BARCELONA, Catalonia: Jurulatih Barcelona yang menghidap kanser Tito Vilanova meletak jawatan Jumaat lepas untuk menjalani rawatan lanjut bagi penyakitnya, kata presiden juara Sepanyol itu Sandro Rosell.
Vilanova, 44, mengeluarkan ketumbuhan dari kelenjar liur dalam kerongkongnya pada November 2011 dan pada Disember 2012 dia mengalami ketumbuhan semula.
Dia menjalani pembedahan sekali lagi selepas menjalani kemoterapi dan radioterapi selama 10 minggu di New York.
Vilanova kembali untuk memegang tampuk di Barcelona pada Mac lalu dan membimbing kelab untuk memenangi kejuaraan liga Sepanyol.
“Selepas meneliti hasil rehat rutin pada minggu ini Tito Vilanova telah dikemukakan dengan pilihan bagi menjalankan rawatan untuk terus mengawal penyakitnya yang akan menjadikannya tidak serasi untuk menjalankan peranan sebagai jurulatih pasukan utama dari sekarang,” kata Rosell di satu sidang akhbar.
“Saya mahu meminta semua orang, terutamanya media, bagi pihak keluarganya untuk menunjukkan sikap hormat yang maksimum kepada privasi seluruh proses yang akan bermula sekarang,” tambahnya.
Pengganti Vilanova akan diumumkan “mungkin pada awal minggu depan”, kata Rosell.
Pegawai kelab bertemu dengan skuad dan pasukan itu membuat keputusan untuk tidak pergi ke Poland bagi satu perlawanan pramusim menentang Lechia Gdansk semalam, ujarnya lagi.
“Semua tidak ada mood untuk melakukannya,” kata Rosell yang diapit oleh pengarah sukan kelab Andoni Zubizarreta.
“Saya mahu mengatakan bahawa kehidupan masih diteruskan, ini adalah satu tamparan yang begitu besar, tamparan yang sangat sukar, bagi Barcelona tetapi Barcelona telah mengalami banyak tamparan dan kami sentiasa mengatasi tamparan ini dan hari ini bukan satu pengecualian.
Saya meminta semua orang untuk memikirkan tentang orang terlebih dahulu dan kelab kemudian.
” Beberapa pemain Barcelona, termasuk penyerang Argentina, Lionel Messi dan pemain pertahanan veteran Carles Puyol, menghadiri media akhbar itu dengan memakai kelengkapan jersi mereka.
Vilanova, yang mengikat kontrak dengan Barcelona sehingga Jun 2014, mengambil alih daripada Pep Guardiola sebagai pengurus pada Jun 2012, selepas dia bekerja sebelum itu sebagai penolongnya.
Pada minggu lepas Guardiola, yang kini melatih juara Jerman dan Eropah, Bayern Munich, menuduh pegawai Barcelona menggunakan penyakit Vilanova “untuk merosakkan saya”.
“Saya tidak akan lupa bahawa mereka menggunakan penyakit Tito untuk merosakkan saya, kerana ia adalah satu pembohongan bahawa saya tidak pernah menjenguknya di New York,” katanya. — AFP