LIMBANG: LAKU Ma-nagement Limbang (LAKU) sudah mengenal pasti punca utama berlakunya limpahan air di kawasan jalan berhadapan Bangunan Tamu Limbang iaitu berpunca daripada kebocoran saluran paip bawah tanah.
Pengurus Kawasannya Ha Tung Ngie berkata kebocoran paip sedalam enam kaki itu menyebabkan kawasan jalan berlopak dan digenangi air sehingga menyebabkan jalan berkenaan sukar dilalui.
Jelasnya Majlis Daerah Limbang ada meminta pihaknya mengenal pasti masalah limpahan air di kawasan berkenaan yang berpunca daripada kebo-coran saluran paip.
“Kerja membaik pulih saluran paip bawah tanah yang rosak sudah dilakukan kelmarin bermula jam 8 malam di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini akhbar ini pernah mendedahkan masalah jalan yang rosak, berlubang, ditakungi air dan dikhuatiri boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan yang melalui jalan berkenaan setiap hari.
Masalah jalan rosak sejak lebih sebulan lalu menimbulkan kebimbangan orang ramai untuk melalui jalan berkenaan dan berharap pihak berkenaan dapat menyelenggara jalan berkenaan untuk keselesaan orang ramai.
Difahamkan pihak berkuasa tempatan kerap menyelenggara jalan berkenaan, namun masalah sama masih berlaku apabila keadaan jalan kembali berlubang dan dilimpahi air.
Masalah jalan berlubang dan rosak menyukarkan orang ramai melalui jalan tersebut walaupun ia merupakan laluan utama bagi mereka yang berkunjung ke Bangunan Tamu Limbang setiap hari.
Malahan keadaan kerosakan di jalan tersebut turut menyukarkan kenderaan melalui jalan berkenaan serta parkir di kawasan tersebut.
Dalam pada itu Ha meminta orang ramai agar menyalurkan segera maklumat kepada pihaknya sekiranya berdepan dengan masalah kebocoran air paip.
“Maklumkan segera kepada pihak kami supaya masalah kebocoran air paip tidak menjadi besar,” katanya.