih 150 peserta.
Pusingan ketiga dan terakhir CMS Sarawak Squash Circuit akan berlangsung di Miri bermula 14 hingga 16 September ini.
Menurut Lau, objektif penganjuran bertujuan mencungkil dan mengasah bakat pemain baharu untuk CIMB National Circuit.
“Selain itu, Sarawak turut memerlukan pemain muda untuk SUKMA 2016, di mana Sarawak dipilih menjadi tuan rumah,” jelasnya yang juga Naib Presiden Persatuan Skuasy Kebangsaan ketika ditemui kelmarin.
Katanya, peserta yang akan mengambil bahagian pada pusingan kedua melibatkan penyertaan peserta dari Sibu, Kuching, Miri dan Brunei.
“CMS Sarawak Squash Circuit kali ini memberi tumpuan kepada pemain No.1 kebangsaan bawah 9 tahun, Chris Lau yang telah membuat kejutan pada kejohanan skuasy kebangsaan bawah 9 tahun,” ujar beliau.
CMS Sarawak Squash Circuit dibahagikan kepada lima kategori iaitu bawah 9 tahun, bawah 11 tahun, bawah 13 tahun, bawah 15 dan kategori tambahan bawah 17 tahun untuk kategori lelaki serta kategori lelaki terbuka.
CMS Sarawak Squash Circuit pusingan kedua bakal menyaksikan pelawanan bermula jam 9 pagi hingga 8 malam pada 26 Julai, 8 pagi hingga 7.30 petang pada 27 Julai dan 8 pagi hingga 11.30 pagi pada 28 Julai.
Penaung utama kejohanan kali ini ialah Datuk Tiong Thai King, Vincent Lau Lee Ming, Hua Seng Sawmill Co Bhd, Reliance Transport Sdn Bhd, Premier Department Store dan Premier Hotel.
TN Sports menaja hadiah- hadiah kejohanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee dijangka menyempurnakan pembukaan CMS Sarawak Squash Circuit pusingan kedua.