PAKAN: Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Ulu Julau, Ulu Entabai dan Ulu Entaih di sini akan dibangunkan secara besar-besaran.
Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum berkata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 10,000 hektar tanah NCR di ketiga-tiga kawasan tersebut akan dibangunkan untuk ladang kelapa sawit secara komersial.
“Justeru, tuai-tuai rumah serta para pemimpin masyarakat di Ulu Julau, Ulu Entabai dan Ulu Entaih harus duduk bersama-sama untuk membincangkan mengenai pembangunan tersebut yang bakal membawa perubahan dalam taraf hidup masyarakat setempat,” katanya ketika berucap semasa ‘Ngabang’ Upacara Gawai Antu di Rumah Jally Paing, Nanga Segera di sini dan Rumah Jelian di Julau dekat sini, Jumaat lepas.
“Ketua Menteri telah memaklumkan kepada saya mengenai pembangunan ini sewaktu mengunjungi Rumah Jally kira-kira dua tahun lalu.
“Beliau berkata dengan pembangunan berskala besar ia akan memajukan lagi proses pembangunan di sini selain menjana peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat setempat,” jelasnya.
Salang yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Sarawak 1Malaysia (1MSAC) berkata, beliau bersedia menghadiri mana-mana perbincangan itu yang perlu dianjurkan oleh penduduk setempat, tuai rumah dan ketua masyarakat.
“Jika kita yakin menjalankan tugas secara sendiri, maka kita perlu melakukannya sendiri,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut menasihati para penyokong setia Barisan Nasional (BN) di kawasan itu agar membantu mereka yang menjadi menyokong pembangkang pada Pilihan Raya Umum lalu supaya kembali ke pangkuan BN.
“Kita perlu memujuk mereka untuk menyertai BN demi masa depan mereka sendiri.
“Jika mereka masih marah atau dibiarkan begitu sahaja untuk terus menyokong pembangkang, mereka mungkin tercicir daripada arus perdana pembangunan,” katanya.
Salang juga mengulangi nasihatnya kepada semua tuai rumah sama ada mereka telah dilantik secara rasmi atau masih menunggu surat pelantikan supaya mendekatkan diri dengan pegawai-pegawai kerajaan yang berkaitan untuk mengetahui dasar dan rancangan pembangunan kerajaan.
“Apabila anda sentiasa berhubung, anda akan tahu rancangan dan dasar yang anda boleh pohon untuk membantu anak-anak buah anda terutama dalam bidang pertanian.
“Kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini menumpukan usaha untuk membantu rakyat terutama di kawasan luar bandar.
“Terdapat rancangan dan dasar bagi mereka untuk mencapai standard hidup yang lebih baik,” tambahnya.
Turut menyertai rombongan Salang ialah Residen Bahagian Sarikei Michael Dawi Alli.