SIBU: Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) perlu berfikir dengan lebih teliti sebelum mengisytiharkan diri mereka sebagai mesra Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Kanowit Thomas Laja mengingatkan ahli-ahli PBDS Baru agar berfikiran dengan waras terutama mengenai bagai-mana BN pernah melayan parti tersebut sebelum PBDS yang lama dibatalkan pendaftarannya dahulu.
“Memandangkan ramai ahli PBDS lama yang masih anti-BN, saya berpendapat adalah bukan satu tindakan yang bijak mengisytiharkan diri sebagai mesra BN,” ujarnya pada sidang media di sini, semalam.
Presiden Protem PBDS Baru Louis Jarau menegas-kan pendirian parti sebagai mesra BN buat masa ini dan sebarang perubahan akan ditetapkan selepas mesyuarat agung tahunan pertama parti yang perlu dibuat dalam masa 90 hari dari sekarang.
Thomas mencadangkan PBDS agar mengikuti langkah Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang telah menyertai Pakatan Rakyat (PR) untuk meneruskan perjuangan mereka.
“SWP memilih untuk menyertai PR selepas me-nyedari perjuangan mereka untuk rakyat tidak akan berjaya tanpa barisan yang kuat,” jelasnya.
Beliau juga memberitahu, adalah lebih baik untuk PBDS Baru menyertai PR bagi me-nguatkan lagi perpaduan dan sokongan kaum Dayak.
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tulang belakang BN Sara-wak katanya, sudah cukup kuat untuk berdiri sendiri meskipun tanpa sokongan daripada parti komponen yang lain.
“Saya pasti mereka tidak akan menerima PBDS Baru dengan adanya bantahan daripada parti-parti komponen BN yang lain,” ujar Thomas.