Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Aaron, Snowdan akan diberi jawatan lantikan dalam MT PRS

$
0
0

KUCHING: Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang dan ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan akan diberi jawatan lantikan dalam Majlis Tertinggi Parti (MT) Rakyat Sarawak (PRS) meskipun kalah dalam pemilihan parti pada Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) pada Jumaat lepas.

Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, ini akan dilakukan sejajar dengan amalan parti iaitu membabitkan wakil-wakil rakyat dalam proses membuat keputusan.

“Adalah amalan PRS untuk membabitkan wakil rakyat dalam Majlis Tertinggi kerana mereka mewakili sebahagian besar daripada penyokong BN di peringkat akar umbi.

“Kami akan melibatkan mereka bagi proses membuat keputusan dalam PRS,” katanya yang dihubungi semalam.

Aaron gagal dalam cubaan beliau untuk menjadi salah seorang daripada lima naib presiden PRS yang dipilih.

Seorang lagi ‘orang kuat’ yang tidak mendapat undi mencukupi ialah bekas Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo, yang bertanding mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden.

Lima yang berjaya menjadikan diri mereka dipilih ialah ADUN Bukit Bengunan dan juga bekas Ketua Pemuda Parti Datuk Mong Dagang, Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum, ADUN Kakus Datuk Joseph Mauh Ikeh, Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak dan ahli perniagaan Majang Renggie.

Bagi Snowdan, beliau gagal dalam usahanya untuk dipilih dalam kalangan 15 ahli biasa MT parti di mana pada TDC sebelum ini, beliau juga pernah gagal dalam cubaan untuk menjadi naib presiden yang dipilih tetapi akhirnya dilantik sebagai timbalan ketua setiausaha.

Ahli MT yang dipilih ialah Malcolm Mussen Lamoh, Wilson Nyabong, Wilson Ugak Kumbong, Richard Wil Uban, Assan Ngang, Alexander Vincent, Lau Ting Ping, Masir Kujat, Edwin Banta, Philimon Nuing, Datuk Kristoffer Nyuak Bajok, Angeline Umih Tajok, Azizi Morni, Pandang Semat dan Nyempah Sabot.

Malcolm dan Vincent masing-masing merupakan ADUN Batang Ai dan Ngemah manakala Ugak dan Masir masing-masing merupakan Ahli Parlimen Hulu Rajang dan Sri Aman.

Wilson, Richard dan Angeline pula merupakan setiausaha politik Ketua Menteri.

Mengenai masa depan ADUN Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh yang menolak untuk mempertahankan jawatan naib presiden, Masing berkata, parti akan mempertimbangkan pelantikan MT kepada Mauh kerana beliau merupakan wakil rakyat yang aktif.

“Pengalaman dan sikap beliau (Mauh) kepada parti sangat baik…kami akan mengambil kira mengenainya,” katanya.

Sementara, Wilson berkata, beliau tidak lagi menjadi ketua penerangan parti setelah dipilih dalam ahli MT.

Beliau bagaimanapun, menyerahkan kepada Masing bagi menentukan sama ada untuk melantik semula beliau bagi jawatan tersebut sebaik sahaja barisan MT baharu parti bagi 2013-2016 dimuktamadkan.

TDC turut menyaksikan Masing yang juga ADUN Baleh dan Ahli Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu menang tanpa bertanding sebagai presiden dan timbalan presiden, menjadikan mereka menang tanpa bertanding dalam jawatan tertinggi selama tiga penggal berturut-turut.

ADUN Belaga Liwan Lagang menjadi ketua pemuda yang baharu, mengambil alih daripada Mong sementara Timbalan Speaker Dewan Negara Datuk Doris Sophia Brodie turut mengekalkan jawatan ketua wanita tanpa bertanding.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>