Terkenal dengan keberaniannya melawan 15 komunis di Jalan Sebuku-Tondong, Bau pada 15 April 1972
BAU: “Pimpin persatuan semampu mungkin.” Itulah nasihat terakhir mendiang Paul Nyopis Noyeat, kepada Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Tasik Biru Jossem Daweg sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi Ahad lepas.
Menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat Bumi Kenyalang khususnya masyarakat Bidayuh, Jossem berkata tiada lagi penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) daripada kaum ini yang masih hidup selepas mendiang.
Sebagai penghormatan kepada mendiang, upacara pengebumian penuh adat istiadat ketenteraan diadakan oleh Markas 1 Divisyen dengan diwakili oleh Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang semalam, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Ranum Mina, Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak Datuk Peter Minos dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sarawak Spencer Birai.
Dalam pada itu suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian semalam apabila Nazir menyerahkan bendera penghormatan kepada balu mendiang, Kimen Lambek di samping ahli keluarganya.
Mendiang Nyopis me-ninggal pada usia 71 tahun di Hospital Daerah Bau selepas dua bulan menderita akibat angin ahmar (strok). Nyopis bersara selepas berkhidmat selama 21 tahun dalam pasukan Rejimen Renjer Diraja.
Ketika perkhidmatannya, Nyopis terkenal dengan ke-beraniannya secara bersen-dirian melawan 15 pengganas komunis daripada Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) di Jalan Sebuku-Tondong, Bau pada 15 April 1972.
Nyopis ketika itu ditugaskan untuk mengiringi se-kumpulan anggota pasukan keselamatan yang bergerak dari Kuching ke Bau dengan kenderaan.
Semasa di Tondong, Bau, kumpulannya telah diserang hendap oleh sekumpulan musuh dan tanpa menghiraukan keselamatan dirinya, Nyopis melakukan serangan balas terhadap kedudukan musuh dan berjaya mengundurkan mereka. Tiga musuh berjaya dibunuh dalam serangan itu.
Sekitar 400 orang menghadiri ucapara sembahyang mayat mendiang di Gereja St Mathias Kampung Rumih di sini semalam disusuli dengan upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Kristian Kampung Rumih.