MIRI: Kegagalan Jabatan Imigresen menangani masalah dan isu-isu kekurangan tenaga kerja di pintu masuk sempadan Sarawak-Brunei di Sungai Tujuh dekat sini boleh menjejaskan industri pelancongan negeri.
Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo berkata masalah tersebut tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ketika Sarawak dan Malaysia melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) dan Tahun Melawat Sarawak (TMS) 2014.
“Masalah ini sepatutnya ditangani dari awal (sebelum kempen dilancarkan) dengan menempatkan tenaga kerja yang mencukupi untuk bertugas di pintu masuk sempadan terutama pada musim perayaan dan hujung minggu.
“Ini kerana pada tempoh tersebut, jumlah pelawat yang keluar masuk melalui pintu sempadan akan bertambah dua hingga tiga kali ganda pada hari-hari biasa dan pihak jabatan sepatutnya sudah maklum mengenai situasi seperti ini,” katanya.
Beliau yang juga Ketua PKR Miri berkata demikian ditemui di sini semalam mengulas insiden kesesakan teruk berlaku di pos kawalan Sungai Tujuh di sini pada 1 Januari lalu hingga menyebabkan pengguna yang melaluinya terpaksa menunggu sehingga tiga jam.
Kesesakan berlaku ekoran hanya empat kaunter sahaja dibuka daripada 20 buah kaunter yang ada turut menyebabkan deretan kenderaan lebih satu kilometer panjangnya menyebabkan ramai berpatah balik dan ada yang tertinggal penerbangan mereka dari Miri.
“Dalam tempoh tiga jam kesesakan itu berlaku, ramai yang berpatah balik ke negara mereka, Brunei dan tidak kurang juga Limbang, Lawas malah termasuk Sabah.
“Berapa banyak kita sudah rugi di situ terutamanya kepada ekonomi dan aliran wang masuk?
“Sehubungan itu saya rasa sudah tiba masanya, pihak Imigresen negeri duduk semeja dan berbincang dengan kerajaan negara Brunei mengenai masalah ini kerana semakin lama berlarutan semakin banyak mendatangkan kerugian kepada sektor ekonomi dan pelancongan khususnya di Miri,” ujar beliau.
Bagaimanapun, Dr Teo berkata, sebelum mengadakan perbincangan dengan kerajaan negara jiran, Jabatan Imigresen negeri ini perlu menyelesaikan terlebih dahulu masalah di pihak sendiri terutamanya dari aspek tenaga kerja.
Sebelum ini, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut menegur jabatan berkenaan kerana menerima banyak aduan daripada orang awam dan pengguna yang melalui pos kawalan sempadan tersebut.
Lee menegaskan, ia bukan perkara baharu dan berlaku buat kali pertama malah hampir setiap kali musim perayaan.
Justeru, Lee mencadangkan agar jabatan itu membuka sekurang-kurangnya 10 buah kaunter berbanding hanya empat yang dibuka pada hari kedua sambutan Tahun Baharu Cina yang lalu, menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati orang ramai.