PUTRAJAYA: Sesi pengajian baharu bagi pelajar Malaysia di semua universiti di Mesir akan bermula 19 Okt ini manakala peperiksaan pula bermula 21 Sept, kata Menteri Pendidikan Tinggi Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.
Bagaimanapun katanya tarikh itu tertakluk kepada keadaan di Mesir.
Tarikh-tarikh ini ditetapkan dalam perbincangan antara wakil kementerian dan Kementerian Pengajian Tinggi Mesir baru-baru ini, katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Beliau berkata bagi yang ingin kembali, mereka dinasihat agar sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia dan Education Malaysia Egypt bagi mendapat maklumat terkini.
“Kementerian tidak menggalakkan pelajar pulang ke Mesir atas beberapa sebab, antaranya perintah berkurung masih dikuat kuasa dan kerajaan baharu Mesir belum ditubuhkan,” katanya.
Menurut Idris, setakat 30 Ogos lepas, sebanyak 2,791 pelajar Malaysia dibawa pulang dari Mesir.
Beliau juga berkata kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak menghantar pelajar baharu bidang perubatan, pergigian, farmasi dan pengajian Islam ke Mesir bagi sesi akademik 2013/2014.
Penangguhan ini sehingga Majlis Keselamatan Negara dan Wisma Putra memberi kebenaran kepada rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke Mesir, katanya.
Menurut Idris kementeriannya sedang melihat semula polisi penghantaran pelajar Malaysia ke Mesir dan akan meneliti peluang pengajian dalam bidang terbabit di universiti lain, baik tempatan mahupun luar negara.
Idris juga memberi jaminan pembiayaan pengajian oleh Majlis Amanah Rakyat dan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi pelajar Malaysia di Mesir akan diterus-kan.
“Bagi mereka yang menanggung kos pengajian secara sen-diri, kementerian akan berusaha untuk meringankan beban yang ditanggung mereka,” katanya. — Bernama