Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

KKWPK belanja lebih RM12 juta bantu golongan kurang bernasib baik

$
0
0

MIRI: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKWPK) membelanjakan lebih RM12 juta setiap tahun bagi membantu golongan kurang bernasib baik di negeri ini termasuk warga emas, kanak-kanak, pekerja cacat, penyakit kronik dan orang kurang upaya (OKU).

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata bantuan itu disalurkan kepada penerima dalam bentuk elaun bulanan bertujuan mengurangkan beban dan membantu penerima membeli keperluan harian.

“Selain pemberian elaun bulanan kepada penerima yang layak, kami juga sentiasa memastikan kebajikan golongan yang tiada perlindungan, sedang menjalani pemulihan dan pengemis sentiasa terjaga dan dapat menikmati hidup berkualiti,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari ‘Gift of Love’ bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhamad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah sempena Tahun Baharu Cina di sini semalam.

Seramai 160 penerima daripada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Miri, Pusat Sunflower Miri, Persatuan Bulan Sabit Merah Miri, Persatuan Austistik Miri, Pertubuhan Kanser Kanak-kanak Sarawak dan Miri Home For The Aged menerima angpau dan beg berisi makanan yang disampaikan oleh Tun Salahuddin dan Toh Puan Norkiah.

Justeru, Fatimah menggesa lebih banyak sektor swasta, badan korporat dan individu tampil bersama-sama membantu golongan memerlukan dan kurang bernasib untuk mendapat kehidupan lebih baik.

“Kementerian bukan hanya memberi elaun atau bantuan pada masa tertentu, tetapi kita mahu mereka yang tinggal di institusi kebajikan seluruh negeri ini turut menikmati kehidupan lebih baik dan berkualiti.

“Sehubungan itu, saya berharap sektor swasta, korporat dan individu akan terus membantu menjayakan usaha kita membantu golongan ini,” katanya.

Antara institusi kebajikan di bawah KKWPK ialah Sekolah Tunas Bakti Kuching, Asrama Akhlak Kuching, Sekolah Tunas Bakti, Taman Sri Putri, Rumah Kanak-kanak Kuching, Rumah Seri Kenangan Kuching, Rumah Seri Kenangan Sibu, Sekolah Tunas Bakti Miri, Taman Sri Putri dan Pusat Pemulihan Pengemis Sibu.

Dalam pada itu, Fatimah memuji penglibatan Hotel Mega dalam mengadakan Majlis ‘Gift of Love’ sejak dua tahun lalu bagi membantu kanak-kanak dan warga emas yang kurang bernaib baik di sini sempena Tahun Baharu Cina.

“Kita mengucapkan tahniah kepada Hotel Mega atas tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap golongan memerlukan di sini.

“Ini merupakan perkara mulia yang perlu dicontohi oleh mana-mana badan korporat lain,” katanya.

Terdahulu, Pengurus Komunikasi Hotel Mega Jenny Chen berkata ia mula diadakan pada 2012 dengan kerjasama Astana Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, bagaimanapun tahun ini diadakan oleh Hotel Mega sendiri.

“Ini merupakan julung kali pihak hotel berdiri di atas kaki sendiri menganjurkan Majlis ‘Gift of Love’ sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.

“Lazimnya setiap tahun kami berkunjung ke rumah-rumah kebajikan terpilih untuk meraikan perayaan namun tahun ini kami bawa kelainan dan mereka diraikan di hotel,” katanya.

Jenny menambah, Hotel Mega yang beroperasi sejak 1994 amat menitikberatkan kebajikan dari warga kerja sendiri hingga kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa.

Turut hadir Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis, Pegawai Daerah Miri Boniface Intang Apat, Pengerusi Syarikat Berkumpulan Soon Hup Datuk Ting Ong Hua, Penasihat Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Datuk Ursula Goh dan Pengurus Besar Hotel Mega Douglas Low.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>