HAMBURG, Jerman: Roger Federer hanya memerlukan masa tidak sampai dua jam sahaja untuk menyingkirkan Florian Mayer dari Jerman dalam tiga set pada Jumaat lepas dan mara ke peringkat separuh akhir kejohanan gelanggang tanah liat di Hamburg.
Pemain pilihan utama dari Switzerland itu, yang bermain dalam kejohanan pertamanya sejak disingkirkan dengan mengejut pada peringkat kedua di Wimbledon, menggunakan pengalamannya untuk memenangi set ketiga bagi kemenangan 7-6 (7/4), 3-6, 7-5 dalam perlawanan suku akhir.
Mayer, yang menduduki tempat ke-45 di dunia berbanding ranking kelima bagi Federer, melakukan enam pukulan ace, tiga kali lebih banyak berbanding bintang Swiss itu, tetapi Federer ternyata kuat bila ia penting, dengan menyelamatkan tiga daripada lima mata break yang dihadapinya di set ketiga.
“Ia amat sukar sekali,” kata Federer.
“Saya bermula dengan amat baik. Saya rasa kedua-dua kami memukul bola dengan baik di set pertama dan tidak memberi banyak peluang kepada satu sama lain. Ia hanya ditentukan pada penghujung perlawanan.
“Saya gembira untuk bermain dalam tie-break yang bagus. Saya sepatutnya mendahului awal dengan break di set kedua; dia memerangkap saya di sana. Ia sedikit seperti roller-coaster sehingga ke penghujung perlawanan. Terpaksa bertahan.
“Keadaan sejuk dan berat, tanah liat berat.
Jadi ia sukar berbanding apa yang kami jangkakan pada awal hari apabila kami menyangka kami akan bermain pada jam 5.15 petang.
Saya ingin menyatakan bahawa saya amat seronok dalam perlawanan ini.
Ia adalah perlawanan yang sukar dan Florian berjuang dengan gigih.
” Federer memiliki rekod acara 32-4 di Hamburg, di mana dia memenangi kejuaraan itu pada 2002, 2004-05 dan 2007, kemudian menduduki tempat kedua pada 2008 di belakang Rafael Nadal.
Bintang Swiss itu menentang pemain kelayakan dari Argentina, Federico Delbonis pada peringkat separuh akhir semalam.
Pemain pilihan kedua dari Jerman, Tommy Haas tersingkir pada peringkat suku akhir apabila dia tewas dalam straight set, 6-2, 6-4 kepada pemain pilihan ke-12 dari Itali Fabio Fognini yang memenangi kejohanan ATP pertamanya di Stuttgart pada minggu lepas.
— AFP