BETONG: Pemandu dan kelindan sebuah treler panjang nyaris maut apabila kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan di atas jambatan Sungai Jaloh, Jalan Bebanggai/Dabok di sini kelmarin.
Menurut saksi, treler sebuah syarikat yang dipandu pekerjanya dalam perjalanan mengambil jengkaut di sebuah kawasan pembinaan yang diusahakan syarikat terbabit apabila terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Ketika menuruni kawasan bukit di sini, pemandu treler terbabit tidak dapat mengawal kenderaannya lalu berpusing di atas jambatan tersebut.
“Nasib baik penghadang jambatan tersebut kukuh, kalau tidak memang mereka jatuh ke dalam sungai,” kata saksi tersebut yang kebetulan berada di situ.
Katanya, treler tersebut melintang di tengah jambatan dan mengalami kerosakan teruk dan bahagian kepala kenderaan terperosok pada penghadang jambatan.
Menurut beliau, pemandu treler tersebut memberitahu bahawa kenderaan yang dipandunya mengalami gangguan brek dan tidak berfungsi dengan baik semasa menuruni bukit tersebut menyebabkan hilang kawalan.
Akibat kemalangan tersebut, pemandu treler mengalami luka di kepala kerana terhantuk pada kenderaannya manakala kelindannya sakit di bahagian pinggang disebabkan hentakan kuat semasa kemalangan tersebut.
“Apapun mereka bernasib baik kerana tidak terjatuh ke dalam sungai atau cedera parah.
“Hanya kenderaan yang rosak. Kalaulah berlaku di kawasan yang tiada penghadang atau kebetulan ada pengguna lain di jalan tersebut pasti berlaku kecederaan yang mungkin boleh menyebabkan kematian,” tambah saksi tersebut.