MIRI: Tidak perlu untuk menuduh ketua kaum atau ketua masyarakat hanya kerana termakan hasutan pihak berkepentingan.
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Telang Usan Dominic Nyurang Ajang berkata, para belia tidak harus hilang pertimbangan apabila menyentuh isu projek Empangan Hidroelektrik Baram.
“Janganlah sampai menuduh ketua kaum atau masyarakat dengan pelbagai tohmahan apabila bercakap tentang projek,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Menurutnya, sesuatu isu atau perkara tidak pernah mengajar seseorang untuk mengurangkan rasa hormat kepada orang lebih tua, lebih-lebih lagi pemimpin.
Sebagai Orang Ulu, Dominic memberitahu bahawa setiap suku kaum berkenaan memang dididik dengan memandang tinggi terhadap nilai budaya dan budi pekerti.
“Kawallah emosi, berfikirlah secara rasional apabila berbincang atau bercakap tentangnya (projek empangan), jangan terlalu ikut perasaan,” jelas beliau.
Mengenai hal itu, katanya segalanya boleh dibawa ke meja rundingan dengan cara yang betul dan penuh tatatusila.
Daripada kaca mata seorang belia yang juga bakal terlibat secara langsung dengan kawasan projek pembinaan empangan, beliau memang mengharapkan perubahan dan masa depan lebih baik terutama untuk golongan seangkatannya.
“Sebagai belia, kita harus turut maju seiring dengan pembangunan yang semakin pesat, bukan semakin mundur dengan berfikiran semakin sempit,” ujarnya.
Beliau juga yakin kerajaan tidak mempunyai sebarang niat untuk membuat rakyat terutama mereka yang terlibat dengan projek berkenaan supaya menderita dan hidup susah.
“Ini masanya kita ambil peluang untuk menyumbang dan memajukan serta merubah nasib generasi masa depan,” tambahnya.
Katanya ia dilakukan melalui pelbagai peluang yang tercipta apabila projek pembinaan siap mahupun ketika pembinaan dengan wujudnya peluang pekerjaan, ekonomi dan sebagainya.