SRI AMAN: Menteri Muda Permodenan Pertanian Datuk Mong Dagang mengingatkan kaum Iban di rumah panjang agar jangan mudah diperbodoh oleh kumpulan tertentu dengan memainkan pelbagai isu yang boleh meracuni pemikiran mereka.
Menurutnya, golongan ini melemparkan pelbagai isu sambil memburukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) demi kepentingan mereka dan bukan membantu meningkatkan ekonomi rakyat.
Mong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata, sekiranya kaum Iban di rumah panjang mudah terpengaruh dengan pujuk rayu dan janji manis supaya membantah rancangan pembangunan kerajaan BN yang ikhlas memajukan rakyat maka yang rugi adalah rakyat sendiri.
“Jadi yang rugi adalah kalian semua yang tinggal di rumah panjang di kawasan pedalaman disebabkan mudah terpengaruh dengan kata-kata golongan yang tidak bertanggungjawab,” katanya pada Majlis Kesyukuran Anugerah Pingat Bintang Bentara Sarawak (BBS) Tuai Rumah Gloria, Entulang Dana di kediamannya, di sini kelmarin.
Turut hadir Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Walikota Majlis Daerah Sri Aman Richard Tawan, Pegawai Penerangan JASA Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi dan ketua-ketua masyarakat di sini.
Selain itu, Mong selaku Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) mengajak anak-anak muda yang tinggal di luar bandar agar menyertai PRS yang memperjuangkan nasib dan membela kaum Dayak di negeri ini.
“Saya mengajak golongan muda yang belum menyertai mana-mana parti agar bersama-sama berjuang dengan kami dalam PRS untuk membela nasib kaum Dayak terutama Iban yang tinggal di luar bandar,” katanya.