
BERI PENJELASAN: Lo (kiri) memberi penerangan kepada pemberita sambil menunjukkan surat aduan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Chong Chieng Jen mengenai isu kesesakan lalu lintas di Kota Sentosa.
Chong patut bermesyuarat dengan MPP selesai masalah bukan tuduh sembarangan: Lo
KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bersedia berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Chong Chieng Jen bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata, Chong sepatutnya menggunakan medium seperti bermesyuarat bagi menyelesaikan masalah itu dan bukannya membuat tuduhan secara sembarangan untuk kepentingan politik dan peribadi.
Menurutnya, sekiranya Chong mempunyai idea yang bernas untuk menyelesaikan masalah itu, MPP bersedia untuk mendengar dan mengguna pakainya untuk manfaat masyarakat.
“Selepas cuti perayaan, saya menjemput YB Chong untuk duduk berbincang bersama kami.
“Sekiranya beliau mempunyai idea yang bernas, kami bersedia untuk mendengarnya,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Chong dalam beberapa akhbar berhubung kurang tindakan diambil MPP mengenai masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku di Jalan Liu Shan Bang berhampiran Kota Sentosa.
Lo mendedahkan, masalah kesesakan yang berlaku di jalan terbabit disebabkan orang ramai meletakkan kenderaan secara sembarangan sekali gus mengganggu aliran trafik.
“Macam mana jalan ini tidak sesak kalau orang ramai meletak kenderaan sesuka hati,” ujarnya.
Untuk mengatasi masalah ini menurutnya lagi, permohonan akan dihantar kepada polis agar penguatkuasaan dapat dijalankan di kawasan terbabit.
“Kami (MPP) akan hantar surat kepada polis untuk memohon penempatan anggota di kawasan ini agar penguatkuasaan dapat diambil terutama melibatkan orang ramai yang meletak kenderaan secara sembarangan,” jelasnya.
Mengenai isu pembesaran Jalan Kuching-Serian antara Batu 6 dan Batu 7, Lo berkata, ia di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihaknya tidak mempunyai dana untuk membesarkan jalan itu.
“Sepatutnya YB Chong mengetengahkan isu ini di Parlimen kerana ia di bawah kerajaan persekutuan,” kata Lo.