Malahan ia akan ditolak jika dibuat dalam keadaan sama di mana sahaja di dunia, kata Taib
KUCHING: Kerajaan terus menolak tuntutan penduduk yang terjejas akibat pembinaan empangan dan seterusnya mengadakan sekatan sebagai bantahan, kerana permintaan pampasan mereka terlalu tinggi dan tidak munasabah.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menegaskan, malahan ia akan ditolak jika dibuat dalam keadaan yang sama di mana sahaja di dunia ini.
“Namun apa yang mereka berjaya lakukan adalah mendapat banyak publisiti bagi penghasut yang mendalangi mereka yang menerima duit tajaan dari luar Sarawak.
“Insiden sekatan yang anda baca dari media, dari semasa ke semasa adalah saluran komunikasi baharu, segelintir rakyat tidak berpuas hati telah diajar atau malah dihasut untuk menyampaikan rungutan mereka kepada golongan relevan dalam kerajaan,” katanya pada ucapan penggulungan Persidangan DUN di sini, semalam.
Taib menjelaskan, beliau percaya majoriti Penan di Empangan Murum mahu berpindah kerana mereka dapat melihat apa yang diperuntukkan kepada mereka bagi program penempatan semula adalah baik, sama ada dalam tempoh segera, terdekat atau jangka panjang.
Beliau memberi jaminan kepada masyarakat yang terlibat secara langsung di Baram dan Balleh bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik kepada mereka.
Ia ujarnya termasuk melalui kerjasama serta perundingan dengan mereka selain bekerjasama dalam merangka pelan penempatan semula yang dapat diterima oleh semua pihak.
Tambahnya lagi, kejayaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bergantung kepada kejayaan penempatan semula komuniti yang terjejas secara langsung.
“Kerajaan amat komited mewujudkan penempatan semula yang berjaya kerana rakyat Sarawak berhutang kepada masyarakat yang terjejas secara langsung termasuk Kayan, Kenyah, Penan dan komuniti Orang Ulu lain serta penduduk asli negeri ini.
“Kita berhutang kepada orang asli bahawa mereka perlu mendapat manfaat daripada program pembangunan yang sedang kita nikmati supaya mereka dapat bersama seiring ke arah masyarakat berpendapatan tinggi,” tegasnya.
Katanya, beliau telah merancang agar kawasan tengah SCORE turut merangkumi pembukaan kawasan pedalaman yang diterajui oleh jalan-jalan baharu melalui kawasan pedalaman ke tapak empangan.
Tambah Taib, semua komuniti terjejas secara langsung akan ditempatkan di penempatan gaya moden yang kerajaan mampu sediakan.
“Paling tidak mereka tidak akan lebih teruk berbanding sekarang atau malah dibiarkan dalam keadaan statik.
“Namun kerajaan cuba untuk memperkenalkan aktiviti ekonomi baharu bagi mewujudkan peluang baharu kepada mereka.
“Bantuan kewangan sementara yang disediakan kepada mereka di skim penempatan semula untuk menampung perbelanjaan sementara projek baharu membuahkan hasil dan pulangan dividen,” kata Taib.