SRI AMAN: Seorang pemandu lori pembancuh simen nyaris maut selepas lori yang di-letakkanya di tepi jalan tiba-tiba terbabas lalu melanggar tiang elektrik di Jalan Loji Perawatan Air Bayai di sini, petang semalam.
Sumber memberitahu, dalam kejadian sekitar jam 1.30 petang itu, pemandu ber-kenaan tidak menyedari lori terbabit menggelongsor ketika dia sibuk menuang simen ke atas jalan.
“Secara tiba-tiba lori ber-kenaan bergerak sendiri dan terlanggar tiang di tepi jalan,” ujarnya.
Berikutan itu, seluruh kawasan loji perawatan air berkenaan terputus bekalan elektrik akibat tiang elektrik yang tumbang.
Bagaimanapun, pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, jurucakap loji perawatan air berkenaan ketika bercakap kepada Utusan Borneo memberitahu, berikutan kejadian itu, semua pam yang digunakan untuk memproses air yang di-salurkan ke kawasan Sri Aman terhenti sementara.
“Buat masa ini, cuma sebuah pam sahaja yang dapat berfungsi dengan menggunakan jana kuasa dan sebuah lagi pam terpaksa dihentikan berikutan terputusnya bekalan elektrik.
“Justeru, beberapa kawasan di sekitar Sri Aman mengalami gangguan bekalan air dan kita memohon maaf kepada pengguna atas kesulitan yang berlaku. Kita akan berusaha untuk memulihkan keadaan secepat mungkin,” jelasnya.