
RAIKAN BERSAMA: Taib serta isteri memotong kek pada majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran UCA di Sibu, malam kelmarin.
Perubahan Sarawak hanya akan dapat dicapai sekiranya semua lapisan rakyat bersatu padu, kata KM
SIBU: Pendapatan per kapita rakyat di negeri ini akan mencecah RM100,000 atau 25 kali ganda daripada pendapatan per kapita sekarang menjelang tahun 2030, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau membayangkan anggaran itu ekoran pelaksanaan banyak industri berat di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dari Samalaju, Bintulu hingga ke Tanjung Manis.
“Pendapatan per kapita itu lebih baik daripada apa yang saya lakukan sejak memimpin negeri ini pada 1981,” katanya berucap pada majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan Cina Sibu (UCA), Persatuan Tujuh Klan Sarawak dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu di sini, malam kelmarin.
Taib berkata, perubahan itu hanya dapat dicapaikan selagi Sarawak memiliki kerajaan Barisan Nasional yang kuat, rakyat hidup bersatu padu dan kedudukan ekonomi kukuh.
“Tetapi, pembangkang mengambil perkara itu secara mudah. Justeru, saya mahu menyoal dapatkah pembangkang memenuhi keperluan serta tuntutan peluang pekerjaan untuk generasi akan datang?” tegasnya.
Dengan mentransformasikan ekonomi negeri ini daripada berasaskan pertanian kepada perindustrian, beliau yakin SCORE adalah landasan tepat bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat sehingga 2030.
Menurutnya, semasa Sarawak menyambut perayaan jubli emas 50 tahun merdeka dalam Malaysia tahun lalu, beliau mendapati ‘mood’ rakyat negeri ini memang mahu bergerak dan maju.
Sesungguhnya, katanya, SCORE mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat dan tidak harus takut menerima perubahan kerana perubahan itu membawa kemakmuran.
Sehubungan itu, Taib menasihatkan masyarakat Cina supaya jangan membiarkan agenda kurang penting menghalang rakyat menjadikan Sarawak sebuah negeri kaya menjelang 2030.
Beliau berkata, perpaduan masyarakat Cina adalah sangat penting kerana Sarawak bakal memasuki fasa pembangunan ekonomi menerusi proses perindustrian lebih besar menerusi pelaksanaan SCORE.
“Masyarakat Cina perlu mempunyai satu pasukan yang dapat bergandingan dengan kaum lain dalam melangkah ke arah perindustrian dan berharap pemimpinnya dapat menyelesaikan perbezaan mereka menjelang pertengahan tahun ini,” katanya.