
SETIA KEPADA PARTI: (Dari kiri) Dr Abdul Rahman, Abang Johari dan Wan Junaidi memukul kompang sebagai simbolik perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan PBB Cawangan Pantai Damai di Dewan Yayasan Sarawak.
KUCHING: Ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diingatkan supaya sentiasa memberi keutamaan kepada perjuangan parti serta tidak terpesong daripada agendanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai merangkap Ahli Majlis Tertinggi PBB Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ahli PBB harus sentiasa setia kepada parti dan tidak menikam parti dari belakang apabila terdesak.
“Ahli-ahli PBB harus memberi keutamaan kepada perjuangan parti apabila diperlukan, tidak terpesong daripada agenda parti dan tidak menggunakan parti untuk kepentingan sendiri,” ujar Dr Abdul Rahman pada Mesyuarat Agung Perwakilan PBB Cawangan Pantai Damai di Dewan Yayasan Sarawak baru-baru ini.
Turut hadir pada perasmian mesyuarat tersebut ialah Menteri Perumahan dan Pelancongan merangkap Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut Dr Abdul Rahman, ahli-ahli cawangan Pantai Damai kini sinonim sebagai satu pasukan yang mantap dengan semangat persaudaraan dan kekeluargaan yang tinggi dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan parti.
“Tidak kira sama ada individu tersebut adalah daripada exco Bapa, Wanita mahupun Pemuda, setiap kegiatan dan aktiviti dijayakan secara bersama.
“Budaya inilah yang menjayakan aktiviti politik parti seterusnya menjadi pemangkin kejayaan cemerlang semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lepas,” jelas Dr Abdul Rahman.
Di samping itu, beliau memberitahu dalam bidang keusahawanan, semakin ramai golongan muda mengambil bahagian secara aktif melalui program anjuran cawangannya dalam usaha meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat setempat.
“Selain bidang keusahawanan, kita juga peka dengan keperluan sektor pendidikan melalui kerja-kerja naik taraf dan pembinaan sekolah-sekolah baharu termasuk penyediaan institusi pengajian tinggi (IPT) di kawasan pembangunan Darul Hana.
“Melalui usaha tersebut, saya berharap kita dapat melahirkan lebih ramai golongan bijak pandai dan cendekiawan pada masa akan datang,” tambahnya.
Di samping itu, Dr Abdul Rahman memberitahu bahawa program penstrukturan semula penempatan masyarakat di kawasan perkampungan Melayu di Seberang Hilir dan Darul Hana akan melibatkan sebanyak 12 kampung dalam tempoh 15 tahun akan datang.
“Darul Hana merupakan program kerajaan yang penting bagi menjamin kehidupan yang lebih teratur dan sempurna bagi pewaris kita nanti.
“Pada masa yang sama, Pergerakan Wanita dan Pemuda akan sentiasa berada di barisan hadapan bagi memastikan pembangunan fizikal dan modal insan yang sedang dan bakal diadakan akan benar-benar memberi kebaikan serta kesejahteraan kepada masyarakat setempat,” tambahnya.
Selain itu, Dr Abdul Rahman turut menggesa agar Pergerakan Pemuda turut memainkan peranan penting dengan membawa para belia supaya terlibat dalam kegiatan sihat dan menghindari mereka daripada terjebak dalam aktiviti negatif dengan mengajak mereka mendaftar sebagai ahli PBB bagi tujuan tersebut.