MARUDI: Masyarakat Penan di kawasan Tutoh Apoh, Patah, Akah dan bahagian lain di negeri ini digesa supaya sentiasa mengutamakan perpaduan bukan hanya di kalangan mereka tetapi juga dengan kaum lain bagi membolehkan mereka turut sama menerima nikmat pembangunan daripada kerajaan.
Ini kerana melalui perpaduan maka kaum Penan yang hidup dalam harmoni akan dapat mencapai pembangunan yang lebih pesat dan baik yang disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa timbul pelbagai bantahan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, masyarakat Penan tidak pernah diabai atau ditinggalkan daripada arus pembangunan yang dirancang atau diwujudkan oleh kerajaan BN.
“Justeru saya menyeru masyarakat Penan supaya memberi sokongan kuat dan padu kepada kerajaan BN serta wakil rakyatnya,” ujar Dennis ketika merasmikan Pertandingan Bola Sepak Piala Pusingan Temenggung Datuk Hassan Sui yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Long Kevok di sini, baru-baru ini.
Malah Dennis melahirkan rasa bangganya kepada masyarakat Penan di Tutoh Apoh dan Patah yang telah menunjukkan bukti kuat terhadap semangat perpaduan dan kerjasama mereka, melalui pertandingan bola sepak yang dianjurkan itu.
Pertandingan tersebut disertai sembilan pasukan kaum Penan dari 20 kampung Penan di kawasan Tutoh Apoh dan Patah, Baram Tengah.
Beliau turut memuji sambutan yang amat memberangsangkan itu dan menurut Dennis lagi, masyarakat Penan hari ini sudah lebih maju dan kini mereka mulai berjinak dengan permainan dan sukan.
“Ini menunjukkan bahawa anda, masyarakat Penan kini sudah mengetahui pembangunan yang dibawa oleh kerajaan BN dan turut sama merasainya.
“Pertandingan ini juga untuk merapatkan pergaulan antara kaum itu sendiri dan mengeratkan persaudaraan melalui sukan,” tambahnya.
Sementara itu, piala untuk kejohanan tersebut disumbangkan oleh Temenggung Datuk Hassan Sui, Pegawai Tadbir Zen Rocky dan seorang pensyarah Penan berasal dari Sabah, Rendi Ziki.
Sementara itu, pasukan Long Nen telah menjuarai pertandingan tersebut, sekali gus membawa pulang Piala Pusingan Datuk Hassan Sui selepas menjuarainya sebanyak tiga kali, di samping piala iringan, pingat dan hadiah wang RM700.
Manakala naib johan jatuh kepada pasukan Long Kevok A yang membawa pulang piala, pingat dan wang tunai RM500 sementara pasukan Long Latei di tempat ketiga dan membawa pulang trofi, pingat dan wang tunai RM300.
Sementara itu, Hassan memberitahu bahawa pihaknya akan menganjurkan pertandingan serupa untuk kaum Penan di Kawasan Tinjar, yang akan diadakan di Long Lapok dan seterusnya di kawasan Suai.
Pasukan yang muncul juara daripada ketiga-tiga zon itu kelak akan dipertemukan dan berentap semula untuk menentukan juara antara juara, di mana pertandingan dijangka diadakan di Miri.