SIBU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak perlu tergesa-gesa meminda Akta Fi 1951 supaya kadar denda lebih tinggi dikenakan kepada pemegang MyKad sekiranya berlaku kehilangan dokumen itu.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Chambai Lindong berkata, dengan meminda akta tersebut ia masih belum tentu dapat mengurangkan jumlah kes kehilangan MyKad.
Sebaliknya kerajaan ujar beliau, perlu menggunakan pendekatan yang lebih halus dan diterima semua pihak.
“Saya percaya tidak ada orang yang mahukan MyKad mereka hilang. Ini kerana kehilangan itu sudah merupakan satu ‘denda’.
Tiada MyKad bermakna banyak urusan akan terbatas,” ujarnya ketika ditemui semalam.
Menurut Chambai, denda sebanyak RM100 bagi kehilangan pertama MyKad sudah cukup memadai.
Sementara itu, Ahli Pemuda PRS Dr Ali Puji yang turut diminta mengulas mengenai perkara tersebut turut senada dengan cambai.
Katanya beliau percaya banyak perkara lain yang boleh dilakukan kerajaan dalam menangani kes kehilangan MyKad.
“Lain ceritalah kalau ada yang sengaja menghilangkannya untuk tujuan tertentu dan tindakan undang-undang boleh dikenakan dengan sewajarnya,” jelas beliau.
Ali bagaimanapun memuji kesungguhan kerajaan untuk berbuat sesuatu dalam menyelesaikan masalah kes kehilangan MyKad.
Katanya, ini membuktikan kerajaan tidak akan berdiam diri terhadap masalah yang boleh menggugat keselamatan rakyat.
Kelmarin,ketika melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bahawa langkah pemindaan itu dibuat berikutan lebih 500,000 kes kehilangan MyKad dilaporkan.
Bagaimanapun, jelas beliau kehilangan kali pertama disebabkan faktor kecuaian dan kebakaran mungkin boleh diberi pertimbangan untuk menggantikannya dengan yang baharu.