
TERIMA KASIH: Lau (tiga kiri) menyampaikan tanda penghargaan kepada salah seorang penaja Hari Keluarga SKF 2015. Turut kelihatan ialah Hii (kanan), Dr Ngian (kiri) serta yang lain.
SIBU: Yayasan Buah Pinggang Sibu (SKF) telah menubuhkan Unit Kesedaran Buah Pinggang yang berobjektif memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang.
Pengerusinya, Temenggung Dato Vincent Lau berkata, penubuhan unit itu membantu SKF memberi perkhidmatan lebih berkesan kepada SKF sebagai sebuah pusat dialisis buah pinggang terbaik dan bermanfaat kepada semua.
“Diharap penubuhan Unit Kesedaran Buah Pinggang dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai di kawasan wilayah tengah untuk lebih mengutamakan kesihatan buah pinggang,” jelasnya.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1993, Lau berkata SKF telah berjaya mencapai visi dan misi penubuhannya berkat sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk keluarga pesakit, doktor sukarelawan, kakitangan SKF, lembaga pemegang amanah dan jawatankuasa kerja SKF serta orang ramai.
“SKF sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan dan kemudahan sebagai pusat dialisis terbaik kepada para pesakit buah pinggang. Ini dapat dilihat menerusi penggunaan mesin dialisis teknologi terkini telah diperkenalkan di SKF,” ujarnya ketika merasmikan sambutan Hari Keluarga SKF di Taman Tasik Permai, semalam.
Lau berkata, sambutan Hari Keluarga menjadi acara tahunan yang bertujuan untuk meraikan kepentingan keluarga dan kesihatan dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seperti acara sukaneka, sukan dan permainan serta aktiviti tarian dan karaoke.
“Aktiviti Hari Keluarga juga mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara keluarga pesakit, warga kakitangan SKF dan jawatankuasa SKF dan mewujudkan suasana kasih sayang dalam masyarakat,” katanya.
Hadir sama ialah Residen Sibu Hii Chang Kee, Lembaga Pemegang Amanah SKF merangkap Pengarah Hospital Sibu Dr Ngian Hie Ung, Pengurus SKF Ivy Lau, Kapitan Dato Janet Lau dan penaja Cindy Lau dan Tiong Hea Kwong.