Pemandu kenderaan berat harus beri keutamaan kenderaan kecil memotong
MIRI: Pemandu kenderaan berat harus mengamalkan budaya memandu yang selamat dengan memberi keutamaan kepada kenderaan kecil untuk memotong jika tiada kenderaan di hadapan.
Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, hanya sebahagian kecil sahaja pemandu kenderaan berat yang benar-benar bekerjasama dengan kenderaan kecil di atas jalan raya.
“Hanya sedikit sahaja pemandu kenderaan berat yang memberi isyarat untuk memotong kepada kenderaan kecil di belakang apabila tiada kenderaan di hadapan.
“Kita mahu amalan memandu secara selamat ini dipupuk dalam diri pemandu kenderaan berat bagi memastikan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain terjamin,” katanya pada Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Krismas semalam.
Beliau memberitahu, kebanyakan pemandu kenderaan berat memandu dengan laju tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain terutama kereta dan penunggang motosikal.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap pengurangan jumlah kemalangan pada musim perayaan. Namun, ia tidak akan tercapai tanpa kerjasama semua pihak,” jelasnya.
Lee turut melahirkan keyakinan bahawa jumlah kemalangan dapat dikurangkan setiap tahun sekiranya pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas.
Beliau memberitahu, statistik kemalangan di Miri telah menunjukkan penurunan yang ketara selepas beberapa siri kempen keselamatan jalan raya diadakan setiap kali musim perayaan.
“Dalam tempoh 12 Disember hingga 22 Disember 2013, jumlah kemalangan parah telah menurun kepada hanya tujuh kes dengan penurunan sebanyak 61.11 peratus berbanding 18 kes dalam tempoh sama pada 2012.
“Bagi kemalangan yang melibatkan kematian pula, ia telah menurun sebanyak 40.30 peratus iaitu 67 kes kepada 40 kes dalam tempoh yang sama,” katanya.
Lee yang juga Menteri Muda Sukan menegaskan bahawa penurunan statistik berkenaan membuktikan bahawa pengguna jalan raya telah mempunyai kesedaran yang tinggi akan keselamatan di atas jalan raya.
Turut hadir Datuk Bandar Lawrence Lai, Pemangku Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Ketua Polis Miri ACP Mun Kok Keong.
Beliau pada masa sama menasihati pengguna jalan raya yang pulang ke kampung agar mempunyai masa rehat yang mencukupi ketika memandu dalam perjalanan yang jauh.
Kempen terbabit anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).