MIRI: Polis Daerah Lawas semalam mengarahkan agar lubang terowong yang digali oleh lima lelaki yang mencari harta karun, kononnya tertanam di dalam tanah ditutup semula bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang semula.
Ketua Polis Daerah (KPD) Lawas, DSP Fauzilan Abdul Aziz memberitahu pihaknya masih meneruskan siasatan ke atas tragedi yang meragut dua nyawa pencari harta karun tersebut dari pelbagai aspek.
Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai berhenti daripada menyebarkan sebarang spekulasi dan khabar angin mengenai adanya harta karun mahupun ‘galian’ berharga tertanam tersebut khususnya di laman-laman sosial.
“Pada masa ini pihak Polis masih meneruskan siasatan dan kita minta sebarang cerita tambahan berhubung insiden yang berlaku itu dihentikan, ini khususnya kepada pihak yang gemar menggunakan laman sosial untuk menghebohkan berita sensasi tanpa fakta yang tepat,” katanya.
Fauzilan juga mengingatkan tindakan orang awam yang sanggup menggali lubang mahupun terowong di bawah tanah bagi mencari ‘harta karun’ yang belum tentu kebenarannya adalah amat berbahaya malah boleh meragut nyawa seperti yang terjadi di Kampung Lintang Baru, Trusan di Lawas, kelmarin.
“Sehubungan itu, saya mengingatkan orang ramai supaya jangan mendengar sebarang khabar angin dan mengambil risiko menggali lubang atau terowong tanpa kebenaran pihak berkuasa kerana boleh membahayakan nyawa sendiri atau lubang yang digali mungkin boleh runtuh,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam kejadian pagi Isnin lalu, dua beradik menyertai sekumpulan lima lelaki termasuk keduanya menemui maut selepas terperangkap dalam terowong buatan sendiri itu ketika hendak mencari harta karun yang kononnya tertanam di bawah bukit terletak di antara sempadan Lawas dengan Temburong, Brunei.
Kedua-duanya disahkan mati lemas akibat asap dari pam air yang dibawa mereka ketika menggali terowong yang tidak dapat dikeluarkan dengan sempurna dari lubang terowong buatan sendiri sebesar satu meter dan pada kedalaman lebih 50 kaki.
Manakala tiga lagi berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas yang dikejarkan ke tempat kejadian, selepas menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung.
Sementara itu, Jurutera JKR Daerah Lawas Norman Jan yang ditemui turut mengesahkan bahawa masih terdapat banyak kandungan gas beracun dalam terowong yang tidak mempunyai sistem pengaliran udara yang tidak baik.
Beliau juga bersetuju agar lubang terowong sedalam 50 kaki dan beberapa puluh kaki lagi dibina secara mendatar ditutup demi keselamatan.
Berikutan insiden tersebut, beberapa rakan dan saudara-mara mangsa yang terkorban mula mencari seorang lelaki yang didakwa sebagai bomoh yang mentafsir mimpi salah seorang mangsa dengan mendakwa ada banyak emas tertanam di bawah bukit berkenaan.
Namun, bomoh misteri berasal dari Indonesia yang sedang dicari itu masih belum dikenal pasti identitinya dan dipercayai telah melarikan diri.
Lima lelaki malang itu dikatakan mula mengali lubang terowong berkenaan pada Disember lalu dan sering merujuk kepada ‘bomoh’ yang amat mereka percayai itu.