
SERAH: Gerawat (kanan) menyerahkan dokumen Resolusi Simposium Budaya Orang Ulu 2013 kepada Jabu sambil diperhatikan tetamu lain di Miri semalam.
Sesetengah mereka tidak hadiri beberapa program kerajaan walaupun sudah dimaklumkan
MIRI: Ketua masyarakat dan ketua kampung di kawasan Baram yang sebelum ini enggan bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan projek pembangunan disifatkan seperti parasit yang hanya merosakkan kampung atau kawasan yang diwakili mereka.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata sesetengah mereka ini memboikot rancangan kerajaan dengan tidak menghadiri beberapa program anjuran kerajaan walaupun sudah dimaklumkan terlebih dahulu.
“Saya perhatikan melalui beberapa lawatan kerja dan perbincangan saya di Baram sebelum ini, terdapat ketua masyarakat dan ketua kampung tidak menghadirkan diri untuk bersama-sama berbincang mengenai pembangunan di Baram.
“Bagi saya, jangan terima elaun bulanan sekiranya tidak menjalankan tanggungjawab. Tidakkah golongan ini berasa bersalah kerana masih juga menerima elaun, tetapi enggan bekerjasama dalam program pembangunan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada penutupan Simposium Budaya Orang Ulu Ke-6 anjuran Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak (FORUM) di sini kelmarin.
Sebagai contoh katanya, semasa perbincangan penubuhan Kedaya Telang Usan tujuh tahun lalu di Baram, terdapat ketua masyarakat dan ketua kampung tidak hadir kerana memprotes cadangan itu.
Menurut Jabu, keengganan mereka bekerjasama hanya merugikan anak-anak buah kerana ketinggalan dalam pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan.
Beliau memberitahu, masyarakat Orang Ulu memainkan peranan penting untuk menyokong segala usaha kerajaan melaksanakan transformasi pembangunan di kawasan luar bandar seperti di Hulu Baram, Belaga, Limbang, Lawas dan Bintulu.
“Saya nasihatkan masyarakat Orang Ulu menerusi Simposium Budaya Orang Ulu pada tahun ini agar mereka sedar bahawa jika berlaku perpecahan antara komponen masyarakat Orang Ulu, mereka akan rugi dan ketinggalan daripada arus pembangunan,” ujarnya.
Jabu menegaskan, sekiranya Orang Ulu memilih politik demonstrasi atau politik jalanan mereka akan miskin sehingga tahun 2020 dan selama-lamanya.
“Orang Ulu harus menimba pengalaman daripada orang yang berjaya untuk berjaya dalam hidup, bukannya daripada pihak yang gemar membuat demonstrasi di jalanan,” jelasnya.
Beliau turut berasa bangga melihat FORUM yang mengambil langkah positif mengembleng tenaga dan memberi keutamaan terhadap pelajaran anak-anak Orang Ulu.
Mengenai resolusi FORUM, Jabu berkata kerajaan komited membangunkan kawasan luar bandar dan beliau berjanji tidak akan membiarkan kepentingan mereka terabai.
Terdahulu, Presiden FORUM Gerawat Gala berkata sebanyak 17 resolusi berjaya dicapai menerusi simposium yang diadakan selama dua hari bermula Sabtu lalu.
Antara resolusi berkenaan ialah meningkatkan kualiti pendidikan Orang Ulu dan menambah baik fasiliti dan meningkatkan kemudahan sekolah di kawasan luar bandar yang pada masa ini masih memerlukan banyak peningkatan.
Hadir sama isteri Jabu Senator Dato Sri Empiang Jabu, Senator Lihan Jok, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang.