
TAHNIAH: Abdul Wahap menyampaikan Anugerah SahabatKU 2013 kepada beberapa penerima pada Majlis Hi-Tea SahabatKU.
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) semalam mengadakan Majlis Hi-Tea SahabatKU bagi meraikan sukarelawan yang sentiasa komited dalam mengekalkan jalinan bestari bersama pihaknya sepanjang tahun ini.
Diadakan di Little Lebanon, Bangunan Mahkamah Lama di sini, majlis dihadiri oleh Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai bersama wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta serta NGO.
Sempena majlis itu, DBKU turut menyampaikan Anugerah SahabatKU 2013 kepada lapan pemenang yang disempurnakan oleh Abdul Wahap.
Para penerima anugerah tersebut ialah Marlinda Marzuki daripada Utusan Sarawak (Kategori Media Cetak), Jamayah Sulaiman (Kategori Orang Perseorangan), Sazali Fadzil (Kategori Penjaja), Jabatan Kesihatan Sarawak (Kategori Jabatan Kerajaan), SMK Tun Ahmad Zaidi Adruce (Kategori Sekolah Menengah), SJK Chung Hua No.1 (Kategori Sekolah Rendah), Persatuan Pink Ribbon (Kategori NGO) dan Taman Westwood (Kategori Perumahan/ Kampung).
Sehubungan itu, Abdul Wahap amat mengalu-alukan penglibatan semua warga kota dalam pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan yang diadakan DBKU.
“Dengan adanya penglibatan warga kota dan pihak berkaitan maka ia adalah kejayaan kepada kami secara tidak langsung dalam melibatkan komuniti dalam aktiviti serta program kemasyarakatan yang kami rancang dan jayakan,” katanya.
Justeru, beliau berharap tahun depan akan ada lebih ramai lagi sukarelawan termasuk agensi kerajaan dan swasta serta NGO tampil memberi kerjasama kepada DBKU dalam menjalankan program yang dirancang.
Program SahabatKU merupakan satu usaha yang dapat membantu DBKU menangani masalah gejala sosial yang semakin meningkat di kawasan pentadbirannya.
Program berkenaan menggabungkan elemen kebudayaan, komuniti dan pendidikan yang disusun bagi menyemarakkan semangat kejiranan penduduk kampung dan hidup saling tolong-menolong.