
DIKAWAL HARGA: Pengurus Stor New World Mart Lau Soon Heng (kiri) menerangkan kepada Mohamad akan harga bagi setiap gred telur ayam yang diletakkan di rak berbeza sejurus selesainya sesi pelancaran SKHMP Perayaan Krismas, pagi semalam.
Salur maklumat penipuan kuantiti barang, peniaga jual barang terkawal lebih mahal daripada ditetapkan
BINTULU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Bintulu akan mengerahkan 300 ahli Skuad Konsumer di bahagian ini bagi menjadi mata dan telinga kepada pejabat berkenaan sepanjang lima hari Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Krismas 2013 nanti, kata Ketuanya Mohamad Drahman.
Jelasnya, 300 ahli terbabit terdiri daripada orang awam yang tinggal di sini yang mana akan membantu melakukan pemantauan serta menyalurkan sebarang maklumat berguna terutama berkaitan penipuan kuantiti barang serta aktiviti peniaga yang menjual barang harga terkawal lebih mahal daripada harga ditetapkan.
“Kewujudan Skuad Konsumer akan memudahkan lagi tugas PPDNKK dalam menyiasat serta mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana peniaga yang dengan sewenang-wenangnya menjual harga barangan terutama harga barangan terkawal dengan harga yang melebihi daripada yang ditetapkan oleh kementerian,” ujarnya ketika ditemui sejurus melancarkan SKHMP Perayaan Krismas 2013 Peringkat Bahagian Bintulu di New World Mart di Parkcity Mall di sini pagi semalam.
Jelasnya, amanah yang dipertanggungjawabkan buat orang awam ini ialah bagi memastikan lebih banyak maklumat berguna diperoleh di setiap tempat di bahagian ini sekiranya berlaku kegiatan peniaga menjual barangan pada harga yang tidak munasabah.
“Pada masa sama, ia membantu mengenal pasti premis niaga atau kedai runcit yang membuat catuan barangan terkawal serta kesalahan lain yang berkaitan pengguna bagi memastikan mereka membeli setiap barangan dengan kadar harga berpatutan,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut menggalakkan golongan muda di bahagian ini khsususnya yang berumur 18 tahun ke atas mendaftar menjadi ahli Skuad Konsumer yang mana pendaftaran secara percuma boleh dibuat di pejabat PPDNKK di sini atau akses ke laman sesawang kementerian terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Terdahulu, PPDNKK Cawangan Bintulu dengan kerjasama pusat beli-belah terkemuka New World Mart telah melancarkan 13 barangan harga terkawal sempena Krismas selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember ini.
Bagi harga di peringkat runcit, harga ditetapkan bagi ayam hidup sekilogram ialah RM6.70, ayam standard (1kg-RM8.50), ayam super (1kg-RM9.50), ayam Belanda import (1kg-RM32), daging kambing tempatan bertulang (1kg-RM32), daging kambing biri-biri import bertulang (1kg-RM21), daging paha kambing biri-biri import bertulang (1kg-RM38), telur ayam gred A (RM0.36 sebiji), telur ayam gred B (RM0.35 sebiji), telur ayam gred C (RM0.34 sebiji), tomato (1kg-RM6) dan lada benggala hijau (1kg-RM13).
Beliau dalam pada itu menasihati peniaga agar menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Seboleh-bolehnya, setiap peniaga hendaklah meletakkan tanda harga merah jambu di atas barang harga terkawal supaya orang ramai mengetahui yang ia adalah barang terkawal yang telah ditetapkan harga serta tidak boleh dijual dengan harga yang tinggi daripada yang sepatutnya,” ujarnya.
Mohamad dalam pada itu memberi jaminan bahawa bekalan barangan terkawal terutama gula, minyak masak dan tepung gandum adalah mencukupi bagi menampung keperluan masyarakat di Bintulu khususnya umat Kristian yang bakal merayakan Hari Krismas pada hari Rabu ini.
Bagi mana-mana peniaga yang didapati bersalah iaitu dengan sengaja menaikkan harga barang terkawal daripada harga ditetapkan boleh dikenakan denda di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan kesalahan perseorangan (kesalahan pertama) boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi 25 tahun atau kedua-duanya.
Bagi syarikat pula kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Untuk sebarang pertanyaan atau aduan boleh menghubungi PPDNKK Cawangan Bintulu di talian 086-332176/hotline: 1 800 886 800 atau melayari laman sesawang kementerian berkenaan di http://www.kpdnkk.gov.my.