Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Bekerjasama budayakan sukan dalam masyarakat

$
0
0

JBS bersedia berganding bahu dengan NGO untuk galakkan masyarakat terlibat dalam sukan

KUCHING: Jabatan Belia dan Sukan (JBS) sedia berganding bahu dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat.

Pengarahnya Abdul Haris Ishak berkata, setakat ini bilangan masyarakat yang terlibat dengan aktiviti sukan masih kurang termasuk di kalangan belia.

Sehubungan itu katanya, penglibatan aktif masyarakat dalam sukan adalah penting agar mutu sukan negeri dan negara akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Dahulu kita mempunyai ramai jaguh sukan termasuk dari Sarawak.

“Namun sekarang atlet pelapis tidak berkembang dan gagal meneruskan kegemilangan yang dicapai.

“Jadi kita semua sepatutnya bertanggungjawab untuk memberi pendedahan kepada setiap lapisan masyarakat termasuk anak kecil agar mereka didedahkan dengan sukan pada peringkat lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Sukan Untuk Semua Negeri Sarawak 2013 di sini, semalam.

Tambahnya, Kementerian Belia dan Sukan turut menetapkan sasaran 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan aktiviti sukan dan kecergasan menjelang 2020.

“Untuk merealisasikan hasrat ini semua pihak perlu berganding bahu dengan JBS agar lebih banyak program dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Haris berkata walaupun Sarawak gagal menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) selepas menjuarainya pada 1994, pelbagai usaha perlu digembleng agar negeri ini kembali gah di persada sukan negara dan antarabangsa.

“Kita (Sarawak) tidak lagi boleh ketinggalan. Perlu ada usaha untuk kita menjuarai SUKMA pada 2016 yang berlangsung di negeri ini,” jelasnya.

Konvensyen itu membincangkan dua tajuk merangkumi ‘Kepentingan Bersukan Dalam Pembentukan Bangsa Cemerlang’ dan ‘Peranan Kita Ke Arah Kecemerlangan SUKMA Negeri Sarawak 2016’.

Hadir sama Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kuching Syed Zyed Wan Asnawi dan dua penceramah Awang Mohd Najib Awang Chik dan Gordon Nicolaus.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>