KUCHING: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) kini giat menjalankan penguatkuasaan, kata Pengerusinya Dr Murni Suhaili (gambar) menerusi satu kenyataan, semalam.
Jelas beliau, pihaknya menjalankan rondaan sungai setiap hari dan melaksanakan penguatkuasaan yang ketat di sungai-sungai utama dan terminal penumpang di seluruh negeri untuk mencegah muatan berlebihan selain memastikan peraturan keselamatan dipatuhi.
“Bot penumpang diperiksa bagi memastikan mereka membawa jumlah penumpang yang dibenarkan dan menyediakan peralatan keselamatan yang mencukupi di atas bot sebelum ‘pas pelepasan’ dikeluarkan bagi bot untuk meninggalkan terminal,” katanya.
Murni juga memberitahu, semasa tahun baharu dan permulaan penggal sekolah 2014 serta cuti Tahun Baharu Cina apabila ribuan penumpang memenuhi terminal-terminal utama, tiada laporan muatan berlebihan dilaporkan.
Jelas beliau, insiden kemalangan sungai yang berlaku baru-baru ini adalah melibatkan bot-bot peribadi yang tidak berlesen dan tidak berdaftar.
“Bot-bot ini adalah tidak terikat dengan peraturan LSS berhubung keselamatan dan operasi bot,” katanya.
Menurut Murni, LSS sudah memiliki dasar sejak 1997 yang mewajibkan penumpang untuk memakai jaket keselamatan apabila menaiki bot terbuka.
Namun demikian, katanya, dasar ini hanya meliputi bot-bot berdaftar seperti bot yang beroperasi di Taman Negara Bako dan Mulu selain bot laju yang beroperasi di antara Sibu dan kawasan Muara Rajang.
Berhubung keselamatan bot peribadi, beliau berkata, LSS sudah menjalankan banyak program kesedaran keselamatan di seluruh negeri dengan tumpuan kepada kampung di tepi sungai, rumah panjang, sekolah dan juga sektor kerajaan.
“Risalah keselamatan mengenai panduan keselamatan bagi bot kecil juga diedarkan dengan meluas kepada semua pengusaha bot sungai.
“Malah, LSS sudah berulang kali memberikan nasihat keselamatan kepada semua pengusaha bot berlesen dan berdaftar dan juga tidak berdaftar supaya mematuhi peraturan keselamatan dan mengambil langkah keselamatan setiap masa ketika melayari sungai.
“Ini dilakukan menerusi kenyataan akhbar dan notis sungai ,” katanya.
Justeru, beliau berkata, LSS sekali lagi merayu kepada semua pengusaha bot peribadi yang tidak berdaftar supaya memastikan penumpang yang dibawa oleh mereka memakai jaket keselamatan ketika melayari sungai.
Selain itu, katanya, juragan bot juga dinasihatkan supaya tidak memandang ringan perihal keselamatan kerana mereka bertanggungjawab ke atas nyawa dan keselamatan penumpang.