SIBU: Dua buah rumah separa kembar di Jalan Au Yong dipecah masuk pencuri, awal pagi semalam.
Pencuri dipercayai memasuki kedua-dua buah rumah melalui tingkat bawah semasa penghuninya sedang tidur ketika hujan lebat, awal pagi semalam.
Kedua-dua belah pintu pagar kedua-dua rumah tersebut juga telah diumpil.
Seorang daripada ahli keluarga salah sebuah rumah terbabit dikatakan bangun pada jam 2 pagi namun tidak mengesyaki sesuatu yang mencurigakan.
Mereka hanya menyedari rumah dipecah masuk selepas mendapati sehelai selimut di-letakkan di tangga pada jam 5 pagi.
Pintu hadapan rumah yang dikunci turut diumpil.
Antara barangan yang hilang termasuk dua buah telefon bimbit, dua unit kamera digital, wang tunai berjumlah RM200, wang kertas Brunei bernilai B$500 dan wang kertas Australia bernilai AUS$1,000.
Jumlah kerugian yang dialami oleh pemilik rumah sebelah pula ialah kira-kira RM10,000. Kedua-dua pemilik rumah membuat laporan polis pagi semalam.