
TUMPAS: Said (kiri) memegang parang panjang yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah pada sidang media, semalam. Turut kelihatan, lori curi yang berjaya ditemui polis.
Suspek samun, curi kenderaan dan cubaan rasuah dicekup polis
BINTULU: Empat penjenayah tegar berumur antara 16 dan 40 tahun diberkas polis di sini selepas dipercayai terlibat dalam tiga kesalahan jenayah iaitu samun, curi kenderaan dan cubaan merasuah polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian pertama pada 2 Februari lalu sekitar jam 7 malam, tiga lelaki datang ke sebuah bengkel di Tanjung Kidurong lalu mengugut pemiliknya agar membuka enjin lori yang dibawa oleh mereka.
“Hasil tindakan pantas, polis berjaya menangkap dua daripada tiga penjenayah berkenaan serta merampas lori terbabit yang dipercayai lori curi sekitar jam 3 pagi di Tanjung Kidurong,” ujarnya pada sidang media di sini, semalam.
Menurut beliau, penahanan dua suspek itu menjurus kepada pe-nangkapan dua lagi lelaki dalam tempoh kurang 24 jam iaitu sekitar jam 6 petang keesokannya, sekali gus polis menemui dua lagi lori yang dipercayai dicuri.
Sementara itu, kedua-dua suspek dalam tangkapan kedua dipercayai cuba memberi rasuah sebanyak RM8,000 kepada pegawai polis yang bertugas, bagaimanapun usaha mereka gagal apabila polis meng-hubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Kes itu di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan semua suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut,” ujarnya.
Polis turut menemui sebilan parang panjang yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah, tambahnya.
Difahamkan, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau terutama dalam kes kecurian kenderaan di bahagian ini.
Dalam pada itu, Said berkata, pihaknya meneruskan pemantauan serta siasatan terhadap kes kecurian kenderaan yang semakin berleluasa di sini.
Justeru, katanya, setiap pemilik kenderaan perlu bekerjasama dengan memasang kunci kedua atau kunci tambahan pada ken-deraan mereka serta meletakkan kenderaan di tempat selamat serta mudah dilihat.