
DATANG BERAMAI-RAMAI: Len mempelawa orang ramai untuk memeriahkan SCaT Fair 2014 pada 15 dan 16 Mac 2014 semasa sidang media di Kuching, semalam. Turut kelihatan Awangku Merali, Zaid dan Mohd Fikri. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
KUCHING: Seramai 35,000 pengunjung dari sekitar Kuching, Samarahan, Serian dan Sri Aman dijangka hadir memeriahkan Karnival Latihan dan Kerjaya Teknikal 2014 (SCaT Fair 2014) pada 15 dan 16 Mac ini.
Diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), karnival dua hari yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Menteri Muda Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata, karnival itu merupakan anjuran Unit Pembangunan Tenaga Kerja, Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) dan Yayasan Sarawak.
“SCaT Fair 2014 bakal menampilkan 220 gerai pameran yang terdiri daripada 130 institusi latihan kemahiran, 70 syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan, 10 agensi yang menyediakan bantuan atau pinjaman pendidikan dan 10 agensi kerajaan berkaitan dengan pembangunan belia, keusahawanan dan kebolehpasaran graduat yang sedang mencari pekerjaan.
“Kebetulan keputusan peperiksaan SijilTinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan pada masa yang terdekat dengan tarikh karnival, diharapkan mereka boleh mendapatkan maklumat yang berguna dalam membuat keputusan tentang halatuju pendidikan dan kerjaya mereka pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media SCaT 2014 di Wisma Sumber Alam di sini, semalam.
Beliau yang juga Menteri Muda Alam Sekitar dan Pengerusi TEGAS dan SCaT Fair 2014 memberitahu, SCaT Fair 2013 mencapai objektifnya apabila berjaya menarik seramai 20,000 pengunjung tahun lalu.
Oleh demikian, pada tahun ini penganjur sekali lagi menjemput pelbagai jenis industri untuk mengambil bahagian bagi memenuhi keperluan pengunjung yang datang pada karnival itu nanti.
“Antaranya ialah industri penerbangan, pembaikan kapal terbang, perbankan, perkilangan, minyak dan gas, hospitaliti, pembinaan, kejuruteraan, maritim, perladangan, pembalakan, industri berat dan automatif.
“Selain itu, turut dijemput agensi yang menyediakan bantuan pendidikan seperti Yayasan Sarawak, PTPTN, MARA, SHELL, PETRONAS, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Yayasan PENERAJU,” jelasnya.
Tambahnya, penganjur turut menjemput Yayasan Jeffrey Cheah yang menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar Cina untuk mengambil bahagian dalam bidang akauntan di Kolej Sunway Kuching.
Dalam pada itu, jelasnya, dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran para graduat tempatan, Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Talent- Corp turut hadir memberikan maklumat tentang skim latihan dan internship yang mereka buat di syarikat-syarikat besar.
“Bukan itu sahaja, Talent- Corp juga akan mengadakan sesi bersama para graduat supaya mereka sentiasa berkeyakinan tinggi ketika menghadapi temu duga, menghasilkan resume yang berkesan selain menerangkan cara mereka meningkatkan imej diri seperti yang diperlukan oleh industri tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.
Jelas Len lagi, turut mengambil bahagian dalam karnival tahun ini ialah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).
“Kedua-dua agensi ini pastinya dapat menarik minat golongan muda dalam kalangan Bumiputera dalam bidang keusahawanan.
“TERAJU akan membawa Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) kepada usahawan muda di negeri ini, yang mana ia merupakan skim dengan dana sebanyak RM100 juta dilancarkan oleh Perdana Menteri barubaru ini,” tambahnya.
Selain itu, jelasnya, Angkatan Zaman Mangsang (AZAM) juga akan mengadakan sesi kepimpinan dalam kalangan belia melalui komunikasi yang berkesan.
“Persefahaman dan perpaduan yang berpanjangan di negeri ini diharap dapat dicapai sekiranya golongan muda sentiasa berkomunikasi secara santun, beradab dan ikhlas antara satu sama lain.
“Oleh itu, saya berharap agar setiap lapisan masyarakat dapat meluangkan masa untuk mengunjungi SCaT Fair 2014 ini kerana apa yang disediakan penganjur akan dapat membantu hala tuju pendidikan dan kerjaya masa depan generasi muda,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghadiri SCaT Fair 2014 boleh menaiki pengangkutan percuma ke BCCK di empat lokasi iaitu E-Mart, Plaza Merdeka, perhentian bas Jalan Kulas dan Spring Mall.
Turut hadir ialah Ketua Penyelaras TEGAS serta Setiausaha SCaT Fair 2014 Awangku Merali Pengiran Mohamed, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Zaid Mat San dan Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak Mohd Fikri Mohamad.