Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

PDRM Miri melancarkan Ops Selamat, 18 Dis hingga 1 Jan

$
0
0

MIRI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Miri telah melancarkan Ops Selamat bermula 18 Disember hingga 1 Januari depan dengan penambahan beberapa modul operasi keselamatan khas.

Ketua Polis Miri ACP Mun Kok Keong berkata, berbanding Operasi lalu, pihaknya kini turut memberi fokus terhadap keselamatan penumpang bot ekspres.

“Kami akan memantau bot ekspres dari Kuala Baram ke Marudi bagi memastikan kejadian bot ekspres karam di Kapit lalu tidak berulang selain memastikan bot ekspres tidak melebihi muatan,” katanya ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Krismas semalam.

Mun memberitahu, selain memastikan statistik kemalangan jalan raya dikurangkan sebanyak lima peratus dalam Ops Selamat, polis turut memastikan keselamatan penumpang bot ekspres turut diambil kira.

“Operasi kali ini berlainan kerana kami juga ingin memastikan setiap bot ekspres mengambil penumpang dengan muatan yang ditetapkan dan kami sentiasa memantau bot-bot ekspres ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Mun berkata jalan lurus adalah penyumbang utama kemalangan maut diikuti jalan selekoh dan jalan simpang T.

Meskipun begitu, ia menunjukkan penurunan yang ketara iaitu hanya 24 kes sahaja dilaporkan berlaku di jalan lurus pada 2013 berbanding 35 kes pada 2012.

“Kami berharap pengguna jalan raya tidak memandu laju di jalan yang lurus kerana ia adalah penyumbang utama kemalangan maut mengikut bentuk jalan,” jelasnya.

Bagi kemalangan maut mengikut lokasi pula, beliau memberitahu Jalan Bintulu-Miri/Niah/Bekenu telah dilabel kawasan kerap kemalangan maut.

Ia diikuti Jalan Pesisiran Pantai Miri-Bintulu, Jalan Kuala Baram Bypass, Jalan Pusat Bandar Miri dan Jalan Niah Sepupuk.

“Bagi kemalangan jalan raya mengikut jenis jalan, Jalan Persekutuan telah menunjukkan penurunan tetapi bagi Jalan Bandaran, ia telah meningkat sebanyak 12.19 peratus,” ujarnya.

Mun menjelaskan, bagi statistik jenis kenderaan terlibat kemalangan jalan raya pula, kenderaan jenis pacuan empat roda telah menunjukkan peningkatan ketara berbanding motokar.

“Berbanding tahun lalu, hanya 876 kenderaan pacuan empat roda dilaporkan terlibat kemalangan namun ia telah meningkat kepada 1,119 kes iaitu meningkat 27.74 peratus berbanding kemalangan motokar yang menunjukan penurunan,” ujarnya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>